Jumaat, 7 Oktober 2022

BAHAYA KOBID MASIH ADA


Bahaya Covid-19 belum berakhir, kata pakar kesihatan

JANGKITAN harian Covid-19 di Malaysia agak rendah tetapi semua pihak masih perlu sentiasa berwaspada sekiranya terdapat kemunculan semula kes atau varian baharu, kata pakar kesihatan.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata Malaysia dan seluruh dunia tidak boleh menolak kemungkinan kemunculan varian baharu.

“Saya fikir sentiasa ada kemungkinan tetapi ia adalah rendah,” kata Lee kepada The Malaysian Insight.

“Kebanyakan penduduk kebal melalui vaksinasi atau pendedahan, jadi virus (walaupun terdapat varian baru) tidak akan dapat merebak dengan mudah.”

Sebanyak 84.2% daripada populasi sudah mendapat vaksin lengkap manakala 86.1% menerima sekurang-kurangnya satu suntikan.

Lee berkata walaupun penunjuk kesihatan berada dalam aliran menurun, ia tidak bermakna bahaya Covid-19 sudah berakhir.

“Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memantau jumlah kemasukan, kes teruk dan kematian,” kata Lee.

“Ini adalah petunjuk yang kukuh. Jika kita hanya lihat kes harian, ia kurang dilaporkan. Ramai yang akan melakukan ujian air liur (RTK) dan mengasingkan diri dan tidak melaporkannya.

“Mereka yang dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia adalah bukti kukuh.

“KKM juga mesti memerhatikan kemunculan varian yang signifikan. Sehingga hari ini, tiada varian yang signifikan, tetapi kita mesti berwaspada.”

Jangkitan harian Malaysia berlegar di bawah 2,500. Sehingga kini, 4.8 juta kes sudah dilaporkan di negara ini, dengan 36,380 kematian dan 4.7 juta pesakit pulih.

Kadar positif di negara pada masa ini berada pada kadar 6.4%, melebihi ambang 5% yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kadar positif menunjukkan bahagian kes positif Covid-19 yang dikesan daripada jumlah ujian yang dijalankan.

Kadar positif yang lebih tinggi bermakna lebih banyak ujian perlu dilakukan, kerana ia menunjukkan terdapat lebih ramai penghidap penyakit dalam masyarakat yang belum dikesan lagi.

Tiada lagi bahaya

Pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Malina Osman pula berpendapat pandemik akan berakhir.

“Sejak enam bulan lalu, tiada ancaman baharu bagi gelombang jangkitan berbahaya yang berlaku,” kata Malina.

“Semua penunjuk wabak berada pada arah aliran menurun. Peluang muncul strain baharu sentiasa ada, tetapi kemungkinan besar tidak berbahaya.”

Pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar turut bersetuju dengannya.

“Mungkin terdapat varian baharu, tetapi ia mungkin tidak begitu ganas, dan tidak begitu cepat.

“Mudah-mudahan pandemik seterusnya adalah beberapa tahun lagi,” tambahnya.

Pada masa ini, varian yang diketahui terdapat di Malaysia ialah Alpha, Beta, Delta, dan Omicron. – 7 Oktober, 2022.       

AWAS

TERUS JAGA

IKUT ARAHAN

UNTUK  SELAMAT

AMIN

Tiada ulasan: