Jumaat, 30 Disember 2022

PELE - RAJA BOLA NO 10



Legenda bola sepak Pele meninggal dunia

Hospital Albert Einstein di Sao Paulo yang merawat Pele dalam satu kenyataan berkata, kematiannya selepas sekian lama bertarung dengan kanser disebabkan oleh “kegagalan pelbagai organ”, mengesahkan berita daripada keluarga legenda itu.

Penghormatan mencurah-curah dari dunia bola sepak diterima dengan mesej daripada tokoh termasuk bintang hebat semasa seperti Lionel Messi, Neymar dan Kylian Mbappe, bekas pemain hebat seperti Franz Beckenbauer, dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, yang menulis di Twitter: “Terima kasih, Pele.”

Bintang Brazil, Neymar berkata Pele “menukar bola sepak menjadi seni,” Mbappe dari Perancis berkata legasinya “tidak akan dilupakan,” dan Cristiano Ronaldo dari Portugal menggelarnya sebagai “inspirasi kepada jutaan orang.”

Kapten Argentina yang memenangi Piala Dunia, Messi hanya menulis: “Berehat dengan aman.”

Dinobatkan sebagai atlet abad ini oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 1999, Pele adalah satu-satunya pemain bola sepak dalam sejarah yang memenangi tiga Piala Dunia – pada 1958, 1962 dan 1970.

Digelar “O Rei” (Raja), beliau menjaringkan lebih 1,000 gol dalam salah satu kerjaya paling terkenal dalam sukan, sebelum bersara pada 1977.

Kesihatan Pele semakin merosot susulan terpaksa bertarung dengan masalah buah pinggang dan kanser kolon - menjalani pembedahan kali terakhir pada September 2021, diikuti dengan kemoterapi.

Bandar Santos, tempat di mana legenda itu bermain di peringkat kelab, mengisytiharkan tujuh hari berkabung rasmi, dengan peminat berpusu-pusu ke stadium pasukan itu untuk meninggalkan bunga.

Warga Brazil yang beremosi turut ke hospital tempat beliau meninggal dunia – malah berlari sejauh 1.5km untuk ke sana seperti Antonio Perera, 46, dan anaknya Luis Eduardo, 12.

“Beliau adalah idola kami yang paling hebat, pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman,” Antonio memberitahu AFP.

Selain ucapan takziah yang mencurah-curah dari dunia bola sepak, tokoh antarabangsa termasuk bekas presiden AS Barack Obama, legenda muzik Brazil Caetano Veloso dan Gilberto Gil, dan ketua Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Thomas Bach turut memberikan penghormatan. – AFP, 30 Disember, 2022.

AL- FATIHAH

AMIN

Tiada ulasan: