Jumaat, 6 Oktober 2023

OLIGARKI DAN CUKONG




 OLIGARKI DAN

 CUKONG 


Minggu lalu saya telah menulis tentang oligarki. Asal perkataan oligarki  ini dari bahasa Greek – Yunani.  Untuk lebih jelas pemahaman perkataan oligarki mari kita tanya apa kata  Lebai Google. 

Mengikut Lebai Google : Oligarki merupakan suatu pemerintahan yang dijalankan oleh sekumpulan kecil yang berkuasa. Ia berkait rapat dengan nepotisma dan kronisma.

Ini konsep asal oligarki dari Lebai Google. Kini oligarki telah berubah makna. Oligarki  bukan lagi konsep tapi sosok.  Oligarki ini bermakna sosok – individu – yang kaya raya.

Kekayaan ini datang melalui kuasa. Kuasa ini datang dari kekayaan.  Kekayaan dan kuasa kait berkait ikat berikat. Tanpa kekayaan tak wujud kuasa. Tanpa kuasa tidak wujud kekayaan.

Dalam dunia kita hari ini kuasa yang membawa  kekayaan ialah kuasa politik. Kekayaan ialah kekayaan ekonomi. 

Dalam sistem ekonomi kapitalis  politik ialah mengurus dan mentadbir kuasa untuk mencari kekayaan dan sara hidup.

Kaya ekonomi bermakna banyak harta, luas ladang dan tanah, tersergam  gedung, bertimbun wang ringgit  dan bergantang-gantang emas intan berlian. 

Justeru – mana yang dulu ?  Kaya dulu atau berkuasa dulu ?

 Ketua Cabang PKR, Ketua Bahagian United Malays National Organisation atau Ketua Lajnah Ekonomi Parti Islam – bukan sosok kaya. Mereka tidak kaya   tapi ingin berkuasa.

Mereka  amat arif dan sedar  bahawa melalui  kuasa politik mereka boleh mendapat kekayaan ekonomi.

Kekayaan ini juga akan di balut dengan kemegahan nilai harga diri. Kaya akan melimpah kan  penghormatan orang ramai. Saham derajat diri akan melonjak naik. Jadi kaya ini di selubungi oleh  glamor.

Dalam dunia dari zaman berzaman hingga ke era   Internet hari ini kaya dianggap berjaya. Sosok-sosok kaya disanjung  dan di rayakan oleh warga media sosial.  Justeru tidak mustahil ramai nak jadi kaya. Jalan pintas dan cepat kaya dalam negara dunia ketiga seperti di Malaysia ialah melalui kerusi  YB di Parlimen  atau jadi ADUN.

Awal wahid sosok-sosok ini mungkin aktif , mungkin bijak, mungkin pandai bercakap dan memiliki  watak memimpin dalam parti. Mungkin mereka memulakan  perjalanan untuk berkuasa dengan menjadi Ahli Majlis yang di lantik oleh parti atau menjawat Ketua Cawangan atau Bahagian.

Atau bijak menjadi tukang kipas pemimpin yang berkuasa. Atau menjadi Mat Setia yang bebal dan sentiasa bersedia mengangguk untuk apa  saja. Akhirnya dipilih untuk bertanding kerusi parlimen atau kerusi DUN.

Awas ! Ada lagi satu genre walau pun tidak aktif, mungkin kurang cerdik tetapi masih mahu mendapat kuasa.  Sosok-sosok ini dari genre baka.

Mukhriz anak Mahathir. Najib anak Razak. Nurul Izzah anak Anwar . Hishammuddin anak Hussein Onn. 

Bagaimana dengan Khairy ?

Dalam kes Khairy Jamaluddin agak berbeza. KJ bukan dari baka tapi mencelup ke dalam lubang baka dengan berkahwin dengan anak Abdullah Badawi. Tapi masih dianggap genre baka.

Sosok-sosok bergenre baka ini akan  menjual nama baka mereka. Mereka ini macam benih Musang King lebih mahal dari benih durian  kampung. Baka ini menjadi cap mohor produk yang boleh diiklankan untuk  dijual. Bebal atau manai tidak menjadi  persoalan.

Waspada ! Untuk bersama dalam  elektoral politik atau politik undi memerlukan dana. Tidak kira tak ada bakat atau ada baka.

 Politik undi mengundi bukan murah. Malah  bertanding sebagai Ketua Bahagian memerlukan ribuan ringgit. Ini belum lagi bertanding sebagai calon Parlimen atau calon ADUN.

Satu Malaysia pernah mendengar kes klasik   – Six Million Dolllar Man – dari Pasir Salak. Maklumat  ini dibocorkan oleh  Mahathir apabila ada bakal calon yang membelanjakan 6 juta ringgit hanya untuk merebut kerusi  Ketua Bahagian dalam parti United Malays National Organisation.

Dana diperlukan untuk jamuan, untuk  cetakan banting dan poster, untuk berpropaganda dan untuk duit minyak  ke hulu ke hilir. Ringgit dan sen wajib ada.

Awalnya para proto YB mungkin pakai duit sendiri, bantuan kawan-kawan atau sokongan sanak saudara. Periuk kecil  keraknya kecil. Periuk besar keraknya besar. Lagi tinggi jawatan yang di rebut lagi besar modal yang di perlukan.

Dari mana dana nak di cekau ?

Disini muncul cukong. Sapa cukong ?

Perkataan cukong menjadi pop di Tanah Melayu ketika krisis ekonomi tahun 1998 .  Perkataan cukong menyeberang dari Jakarta ketika Jeneral Tuan Haji  Muhamad  Suharto   dibantai oleh   anak muda yang berdemonstrasi. 

Mengikut takrifan  Lebai Google : Cukong adalah menunjuk kepada pengusaha-pengusaha pemilik perusahaan besar. Perusahaan besar-besar di Indonesia. Kata ini sendiri berasal dari bahasa Hokkien.

Cukong ini tidak ada bezanya  dari  oligarki.  Cukong di Indonesia dan di Malaysia  terdiri dari China. Kalau yang bukan China mereka ditakrif oligarki.

Selama 30 tahun di belakang kuasa politik Jeneral Suharto  ialah para  cukong. Cukong yang membuat harta kekayaan  di seluruh Indonesia. Pada krisis ekonomi 1998 cukong  dibantai oleh anak-anak muda peribumi. 

Tahun 1998 lahir kesedaran peribumi Indonesia.

Bagaimana dengan Malaysia ?

Apa yang berlaku di Indonesia pada tahun 1998 telah berlaku 20 tahun lebih awal di Malaysia. Mei 13 1969 di Kuala Lumpur sama   juga  seperti Mei 21 1998 di Jakarta.

Cara cukong atau oligarki menyerap masuk ke dalam badan politik negara – sama ada di Jakarta atau di Kuala Lumpur adalah sama.

Para cukong akan memerhati sosok manakah yang  berkemungkinan menang dalam pilihan raya. Para cukong akan meneliti  parti manakah yang berpotensi untuk menang dan mendapat kuasa.

Para cukong akan melabur dana.  Dengan senyap-senyap sebakul demi sebakul duit akan dihantar. Duit masuk dalam pelbagai cara.  Tapi lebih selamat yang sampai duit tunai tidak melalui bank.  Ini untuk mengelak dari menjadi bahan bukti jika dituduh menerima rasuah.

Paling cerdik Sang Politikus  Moden di Malaysia semunya mendirikan yayasan. Cita dan niat yayasan ini untuk membuat amal bakti kepada rakyat  jelata.  Dana  dari cukong masuk ke dalam yayasan untuk tujuan membuat kerja amal jariah.

Dana ke yayasan bukan dana rasuah. Jika tidak percaya sila tanya peguam atau lebih afdal sila tanya  Peguam Negara.

Justeru Zahid Hamidi dengan Yayasan Akalbudi  terbukti tidak bersalah. Nama Akalbudi ini dibaca oleh Peguam Negara sesuci embun pagi. Justeru  Zahid dibebaskan dari 47 tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Cukong dan oligarki ini  tumbuh dari busut mana ?

Asal usul cukong ini agak menarik. Ada yang bermula bekerja sebagai penjual insurans. Ada yang bermula dengan menjual kereta, Ada yang bermula menjual besi buruk.  

Jangan hairan dan terperanjat jika penjual insurans akhirnya menjadi pemilik syarikat judi. Menjadi pemilik hotel dan kasino. Menjadi pemilik gedung membeli belah. Atau menjadi pemilik kilang besi. 

Vincent Tan, Tan Pek King. Eric Chia atau Lim Goh Tong adalah contoh-contoh cukong di Malaysia. Mereka hari ini  menjalankan perniagaan yang  halal. 

Tapi bagaimana mereka menjadi kaya raya untuk menjadi cukong. Mereka maju jaya melalui orang politik.

Sosok-sosok dikatakan rapat dengan Mahathir Muhamad. Ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri sosok-sosok ini mendapat projek mega.  Manakala Lim Goh Tong dikatakan rapat dengan  Tun Razak hingga berjaya membuka kilang  cetak duit bernama Genting Casino.

Dari ini fakta ini terbukti Lebai Google  betul dengan takrifan cukong adalah juga kroni.

Surah dan riwayat Mahathir dengan cukong ini telah banyak diperkatakan. Malah kesah Mahathir dengan  para cukong telah  di jadikan peluru dalam ceramah menghasut  di zaman Reformasi.

Lalu timbul persoalan. Zaman Mahathir sudah tamat. Apa jadi dengan para cukong yang  bertelur , menetas dan membesar di zaman Mahathir.

Apakah riwayat para cukong ini juga tamat sama seperti tamatnya kuasa politik Mahathir ? Jeng jeng jeng.

Bagaimana pula dengan PMX Anwar Ibrahim. Apakah  di belakang Anwar ada cukong atau ada oligarki. Apakah ada cukong yang mem pasak dan memperkukuhkan politik PMX.

Apakah mungkin Anwar dapat membebaskan Malaysia dari rasuah  dan  budaya cukong dan oligarki. 

Dari kempen anti rasuah yang diteraju oleh Anwar jelas kelihatan bahawa Anwar amat serius untuk membasmi rasuah. 

Anwar mahu  mendirikan tata kelola negara yang cekap bersih dan amanah opps.... maaf... silap. Cekap bersih amanah adalah  slogan Mahathir. 

Slogan Anwar ialah tata kelola wewenang perpaduan yang Madani.

Keseriusan Anwar membasmi rasuah dan budaya cukong ini dibuktikan apabila mengumumkan bahawa Anwar Ibrahim  tidak akan mengambil gaji bulanan   Anwar Perdana  Menteri dan gaji bulanan Anwar Menteri Kewangan. Amin. 

Anwar Perdana Menteri bekerja keras  bertungkus lumus ke hulu ke hilir sebagai  Anwar Menteri Kewangan tanpa gaji. Berita ini  telah memeranjatkan satu Malaysia.

Rakyat hairan, terpegun, terkejut dan tertanya-tanya. Najib dalam penjara Kajang pun akan terperanjat sama.

Dalam kehairanan ini ada seorang Mamat bertanya kalau Anwar Perdana Menteri nak beli mancis api  dari mana  Anwar Menteri Kewangan cari duit. 

Ini soalan Mamat yang bodoh kerana Anwar Ibrahim  tidak menghisap rokok. Rumah Anwar bukan pakai pelita. Anwar Ibrahim tidak memerlukan  mancis api.

Tapi bagaimana  pula bila 3 Disember 2023   sampai tidak lama lagi. Bagaimana Anwar Ibrahim nak beli coklat sebagai hadiah hari jadi Wan Azizah  Sang Isteri tercinta. 

Ini pun pertanyaan bodoh kerana Wan Azizah tak minat pada coklat untuk jaga badan.

Justeru  amat jelas Anwar Ibrahim Menteri Kewangan tidak perlu ambil gaji. Anwar Ibrahim Perdana Menteri sanggup hidup tanpa gaji  demi berkorban untuk rakyat. Amin.

Pelik tetapi benar. Semasa berkempen PRU15 dahulu Anwar Ibrahim  yang belum jadi Perdana Menteri  dan belum menjadi Menteri Kewangan di lapor berhelikopter ke hulu ke hilir. Jeng jeng jeng.

 Ini helikopter milik siapa?  Mustahil helikopter milik Mat Sabu. Jika bukan milik Mat Sabu  helikopter ini siapa yang punya ? Tunggu minggu hadapan. Amin, (TT)



TULISAN INI DISIARKAN
DALAM PORTAL
MALAYSIA NOW .COM
https://www.malaysianow.com/my/opinion/2023/10/06/oligarki-dan-cukong
JUGA DAALM PORTAL
THE MALAYSIAN INSIGHT.COM
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/465403





1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

pasal apa oligarki itu tiada mahatir mohammad asal kerala? mahatir adalah raja cukong.lihat saja bagaimana mahatir mengkayakan daim zainuddin, ananda krisnan, syeg bukhari, vincent tan..mahatir ada fixed deposit di bank of israel, daim ada bank di negara afrika..mentang2 la makan upah dgn azmin ali di malaysiaNOW.