Isnin, 25 November 2013

UCAPAN PRESIDEN PKR KELMARIN




Ucapan Perasmian Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat
Kongress Nasional Khas , Parti KEADILAN Rakyat
24 November 2013
Shah Alam Selangor

Bismillahirahmanirahim
Segala pujian hanya pada Allah Tuhan sarwa sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad S.A.W.
Yang dihormati, Pengerusi majlis
Ketua Umum, Saudara Anwar Ibrahim
Saudara Timbalan Presiden,                       
Saudara Setiausaha Agung.
Pimpinan, perwakilan dan pemerhati dari seluruh negeri dan cabang.
Kita bersyukur kerana selamat kembali menghadiri Kongres Nasional Khas. Namun sebelum itu, wajar kita kenangkan sahabat kita Allahyarham Haji Suhaimi Said. Beliau adalah pejuang rakyat terutamanya nasib peneroka Felda dan masyarakat orang asal. Kepada beliau dan rakan-rakan pejuang yang telah kembali ke rahmatullah, marilah kita hadiahkan Al-Fatihah!.
Saudara dan saudari sekalian,
Saudara dan saudari sekalian.
(Sejarah pemilihan  2010)
Di Malaysia, KEADILAN adalah parti pertama yang melaksanakan pemilihan pimpinan parti secara terus oleh ahli, iaitu satu ahli satu undi. Alhamdulillah, kerana kejayaan  menempa sejarah baru pemilihan yang demokratik. Kendati begitu, kita juga menerima serangan manakala terdapat kelemahan dalam proses awal pemilihan. Terima kasih kepada Jawatankuasa pemilihan ketika itu, para petugas serta sekretariat parti yang bertungkus lumus memastikan kelicinan proses pemilihan.  
Dalam mengimbau pengalaman lalu, kita perlu pertingkatkan persiapan jentera pemilihan yang wibawa dan bebas, telus dan cekap. Namun semangat kebebasan dan demokratik dalam sistem pemilihan juga menuntut kemantapan dan kesedaran anggota.
Perlembagaan baru memberikan kuasa mutlak kepada setiap anggota memilih dengan bebas. Maka adalah diandaikan bahawa anggota cukup terlatih dengan idealisme perjuangan. Ini adalah untuk memastikan calon yang diamanahkan jujur kepada kewajiban dan tidak dipengaruhi sogokan atau ugutan.
Etika pemilihan dan calon akan dipantau dengan lebih keras dan teliti. Seseorang yang keterlanjuran melanggar prinsip luhur perjuangan atau keterlibatan dalam kegiatan rasuah dan ugutan akan tersingkir dari menjadi calon.
 Para perwakilan dan pemerhati sekalian,
(Pengajaran pemilihan 2010)
Pemilihan parti pada tahun 2010 yang lalu telah banyak mengajar kepimpinan akan pentingnya kelangsungan ukhwah diantara pimpinan cabang, negeri dan pusat kepada ahli di akar umbi. Sebab itu kita unjurkan beberapa siri latihan yang berteraskan Politik Nilai kepada seluruh warga KEADILAN agar memahami wadah dan khittah  perjuangan dan mengamalkan politik yang lebih matang dan beretika. Terima kasih pada Akademi Keadilan, Institut Kajian Dasar, Center For Reform Democracy and Social Iniatives yang berterusan menjalankan aktiviti latihan kepada ahli tentang pentingnya memahami politik nilai dan pencerahan dalam berpolitik. Begitu juga kepada sayap parti Wanita Keadilan dan Iltizam Angkatan Muda yang giat menjalankan latihan ke cabang-cabang.
Justeru, dalam pemilihan yang akan datang, penyususan semula jawatankuasa pemilihan adalah daripada dikalangan mereka yang berpengalaman dalam strategi pemilihan, logistik, data, keselamatan dan petugas serta yang paling penting adalah berintegriti dan amanah dengan tanggungjawab yang diberikan.
Sidang hadirin sekalian,
Kekuatan KEADILAN kini wujud daripada komitmen seluruh anggota di peringkat akar umbi hinggalah ke peringkat pimpinan. Ramai aktivis parti yang semenjak tahun 1998-1999 tidak pernah luntur semangat juang mereka untuk terus membawa agenda perubahan.
Jasa dan idealisme REFORMASI inilah yang berjaya meletakkan KEADILAN sebagai parti induk Pakatan Rakyat bersama-sama PAS dan DAP.
Kita juga merupakan satu-satunya parti di negara ini yang mempunyai wakil DUN atau Parlimen di setiap negeri. Kita juga adalah satu-satunya parti yang mempunyai wakil dari semua kaum; Melayu, Cina, India, Iban, Visayas dan Orang Ulu.
Saudara dan saudari,
Maka, meskipun PRU 13 dicemari dan curang, namun angka dilingkungan 52 % sokongan rakyat Malaysia cukup melegakan. Dan inilah yang mendorong Sheikh Yusof Al-Qaradhawi, ulama besar dunia yang telah menyatakan kepada Saudara Anwar Ibrahim di Doha sabtu lalu untuk bersyukur dan istiqomah. Beliau mengungkapkan dari ayat Al-Quranul kareem yang juga menjadi pegangan reformis sejak pengisytiharan Permatang Pauh 1998 .  “..Islah mas tata' tum..”
“ ..tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami”
Justeru itu, kemenangan di negeri Selangor adalah kesempatan untuk kita buktikan kaedah pentadbiran yang bersih dan telus. Mempastikan keutamaan bukan kepada pimpinan parti atau wakil rakyat tetapi kepedulian kepada rakyat, kehidupan, pendidikan, kesihatan dan kebajikan mereka.
Perwakilan dan pemerhati yang dihormati.
Sejak tahun 2001 lagi, kita sudah menggariskan 17 tujuan dan matlamat parti yang kita unjurkan sebagai landasan pergerakan parti. 17 rukun ini jugalah yang menjadi sumber dan asas dalam kerangka manifesto Pakatan Rakyat.
Oleh yang demikian, untuk terus menjayakan agenda reformasi, maka beberapa pindaan dalam garis panduan akan kita pinda demi memastikan pengurusan parti berada di landasan yang selari dengan dasar perjuangan. Antara pindaan yang akan kita lakukan adalah harapan kita untuk memperkasakan fungsi wanita sehingga 30% dalam penglibatan menggubal dan membuat keputusan yang melibatkan kepentingan semua.
Beberapa  fasal yang akan kita pinda dan ubah adalah seperti :-
Fasal 5.8.        Menjunjung setia semangat kerjasama dan perkongsian kuasa secara adil di antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dengan memperkasakan kedudukan politik dan ekonomi yang saksama mengikut kerangka Perjanjian Malaysia tahun 1963.
Fasal 5.14.        Mengiktiraf martabat dan  peranan wanita sebagai tonggak dan penggerak masyarakat, menghayati falsafah hormat wanita, memastikan wanita bebas daripada diskriminasi dan eksploitasi, mengupayakan wanita untuk mencapai kesaksamaan dalam kepimpinan dan membuat keputusan dengan sekurang-kurangnya penglibatan tiga puluh peratus, demi memastikan hak serta kepentingan mereka terpelihara


