Khamis, 3 Julai 2014

DAPUR JALANAN





KENYATAAN MEDIA
2 JULAI 2014

DI MANAKAH SIFAT KEPERIKEMANUSIAAN KU NAN
?

Dapur Jalanan mengecam sekeras-kerasnya kenyataan tidak masuk akal Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada 1/7/2014 dan secara kategorinya menyangkal setegas-tegasnya kenyataan beliau. Kenyataan beliau seperti berikut:-

“…Pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan dengan hukuman seperti denda ...apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat…”

Telah ada pengumuman awam bahawa Akta Orang-Orang Papa 1977 (AOP 1977) akan dipinda untuk menjenayahkan kegiatan meminta sedekah yang telah di ‘samakan’ oleh kerajaan dengan aktiviti warga miskin kota.

Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan ini kami lihat sebagai persediaan psikologi kepada orang awam bahawa isu warga miskin kota adalah masalah warga tersebut sendiri dan Kerajaan adalah dalam proses menyelamatkan warga miskin kota.

Ini adalah tidak tepat sama sekali kerana seadanya, AOP 1977 yang kononnya “menyelamat” dan “memulih” ini sudah disalahgunakan oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Kebajikan dan DBKL dalam pelbagai operasi seperti Operasi Gelandangan dan Operasi Qaseh yang menangkap dan menahan warga miskin kota seperti penjenayah sewenang-wenangnya.


“…Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita 'angkut' kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing …”

Perancangan menjenayahkan warga miskin kota semakin menggila dengan cadangan-cadangan yang dipersetujui oleh DBKL dan Menteri tersebut. Apakah sehingga naïf sebegini langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam usaha “menyelamat” dan “memulih” warga miskin kota seperti tertera di preamble AOP 1977?

Harus diingati bahawa akar punca isu warga miskin kota adalah masalah dalam struktur ekonomi dan sosial. Warga miskin kota tersisih dan dimarginalisasi di dalam sistem yang semakin hari semakin taksub dengan kecantikan material dan omong-omong kosong untuk mempamerkan kepada dunia bahawa Malaysia ini negara membangun.

Ironik sekali apabila kami melihat keadaan sebenar apabila kerajaan mengambil langkah “menyelamat” dan “memulih” warga miskin kota dengan menyembunyikan isu ini daripada mata-mata dunia menggunakan Ops Ops yang semakin rancak dan menggila.

"…Selain itu, badan bukan kerajaan yang memberi makanan secara percuma kepada gelandangan juga akan ditetapkan tempatnya dan tidak boleh merata-rata tempat kerana ini akan mengundang kekotoran…”

Masalah kekotoran di ibu negara sudah tidak asing lagi. Tidak masuk akal langsung apa yang dinyatakan oleh Menteri Wilayah Persekutuan yang sekarang ingin “membersihkan” kota dengan menangkap warga miskin kota. Dapur Jalanan Kuala Lumpur mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Menteri tersebut yang tampak naïf dan cetek pemahaman terhadap isu warga miskin kota.

Dimanakah sifat keperimanusiaan yang dihebohkan oleh kerajaan kepada media? Dapur Jalanan secara terbuka menjemput Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor untuk turun ke jalanan dan lihat keadaan sebenar warga miskin kota.

Kami cadangkan pihak kerajaan untuk membuat kajian yang menyeluruh dahulu sebelum apa-apa tindakan gopoh mencantikkan dan membersihkan kota dijalankan. Hentikan Operasi-Operasi yang tidak berperikemanusiaan ini serta merta!

Diterbitkan oleh,

Dapur Jalanan Kuala Lumpur


 
-----------

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

TT, lu kena paham ini projek pasang bubu. selepas ni semua yg nak menderma hanya boleh salurkan wang derma ke badan2 kerajaan tertentu, senang la badan2 kerajaan tu nak songlap...oops salurkan bantuan kepada golongan sasaran. alaa yg mcm kutipan zakat tu, jadi kau jgn buat2 tak paham.

..ini takde kena mengena dgn pengemis atau penderma, ini projek masyukkkk.