Sabtu, 21 Mac 2020

AL-FATIHAH - ANGKA NAIK







AL-FATIHAH

ANGKA NAIK

Malaysia catat kematian keempat, 153 kes baru Covid-19

Seorang lelaki dari kluster jemaah tabligh disahkan korban keempat Covid-19 yang meninggal dunia di Melaka hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya lelaki yang merupakan kes ke-238 itu meninggal dunia jam 1.30 pagi.

Lelaki itu dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac selepas mengalami simptom kegagalan pernafasan, katanya.

“Beliau telah dimasukkan ke Hospital Melaka pada 12 Mac dengan gejala Severe Acute Respiratory Infection. Beliau telah diberikan bantuan mesin pernafasan pada hari kelima kemasukan di wad isolasi, dan ketika dalam penjagaan di ICU.

“Kesihatan beliau merosot hari demi hari sejak kemasukan dan telah disahkan meninggal dunia pada 21 Mac jam 1:30 pagi,” katanya pada sidang media harian berkaitan wabak itu di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Kematian terbaharu hari ini merupakan yang kedua dalam tempoh 24 jam.

Dr Noor Hisham turut mengumumkan 153 kes baharu yang direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan 1,183 kes.

“Daripada 153 kes yang dilaporkan hari ini, 90 daripadanya merupakan dari kluster tabligh,” katanya merujuk kepada himpunan tabligh selama empat hari pada 27 Februari lalu di Masjid Sri Petaling.

Beliau juga berkata 37 pesakit kini dirawat di ICU dengan 23 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.

Tambahnya seramai 27 orang telah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Setakat ini, seramai 114 kes pulih Covid-19 dicatatkan.

Selasa lalu, Menteri Kesihatan Dr Adham Baba memaklumkan dua kematian pertama akibat wabak Covid-19 di negara ini, melibatkan kes ke-178 dan ke-358, masing-masing di Johor dan Sarawak.– 21 Mac, 2020


--------

Tiada ulasan: