Jumaat, 30 Disember 2022

LANGKAH BIJAK



Covid-19: Malaysia periksa pelawat antarabangsa semula


PEMERIKSAAN di pintu masuk negara dikuatkuasa semula bagi membendung penularan semula Covid-19 ekoran pembukaan semula negara China, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, semua individu yang tiba dari luar negara akan diperiksa dan wajib dikuarantin sekiranya didapati bergejala manakala pengembara dengan sejarah perjalanan ke China perlu jalani ujian Covid-19.

“Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di pintu masuk antarabangsa (PMA) akan melalui saringan demam.

“Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula.

“Sekiranya disyaki Covid-19, ujian Covid-19 akan dijalankan,” kata Zaliha dalam satu kenyataan.

Ujian dari pengembara dari China itu termasuk individu yang menerima rawatan kes seumpama influenza (ILI) dan jangkitan pernafasan akut (SARI), kata Zaliha.

Tambahnya sampel dari kumbahan pesawat yang tiba dari China juga akan diuji bagi mengenalpasti jangkitan.

Bagi meningkatkan liputan perlindungan vaksin, semua kumpulan berisiko dari golongan rentan boleh mendapatkan dos tanpa janji temu, katanya.

Kerajaan juga menggalakkan semua individu membuat janji temu untuk mendapatkan dos penggalak, katanya lagi.

Menurut beliau, kementeriannya memastikan ubat antiviral disediakan di semua fasiliti kesihatan yang dikenalpasti.

Pengurusan kuarantin kendiri akan terus diautomasi melalui aplikasi MySejahtera, dan pusat penilaian Covid-19 pula akan dipastikan bersedia menerima kedatangan pesakit yang tinggi.

Dari segi perundangan pula, bidang kuasa kementerian menangani Covid-19 ditangani dengan melanjutkan perisytiharan “Kawasan Tempatan Jangkitan” ke tarikh 30 Jun 2023.

Perisytiharan itu sepatutnya tamat esok.

“Pelanjutan ini telah diwartakan pada 27 Disember 2022 melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya.

Beliau selanjutnya menasihati golongan berisiko memakai pelitup muka terutama di kawasan sesak dan agar golongan bergejala menjalani ujian Covid-19.

Zaliha juga memberi jaminan situasi jangkitan terkawal di Malaysia walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan lebih 442 kes kematian berlaku dalam minggu kedua bulan ini di China. 

Bagaimanapun negara dengan 1.4 bilion penduduk itu tidak mampu mengenalpasti jumlah sebenar jangkitan.

Ia dilaporkan hanya menganggarkan kira-kira 5,000 kes sehari dari pesakit yang tampil mendapatkan rawatan.

Beijing sudahpun menamatkan dasar bebas Covid-19 yang dikuatkuasa sejak tiga tahun lalu dan akan membenarkan warganya keluar negara bermula 8 Januari. – 30 Disember, 2022.



LANGKAH BIJAK

TEPAT DEMI

KESELAMATAN

KITA SENDIRI

KHALAS

Tiada ulasan: