Zahid ingatkan calon pemilihan Umno tidak terpengaruh kumpulan cuba gugat kerajaan
AHLI Umno termasuk calon yang bertanding dalam pemilihan parti, terutama bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi diingatkan agar tidak terpengaruh dengan kumpulan yang mahu menggugat kerajaan semasa.
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau juga tidak mahu ada dalam kalangan calon pada pemilihan parti itu yang bertindak mendukung parti lain dan mengenepikan perjuangan Umno.
Timbalan perdana menteri itu berkata beliau berharap mereka yang mencalonkan diri adalah terdiri daripada yang benar-benar komited untuk memperkasakan Umno di semua peringkat terutamanya di peringkat nasional.
Berucap pada sesi pengenalan calon bertanding pemilihan Umno di Kota Kinabalu malam tadi, beliau berkata calon juga diingatkan supaya patuh kepada peraturan pemilihan, kerana setakat ini didapati ada calon yang hilang kelayakan sebelum tiba hari pemilihan.
Menurutnya Jawatankuasa Pemilihan mempunyai hak untuk membatalkan kemenangan, dan ahli Umno diharap memahami peraturan yang ditetapkan.
Sementara itu ketika ditemui pemberita Zahid berkata, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menerima surat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang memberikan keabsahan kepada Perhimpunan Agung Umno 2022 yang membawa usul jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan.
Beliau berkata ia adalah kerana Pengerusi Tetap Umno Badruddin Amiruddin mengikuti semua peraturan yang termaktub dalam peraturan mesyuarat perhimpunan itu dan usul juga mengikut perlembagaan parti.
“Tugas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) adalah untuk menjaga kepentingan ahli mana-mana badan yang berdaftar dengan RoS, dan kepentingan ahli itu mengikut sebagai mana yang termaktub dalam perlembagaan.
“Maka dalam hal ini kuasa menteri adalah kuasa muktamad untuk menentukan keabsahan Perhimpunan Agung Umno 2022,” katanya.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata KDN memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada Umno berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti tahun ini.
Saifuddin Nasution berkata pihaknya merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan Umno mengenai usul tambahan itu dan memberi pengecualian berdasarkan Seksyen 70 Akta 832. – Bernama, 8 Mac, 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan