Rabu, 8 Mac 2023

UKRAINE : PERANG DUNIA KE TIGA


UKRAINE : PERANG

  DUNIA KE TIGA


Ramai pemerhati politik menganggap Perang Dunia Ke 3 sudah bermula di Ukraine.  Riak dan tanda-tanda  berulangnya perang dunia telah kelihatan.

Sejarah merakamkan bagaimana Amerika telah menyekat kapal Jepun dari melintasi Terusan Suez pada tahun 1938. Ini merudumkan ekonomi Jepun yang mengimport 74.1% besi buruk dan 93% tembaga  dari Amerika.

Menyekat ekonomi berniat untuk mencekik negara yang dimusuhi. 

Tahun 2022 ekonomi Rusia sedang di sekat. Pelbagai bentuk sekatan sedang dijalankan bukan hanya oleh Amerika malah oleh 27 buah negara Kesatuan Eropah 

Persoalan terus ditanya : apakah perang ini berterusan? Atau akan dicari jalan damai ?

Semenjak  Operasi Spesial Putin bermula  pada 24/2/2022 yang lalu Amerika telah menghantar lebih dari 113 bilion dolar bantuan kepada Ukraine.  Dana ini juga digunakan untuk memperbaiki pelbagai jenis  senjata yang telah di hantar dari Amerika.

Setakat ini Negara Kesatuan Eropah telah  juga memberi dana sebanyak 18 bilion euro. 

Amerika dan 31 buah negara NATO  telah menghantar peluru, bom , senapang, roket anti-kereta kebal, kereta kebal,  howitzer, drone, misile dan seribu satu macam jenis senjata kepada Ukraine.

Semua senjata dikatakan untuk mempertahankan diri. Bukan untuk masuk menyerang bumi Rusia.

Permintaan terbaru Presiden Zelensky ialah jet pejuang F16 dari Amerika.

‘ Ukraine is finished...Ukraine  can never defeat Russia ....’ Ini kata-kata  dari Kolonel bersara Douglas Mangregor.

Kolonel bersara ini bukan kecik anak. Dia ada pengalaman Perang Teluk (1990-1991). Juga mengambil bahagian mengebom Yugslavakia pada tahun 1999. Kolonel ini telah menulis buku  Breaking The Phalanx (1997 ) – tentang teori dan strategi perang. Pada tahun 2020 bekas kolonel ini pernah dilantik sebagai Penasihat Kanan Pemangku Setiausaha  Pertahanan   Amerika.

Sosok ini sering di kaca tv untuk menyatakan pandangan. Sosok ini satu-satunya suara  bekas ‘orang dalam’ yang mahu perang di tamatkan. Malah sosok ini mengkritik Presiden Biden  kerana  mengambil garis berperang dengan Rusia.

Satu lagi sosok yang  memiliki pendapat yang sama ialah Scott Ritter. Bekas  pegawai risik dalam  Marine Corps. Sosok ini bertugas – 1991-1998 -  di bawah PBB untuk merisik dan mencari senjata pemusnah milik Saddam Hussein.

Risikan Lembaga PPB yang dijalankan  oleh Scott  membuktikan bahawa Saddam tidak memiliki senjata pemusnah.

Scott Ritter meletakan jawatan kerana tidak bersetuju dengan dasar Amerika yang terus mahu menyerang Iraq walau pun Saddam  tidak memiliki senjata pemusnah. 

Hari ini Scott Ritter  kerap bersuara untuk mempertikai segala propaganda media Amerika tentang Ukraine.  Melalui pengalaman sebagai pegawai risik Scott tahu  putar alam media  arus  perdana Amerika yang pro perang seperti CNN, The New York Times, atau The Washington Post.

Selain dari intelektual kiri seperti Noam Chomsky yang mengkritik keterlibatan Amerika dalam perang ini ialah Profesor John Mearsheimer.  Sosok yang  mengajar di University of Chicago adalah pakar hubungan antarabangsa.

Profesor ini mengajukan dasar luar Amerika yang bersifat realis dan menolak sikap hegemoni imperialis Amerika.

Pada tahun 2007  Profesor Mearsheimer menggemparkan Amerika dengan buku The Israel Lobby and U.S. Foreign Policy. Mearsheimer membuktikan pengaruh Israel dalam mendalangi dasar luar Amerika.

Profesor ini berpendapat kemungkinan besar perang akan meletus antara Amerika dengan China jika dasar luar Amerika tidak berubah.

Pandangan dan pendapat sosok-sosok ini dilihat sebagai ‘ penjilat Putin’  Tetapi mereka terus menerus menyebarkan pandangan mereka ini walau pun dituduh sebagai agen Putin atau warga Amerika   yang tidak patriotik. 

Scott Ritter dan Macgregor  yang memilik latar belakang tentera mempelekehkan bantuan senjata yang diberikan oleh Amerika dan NATO.

Mengikut pandangan mereka tidak ada apa bentuk senjata yang akan dapat menyelamatkan Ukraine dari dikalahkan oleh  Rusia.

Ketika tulisan ini digarap berita telah mula tersebar tentang bandar  Bakhmut  dikatakan telah berjaya di tawan oleh soldadu Rusia.  Soldadu Rusia ketika ini telah menduduki  lebih dari 18% wilayah Ukraine.

Infrastruktur Ukraine  seperti penjana elektrik  , loji air, pencawang alat komunikasi – semuanya telah musnah. Banyak pekan besar dan kecil telah hancur. Kota, pekan dan kampung ditinggalkan  kosong.

Ukraine sebelum perang diduduki oleh 47.79 juta warga. Hari ini seramai 8 juta warga Ukraine telah menjadi warga pelarian perang.

Data Pelarian Perang PBB pada 18 September 2022 menunjukkan seramai  2.77 juta lari ke Rusia, 1.5 juta lari ke Poland, satu  juta masuk ke German, satengah juta masuk  ke Republik Czech.

Seramai 3 juta warga Ukraine telah melarikan ke Eropah Barat seperti ke Belgium, Belanda, Perancis dan United  Kingdom. 

‘ We will not negotiate..  we will not sit  with  the same table with Putin.... ‘ Ini kata-kata sombong lagi angkuh dari  Presiden Zelensky. 

Presiden Ukraine ini menolak semua bentuk perundingan. Malah dari kaca  mata Zelensky  Ukraine berupaya  mengalahkan Rusia. 

Jika ini bukan kenyataan  gila maka  garam tidak lagi masin dan madu tidak lagi manis.

Hakikatnya semua  sedar bahawa Ukraine  akan kalah dalam perang ini. Semua mengakui bahawa Ukraine tidak akan berupaya untuk mengalahkan Rusia. 

Semua pakar perang, pemerhati politik dari garis kanan dan garis kiri berpendapat bahawa Amerika dan NATO tidak akan menghantar bala tentera  di Ukraine.

Ukraine bukan anggota NATO. Ukraine telah melamar untuk menjadi anggota NATO. Justeru soldadu NATO tidak akan  masuk ke Ukraine untuk membantu.

Keangkuhan Zelensky ini muncul dari sokongan yang diterima dari Biden, Amerika dan NATO.  Dana dan senjata yang datang mencurah-curah meyakinkan bekas pelawak ini yang Rusia  boleh dikalahkan.

Jika tidak ada jalan perdamaian apa akhirnya akan terjadi?

‘ The war will end until the last Ukrainian ...’ Ini kata-kata Profesor Mearsheimer. 

Profesor ini berkata dengan nada sinis. Perang hanya akan tamat apabila  yang  tinggal hanya seorang soldadu Ukraine. Yang lain telah habis gugur. 

Pada 20/2/2023 media telah melaporkan  Presiden Biden telah  melakukan lawan mengejut ke Kyiv ibu kota Ukraine.

 ‘ We will support Ukraine as long as it takes ….’ Presiden  Biden mengulangi sekali lagi  sokongan Amerika pada sidang akhbar bersama Presiden Zelensky di Kyiv. 

Amerika akan terus memberi Ukraine sokongan  tanpa mengira  berapa lama perang ini akan berlanjutan.

Sekali dengar kata-kata Biden  ini seolah-olah  dia  telah nyanyuk.

Berbilion dolar dihantar ke Ukraine.   Data terkini menunjukkan 582,462 warga Amerika tidur di tepi jalan, di bawah jambatan, dalam terowong  atau tidur dalam bangunan tinggal.

Ini kes klasik : Kera di hutan disusukan – anak di rumah mati kelaparan.

Apakah tidak ada suara rasional untuk mengingatkan Presiden Biden bahawa ekonomi Amerika sedang berhadapan dengan krisis inflasi.

Kadar inflasi di Amerika  pada awal tahun 2023 ini diantara 6 – 7 %.  Presiden Biden masih boleh tersenyum puas hati kerana inflasi masih  rendah berbanding dengan  92.3% Zimbabwe atau 31.5% data bulan Januari 2023 untuk Pakistan.
 
Akhbar The Guardian dari London telah melaporkan pada  5/3/2023 telah kedengaran  suara-suara lantang  menolak dasar Ukraine Presiden  Biden. 

Joe Biden is “putting the entire world at risk of world war three”... ini satu pandangan dari  Conservative Political Action Conference (CPAC). Badan ini menganggap dasar Biden ini bahaya dan berpotensi membawa pecah perang dunia ke 3.

CPAC ini ialah himpunan terbesar gulungan kanan konservatif Amerika.  CPAC baru saja berhimpun Jumaat  3/3/2023 yang lalu.

Perhimpunan CPAC ini telah menjemput Donald Trump untuk berucap..  Dengan bijak Trumps telah membaca ‘ moods’ yang dalam dewan yang menolak  dasar Amerika untuk terus  menyokong Ukraine.

Trump yang berniat untuk menjadi calon Presiden sekali lagi pada 2024 telah  berkata ‘ we will end the disastrous war between Russian and Ukraine... ‘.

 Trump berjanji  akan menamatkan perang antara Rusia dengan Ukraine jika dia menjadi Presiden sekali lagi.

Apa yang jelas dalam masa terdekat -  selagi Biden masih menduduki Rumah Putih maka perang ini akan berterusan. Sokongan Amerika dan NATO akan diteruskan.

Mari kita lihat kembali sejarah  Perang  Vietnam. Pada tahun 1963 Johnson menjadi Presiden ketika Amerika baru masuk campur dalam Perang Vietnam. Pada tahun 1969  Johnson telah  menambah 543,000 bala tentera Amerika ke Vietnam. Presiden ini cuba yakini warga Amerika bahawa Amerika akan menang di Vietnam. 

Akhirnya Presiden Johnson terikat dengan retorik politik dirinya sendiri. Maka dia terus yang menyokong  penerusan perang di Vietnam.  Johnson tidak ada jalan keluar sehingga Presiden Nixon mengambil alih Rumah Putih dari Johnson pada tahun 1969.  

Rundingan damai menjadi kenyataan bila Nixon menjadi Presiden.

Kali ini Presiden Biden juga terperangkap dengan retorik politik pro Ukraine. Maka untuk menamatkan   perang ini Biden  wajib diketepikan.

 Sama ada Trump menang atau tidak dalam pemilihan  Presiden 2024  bukan persoalan. Apa yang penting untuk menamatkan perang  ini ialah akan muncul  sosok baru  menduduki Rumah Putih. Amin. 

Jika  pada 2024 Joe Biden  masih lagi penghuni Rumah Putih maka perang ini akan berterusan.

Jika Joe Biden masih lagi Presiden Amerika pada tahun 2024 maka cakap-cakap tentang perang dunia ketiga akan terbukti betul.  Juga  berita  desas desus tentang penggunaan bom nuklear  akan    menjadi kenyataan. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
THE MALAYSIANISIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/431601



Tiada ulasan: