Ahad, 16 September 2018

PENCERAHYAN





Nam Ron, jangan putus asa, kata Isham Rais


PENGARAH filem One Two Jaga tidak sepatutnya putus asa kalau filem yang mengupas isu rasuah dalam pasukan polis dan memaparkan sisi lain Malaysia, yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang, tidak mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat, kata Hishamuddin Rais.

Aktivis politik yang pernah mengarahkan filem itu berkata, kejayaan sesebuah filem adalah subjektif dan tidak semestinya diukur dari hasil jualan tiket pecah panggung semata-mata.

“Filem ini kalau kita lihat ada dibuat untuk anak muda, kelas buruh dan kelas bawah. Jadi sebuah filem yang cantik berjaya daripada kutipan tiket, (filem yang) berjaya dari seni pembuatannya,” katanya, yang pernah mengajar subjek Filem dan Teori Filem di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

“Tapi kalau tak box office (pecah panggung) tidak bermakna filem itu gagal.

“Mungkin (jualan) tiketnya tidak menyeronokkan tapi tidak boleh melihat dari segi itu. Kita lihat pada seni jalan cerita dan teknik (pembuatannya),” kata Hishamuddin kepada The Malaysian Insight.

Hishamuddin mengulas sambutan terhadap One Two Jaga sejak tayangan umum pada 6 September lalu. Berbanding dua filem lain yang masuk panggung sebelumnya, Munafik 2 dan Hantu Kak Limah, yang masing-masing mencecah lebih RM30 juta, One Two Jaga difahamkan mengutip tidak sampai RM100,000.


“Ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi berlaku juga di Eropah. Banyak juga filem Eropah yang berseni dan baik tetapi gagal di box office. Ini satu perkara biasa,” kata Hishamuddin.

Nam Ron kemudian meluahkan kecewanya di Twitter, sebagai reaksi terhadap sambutan penonton yang lesu di pawagam.

“Ini satu perkara biasa, jadi kepada pengarah ini jangan berasa kecewa kerana kegagalan kamu hanya kegagalan box office. Itu bukan bererti kamu menggarap sebuah filem gagal,” kata Hishamuddin lagi.

One Two Jaga yang berpusat ceritanya pada rasuah dalam pasukan polis mendapat kelulusan skrip daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), yang turut memantau proses pembikinannya sehingga siap.

Filem itu bagaimanapun mendapat pujian pengkritik dan sebahagian penonton, termasuk beberapa menteri kabinet yang menganjur sesi menonton bersama sejak beberapa hari lalu, antaranya Menteri Luar Saifuddin Abdullah dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Hishamuddin merupakan pelajar filem di London semasa hidup membuang diri di luar negara selepas lari meninggalkan Malaysia ketika diburu setelah terlibat dalam gerakan mahasiswa pada 1974.

Tidak lama selepas pulang ke tanah air pada 1994, Hishamuddin mengarahkan Dari Jemapoh ke Manchester, sebuah filem yang merakamkan gelora berontak anak muda.

Dalam pada itu, Hishamuddin berkata walaupun Barisan Nasional bukan lagi kerajaan, sikapnya dalam berkarya tidak berubah dan sekiranya ada peluang, beliau berminat untuk menghasilkan sesuatu – kali ini secara terbuka.

“Saya sebelum ini menulis skrip untuk program realiti di TV swasta. Tapi nama saya tidak boleh dimunculkan,” katanya, yang mengaku namanya dipadamkan sebagai penulis skrip kerana tidak mahu menyeret penerbitan itu dalam kontroversi politik.

Menurut Hishamuddin, beliau kini berminat untuk menghasilkan filem cereka kerana “cinta pertama saya ialah kepada sinema, wayang bergerak.”

“Sebelum ini walaupun secara gelap-gelap saya teruskan juga,” katanya. – 16 September, 2018




-----------------

2 ulasan:

DIDI KOTA BELUD berkata...

Ko buat pilem skrip... Negaraku sudah jadi negeri.. Versi sabah.. .Ko berani taruk nama.. Tak berani.. Ko taruk nama aku.. . Akkakakakakakakaka

Tanpa Nama berkata...

Lho jgn dgr pak Isham chakap standard Jah 6 tajuk tu lain x lebih commercial lebih unique one two jaga bengali sing jadi jaga pongok siapo dio jaga haha hah org tak boleh cakap tgok dn nilai ataupun tgokla dulu film besar tajuk juga perlu besar film ber quality tajuk pelik jadi org Myanmar pun pelik hahaha orang kampung lagila lagila pejadahnya tajuk hahaha