Jumaat, 20 Januari 2023

NEGERI SEMBILAN AKAN JATUH ?


Perikatan boleh menang Negeri Sembilan, kata bekas ketua Pemuda Umno

PERIKATAN Nasional (PN) boleh menjadi kerajaan baharu di Negeri Sembilan dengan mengekalkan momentum sokongan anak muda kepada gabungan itu seperti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, kata bekas ketua Pemuda Umno Seremban Zool Amali Hussin yang masuk PAS baru-baru ini.

Beliau yakin undi daripada pengundi Melayu juga akan terus beralih kepada PN selepas penyokong mereka kecewa dengan tindakan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas PRU15.

“Setakat ini kita boleh sasarkan kerusi Melayu di Negeri Sembilan, selebihnya itu strategi.

“Apa kita nak buat semua tak boleh cerita kepada orang luar,” kata Zool Amali yang juga dikenali dengan nama Jebat, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight di Seremban, semalam.

Beliau yakin Negeri Sembilan akan mengulangi kejayaan PN seperti di Perlis pada PRU15 serta di tiga negeri yang memang dikuasai PAS iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu, serta di kawasan utama pengundi Melayu di Pahang dan Perak.

Zool Amali, 40, keluar Umno untuk menyertai PAS bersama 50 ahli Umno Cawangan Kampung Rawa Lenggeng kerana kecewa dengan tindakan Umno bekerjasama dengan PH yang turut disertai DAP.

Kekecewaan itu juga katanya turut dirasakan oleh banyak pengundi BN dan PH pada PRU15.

“Waktu kempen, PH balun Umno, Umno balun PH dan DAP. Sekarang penyokong akar umbi mereka, terutamanya pengundi dari saluran muda rasa tertipu… mereka undi BN dapat PH, undi PH dapat BN. 

“Mereka merasakan pemimpin cabul hak mereka sebagai pengundi. Mereka keluar mengundi tetapi akhirnya parti ini bersama. 

“Itu akan beri kelebihan kepada PN,” katanya yang bersama Umno sejak berusia 18 tahun.
.
Bekas pengerusi Briged Gerak Gempur Pemuda Umno Negeri Sembilan itu juga merasakan kempen menarik sokongan anak muda kepada PN lebih mudah selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu lalu memutuskan dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.

“Dalam PRN senarionya nanti begini… ramai orang PH dan Umno akan beralih angin dan undi mereka tuju ke satu tempat iaitu PN. Semua ke sini.

“Saya bersyukur dan gembira juga apabila tiada pertandingan presiden dan timbalan, itu lebih mudah tarik ahli Umno yang keliru. 

“Orang dah tak suka. Ahli Umno pun tak suka. Mereka nak keluar parti sukar, takut dicemuh, tapi tentang undi saya yakin mereka akan undi PN,” tambahnya.

Masuk PAS

Menurut Jebat, setakat ini lebih kurang 200 ahli Umno di Negeri Sembilan sudah menyertai PAS sejak BN memilih untuk menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kerajaan baharu.

Penyertaan mereka akan diterima secara rasmi oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu majlis PN bersama anak muda yang dijadual berlangsung di Seri Menanti, esok.

“Setiap hari memang ramai orang hubungi saya menyatakan mereka berminat nak masuk PN. Saya kata ada dua pilihan, sama ada Bersatu atau PAS, pilihlah mana mereka nak sertai.

“Ramai antara mereka yang memilih kepada PAS,” tambah Jebat.

Sejak menyertai PAS kira-kira sebulan lalu, beliau sedang merancang untuk menubuhkan lima cawangan PAS di DUN Lenggeng, iaitu kawasannya sendiri.

Mengenai pilihan raya negeri yang akan diadakan pertengahan tahun ini, Jebat yakin PN boleh menang 20 daripada 36 kerusi sekaligus menubuhkan kerajaan negeri.

Daripada keseluruhan 36 kerusi DUN, 27 daripadanya dikenalpasti adalah kawasan majoriti pengundi Melayu.

PN bagaimanapun sekarang tidak memiliki sebarang kerusi di DUN dan Parlimen Negeri Sembilan.

“PN memang belum ada lagi kerusi (di Negeri Sembilan) tetapi akan datang bakal ada. Bagi saya mudah sahaja, sasar 20 kerusi cukup untuk perintah Negeri Sembilan,” katanya.

Sasar pengundi muda

Menurut Jebat, beliau sekarang ditugaskan oleh parti untuk memberikan penerangan kepada pengundi dalam kelompok dengan sasaran kepada pengundi muda dan pengundi kali pertama.

“Kita sasarkan menang, untuk menangkan Negeri Sembilan kepada PN kita akan adakan kempen gerak kerja kecil-kecilan, beri penerangan.

“Rata-rata budak muda ini (sokongan) dah kepada PN. Waktu PRU, contohnya di Lenggeng, lebih separuh pengundi putih BN tidak mengundi BN. Mereka pengundi Umno tetapi undi PN.

“Anak muda pula menolak Zahid kerana kes rasuahnya,” katanya merujuk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Jebat merupakan negara pimpinan Umno yang lantang mengkritik Ahmad Zahid sebelum keluar parti. 

Antara asas penentangannya adalah kerana Umno bekerjasama dengan PH menubuhkan kerajaan perpaduan selain tindakan BN tidak memberikan kerusi Parlimen Seremban kepada Umno pada PRU15.

Beliau juga menemui Ahmad Zahid secara peribadi menyatakan hasrat agar Umno bertanding di Parlimen Seremban yang diwakili MCA sejak tiga penggal namun langkah itu katanya gagal.

“Apa guna Umno bahagian Seremban ditubuhkan tapi bila ahli tuntut beri peluang sekali kepada Umno, Umno tak pernah bertanding di Seremban, waktu itu kita nak menang, tetapi akhirnya benda itu tak berjaya.

“Sejak 2013 saya dah jadi perwakilan di PAU. Dah 10 tahun lebih, cerita perkara sama. ‘No Anwar, No DAP’, DAP cauvinis, rasis… tetapi bila tiba tubuh kerajaan ini mereka kata kerajaan titah agong, perpaduanlah.

“Waktu itu kita nampak Umno lari dari dasar perjuangannya kemudian cipta pula naratif baharu dengan DAP,” katanya.

BN ketika ini menguasai 16 kerusi negeri dengan 15 dimenangi Umno dan satu dimenangi MIC, manakala PH pula menguasai negeri itu dengan majoriti 20 kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

DAP menang di 11 DUN, diikuti PKR (6) dan Amanah (3) kerusi.

Pada PRU15 BN mengekalkan kerusi Parlimen Rembau, Jelebu, Jempol dan berjaya merampas Kuala Pilah dan Tampin.

Manakala Seremban, Rasah dan Port Dickson kekal menjadi milik PH. – 20 Januari, 2023.

BOTO KO NI

JAAANG OOOI?

AMIN

KOK BOTO

MANO DEN

NAK BOLI

EKO

KAH KAH KAH

KHALAS

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Berat angan2 brader kita ni tt. Negeri sembilan tu dah pecah tiga, satu team angan2 kj, satu team angan2 pn, satu team kerajaan. Persoalannya brader ni sebetulnya team yang mana? Kahkahkah