INI KAH DIA
PKR -P ?
WADAH BARU
SELAMATKAN
MALAYSIA
Ahli PKR dipecat akan tubuh parti baharu, kata sumber
AHLI dan pemimpin PKR yang tersingkir dari parti sedang bersiap sedia untuk menubuhkan sebuah parti baharu sebagai wadah perjuangan menuju pilihan raya umum akan datang, kata beberapa sumber.
The Malaysian Insight difahamkan kebanyakan mereka dikenakan tindakan oleh lembaga disiplin parti kerana menyokong bekas timbalan presiden Mohamed Azmin Ali, yang dipecat pada hujung Februari lalu.
Sementara parti ditubuhkan, jelas sumber, mereka bergerak sebagai badan masyarakat untuk terus memberi khidmat kepada rakyat.
Sumber yang juga penyelaras badan masyarakat itu memberitahu The Malaysian Insight mereka kini bergerak atas nama Penggerak Komuniti Negara dan Pemuda Negara.
“Orang pun sudah nampak gerakan kita ke arah parti, cuma kita yang tidak mengiyakan.
“Setakat ini belum ada mesyuarat untuk pembentukan parti baharu tetapi gelombang itu sudah ada,” katanya yang berkongsi perkembangan semasa ini dengan syarat tidak dinamakan.
Azmin dipecat bersama bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin pada Februari lalu selepas terlibat mencetuskan langkah politik yang membawa kepada runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya dan tiga negeri – Johor, Melaka, dan Perak.
Azmin dan Zuraida serta lapan ahli Parlimen PKR lain yang keluar parti kini bersama Bersatu dan hampir semuanya dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.
Kekal momentum
Sumber menjelaskan wadah sebagai badan masyarakat itu perlu untuk mengekalkan momentum hubungan mereka dengan rakyat kerana ahli PKR yang dipecat dan digantung ini terlalu ramai.
“Gerakan kami pun sudah seperti parti, walaupun nama masih NGO tetapi kami mempunyai wakil di setiap kawasan parlimen dan negeri,” katanya.
Pada Isnin, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengumumkan 348 ahli parti itu dipecat sementara 285 digantung sementara keahlian mereka.
Antara yang dipecat ialah dua wakil rakyat negeri iaitu Muhammad Jailani Khamis (Alor Gajah, Melaka) dan See Chee How (Batu Lintang, Sarawak) serta bekas naib ketua sayap pemuda Mohd Nazree Mohd Yunus dan bekas ketua penerangan sayap wanita Syarul Ema Rena Abu Samah
Sumber juga mengesahkan kepada The Malaysian Insight semua ahli PKR yang dipecat atau digantung keahliannya terkait dakwaan menyokong Azmin tidak akan menyertai parti lain dalam pentadbiran Perikatan Nasional tetapi menubuhkan parti baharu.
Sumber juga memberitahu Penggerak Komuniti Negara akan menjadi parti di bahagian sementara Pemuda Negara diserap sebagai sayap pemuda parti baharu.
“Kami sedang kumpul ahli. Realitinya di peringkat akar umbi, mereka yang dikenakan tindakan ini sedang menunggu badan masyarakat ini jadi parti politik.
“PKR sendiri pun menganggap badan masyarakat ini sebagai ancaman,” katanya.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengesahkan Majlis Pimpinan PKR dalam mesyuaratnya minggu lalu membuat keputusan melarang ahli parti daripada terlibat dengan Penggerak Komuniti Negara dan Pemuda Negara.
“Pelanggaran terhadap arahan ini boleh membawa kepada tindakan disiplin diambil serta merta,” katanya, dalam notis makluman keputusan mesyuarat kepada ahli parti, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.
Notis itu antara lain menyebut dua pertubuhan itu “ditubuhkan oleh pemimpin yang telah dipecat (dari PKR) kerana mengkhianati parti”.
Saifuddin menjelaskan dua pertubuhan itu mencetuskan suasana tidak harmoni dalam PKR kerana ditubuhkan oleh mereka yang dipecat dari parti tetapi bergerak dengan dukungan ahli parti.
Dua NGO baharu
Penggerak Komuniti Negara adalah nama baru bagi Penggerak Muafakat Nasional yang ditubuhkan oleh bekas naib presiden PKR Zuraida Kamaruddin. Zuraida dipecat bersama Azmin pada 24 Februari lalu, kerana mengkhianati parti.
Pemuda Negara pula ditubuhkan oleh Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin dan bekas timbalan ketua Pemuda PKR, Muhammad Hilman Idham, yang juga Adun Gombak Setia.
Hilman adalah setiausaha politik kepada Azmin di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Hilman dipecat dari PKR pada awal Mac, selepas Pakatan Harapan runtuh dan Perikatan Nasional jadi kerajaan baharu di Putrajaya.
Dr Afif pula adalah antara 285 ahli PKR yang digantung keahlian, yang diumumkan oleh parti semalam, dan bertegas tidak akan merayu terhadap keputusan itu.
Beliau sebelum ini menjelaskan kepada The Malaysian Insight bahawa Pemuda Negara bukan sebuah parti politik yang baharu tetapi wadah menggalakkan demokrasi dan hubungan sesama rakyat yang merentas perbezaan kaum dalam kalangan anak muda Malaysia.
Seorang pemimpin kanan PKR yang digantung memberitahu The Malaysian Insight, sekiranya parti dan lembaga disiplin tidak menerima rayuannya, beliau akan menyertai pertubuhan yang sedang digerakkan oleh bekas ahli PKR.
“Saya masih dalam PKR. Tempoh penggantungan dalam notis tidak dinyatakan. Sekiranya lama dan tiada respons, kami akan bergerak dalam NGO yang baru,” katanya, yang enggan identitinya didedahkan.
The Malaysian Insight difahamkan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR telah menulis surat kepada presiden parti Anwar Ibrahim dan lembaga disiplin meminta mereka menyemak semula pemecatan beberapa ahli parti.
Sementara itu pengerusi Penggerak Komuniti Negara bagi Wilayah Persekutuan, Nor Hizwan Ahmad mengesahkan pertubuhan itu majoritinya dianggotai oleh mereka yang keluar atau dipecat dari PKR.
Hizwan adalah setiausaha politik kepada Zuraida di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Beliau tidak menafikan kemungkinan pertubuhan itu menjelma sebagai sebuah parti politik namun buat masa ini katanya, mereka akan terus berkhidmat kepada masyarakat.
“Kita tidak boleh ramal masa depan tetapi kita juga bersedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.
Hizwan menjelaskan Penggerak Komuniti Negara sekarang berada di 198 kawasan Parlimen.
“Kita cuma himpunkan anggota parti yang dipecat dan yang keluar parti serta semua aktivis NGO lain untuk sediakan platform. Ia bukan badan politik,” jelasnya.
Semalam, Hizwan mengumumkan penubuhan sayap wanita badan itu yang dinamakan Penggerak Wanita Muda. Ia diketuai oleh Nurainie Haziqah yang juga Ketua Srikandi PKR.
“Kenapa takut?”
Penyelaras Pemuda Negara Selangor, Mizan Adli Mohd Noor juga tidak menolak kemungkinan badan itu akan dibentuk sebagai sebuah parti baharu.
“Jika rakyat Malaysia memberi sokongan padu pada Pemuda Negara, apa salahnya?
“Kami sentiasa bersedia (bentuk parti baharu). Kami tidak mahu lagi parti yang tidak boleh membawa suara demokrasi, yang pecat ahli.
“Di kala kita berperang dengan wabak Covid-19, mereka sibuk ganyang ahli, takut dengan bayang-bayang sendiri kerana sudah hilang sokongan akar umbi,” katanya.
Mizan, yang digantung keahlian parti, adalah juga bekas pengerusi tetap Pemuda PKR yang dipecat dari jawatan menjelang kongres tahunan pada Disember lalu. Pemecatannya mencetuskan kekacauan pada hari kongres berlangsung.
“Kenapa PKR takut dengan NGO ini? Bukankah PKR parti yang kuat?,” tanyanya. – 6 Mei, 2020.
PASCA KOBID
KITA AKAN
LIHAT BANYAK
PEKARA
POLITIK HANYA
SALAH SATU
KOBID MEMBAWA
OMBAK UBAH
YG AMPOH
LAGI MEJANJIKAN
KITA TUNGGU
Tiada ulasan:
Catat Ulasan