Saudara dan saudari yang dikasihi.
Burung enggang terbang meninggi
Terbang tinggi hingga ke awan
Borneo menang dimana janji
Hingga kini masih dinafikan

Sedar atau tidak PRU 13 sudah lama berlalu. Kita maklum Barisan Nasional masih lagi menguasai kerajaan pusat hanya kerana kemenangan di Sabah dan Sarawak. Tetapi hingga hari ini, sudah lebih 56 tahun merdeka keadaan di Sabah dan Sarawak masih lagi tertinggal dengan infrastruktur jika dibandingkan dengan negeri-negeri di semenanjung. Di manakah janji mereka untuk membela kehidupan rakyat? 
Lihat sahaja pembentangan belanjawan 2014 yang telah dibentangkan, di mana penekanan kepada pembangunan di Sarawak dan Sabah tidak begitu diambil berat oleh pihak kerajaan.
Saudara dan saudari.
KEADILAN dan rakan Pakatan adalah parti pertama yang mengiktiraf 16 September sebagai satu detik sejarah yang penting dalam penggabungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Sehubungan itu, masih segar dalam ingatan ketika menyambut kemerdekaan yang ke 55, KEADILAN, PAS dan DAP telah melancarkan “Deklarasi Kuching” yang mana telah kita setuju untuk memasukkan deklarasi ini dalam perlembagaan yang bakal diluluskan.

Justeru, KEADILAN khususnya kita tetap dengan pendirian yang mahukan autonomi diberikan kepada Sabah dan Sarawak. Memastikan pembahagian kekayaan negara yang adil ke semua negeri-negeri. Ini termasuklah pembayaran 20% royalti minyak kepada negeri-negeri yang terlibat, Sabah, Sarawak, Kelantan dan Terengganu.

Begitu juga dengan strukutur organisasi parti yang lebih inklusif untuk menggalakkan partisipasi terus oleh ahli daripada Sabah dan Sarawak. Lantaran itu, tiga (3) orang Naib Presiden yang dilantik mestilah sekurang-kurangnya satu daripada mereka adalah daripada Sabah dan Sarawak. Ini termaktub di dalam pindaan perlembagaan fasal 21.7. Dalam fasal 24.3 juga ada menyatakan bahawa Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah dan Sarawak juga akan secara langsungnya menjadi ahli Biro Politik. Maka kelangsungan keputusan dan hal ehwal di negeri Sabah dan Sarawak akan terus didengari oleh pimpinan tertinggi parti.
  
Hadirin sekalian.
“Aishah r.a berkata : saya telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda di rumahku ini : Ya Allah siapa yang menguasai sesuatu dari urusan umatku, lalu mempersukar pada mereka, maka persukarlah baginya. Dan siapa yang mengurusi umatku lalu berlemah lembut pada mereka, maka permudahlah baginya. (riwayat Muslim)”

Hadirin yang dikasihi.
Masa depan parti KEADILAN ini adalah terletak kepada semua ahli. Di semua peringkat negeri, cabang dan ranting memikul tanggungjawab yang besar iaitu memastikan parti ini terus bernafas untuk membawa agenda reformasi. Langkah kita meminda beberapa pindaan dalam perlembagaan parti telah pun diperinci dengan teliti. Langkah ini juga akan memberikan lebih ruang dan kuasa kepada penglibatan terus untuk mengambil bahagian dan hal ehwal perjalanan parti.

 “Ikan tenggiri berenang-renang
Tersangkut jala di muara sungai
Kita berdiri janganlah rengang
Bukalah minda politik nilai
Jati diri bukan kepalang
Tetap bersama tidak terkulai”
Akhir kata, selamat berbahas kepada yang terlibat. Bahaslah dengan hormat dan berbudaya. Semoga apa yang kita pinda dan bahas ini akan membantu kelicinan perjalanan parti. Insya Allah.
Oleh itu, saya mengharapkan para perwakilan yang hadir hari ini dapat membuat keputusan yang tepat demi kebaikan dan maruah parti ini. Mudah-mudahah perjuangan kita mengangkat martabat rakyat diberkati dan seterusya membudayakan demokrasi dengan adil dan amanah.
Sekian,
Wabilahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikumu w.b.t.
REFORMASI!
------------

2 ulasan:

mick goviind berkata...

Pkr masi tidak faham dgn hasrat rakyat Borneo ni. Offer Pkr bercelaru. Tidak ada keselarian dgn intipati PERJANJIAN MALAYSIA 1963 langsung. Ini mcm susa la bro.

Tanpa Nama berkata...

Ini labon jer lebih..
kang berbalah keluar parti..
pening duk mikir... nak tukar kerajaan mcm mana??? nak tukar kerajaan bukan macam tukar tiub motor... hahaha... sori tt..
terguna nama blog deme..