Khamis, 28 November 2019

DAULAH TERPENDAM SABOTAJ PAKATAN HARAPAN





                    ARKIB 17 APRIL 2019

DAULAH TERPENDAM

SABOTAJ

PAKATAN HARAPAN


Saya telah beberapa kali menulis tentang daulah terpendam. Saya bertanggung jawab meMelayukan konsep ‘deep state’  kepada daulah terpendam. Pada awalan ketika saya menulis tentang daulah terpendam ramai menuduh Hishamuddin Rais adalah  penganut mazhab teori konspirasi.


Perkataan konspirasi ini menjadi pop di Malaysia apabila Anwar Ibrahim dibuang dari kerajaan Barisan Nasional dan ditangkap  kerana meliwat pada 20 September 1998. Maka para penyokong Anwar mentakrifkan ini satu konspirasi untuk menjatuhkan Anwar yang ketika itu ialah Timbalan Presiden United Malays National Organisation. Justeru perkataan  konspirasi telah dipopularkan. Pada hemat saya makna konspirasi telah difahami umum.

Konsep konspirasi ini juga ada kait mengait dengan daulah terpendam.  Walapu pun perkataan dan konsep daulah terpendam agak baru diperkenalkan kepada kita semua. 

Media dunia mula menghebohkan konsep ‘ deep state’ apabila merujuk kepada politik Mesir sesudah kejatuhan Presiden Mubarak pada 11 Febuari 2011. Warga Mesir telah menobatkan Morsi  sebagai Presiden pada  30 Jun 2012 untuk   mengganti Mubarak. Tentera melakukan rampasan kuasa pada 3 Julai 2013. Morsi  telah ditangkap. 

Kini bekas Presiden Morsi dalam penjara dengan ancaman hukum gantung. Media melaporkan bagaimana  Presiden  Morsi yang belum sampai  satu tahun menjadi Presiden telah dijatuhkan oleh konspirasi daulah terpendam.

Ini sama saperti kerajaan Pakatan Harapan yang hampir setahun menjadi kerajaaan - tetiba Menteri Luar Saifuddin Abdullah  membocorkan tentang wujudnya ‘ deep state ‘ yang sedang berkonspirasi  dengan niat jahat mensabotaj  kerajaan muda Pakatan Harapan.

Pasti orang ramai akan bertanya  apa dia  daulah terpendam ini?  Dan siapa dia daulah terpendam yang cuba mensabotaj Pakatan Harapan.

Saya sedar  tentang kewujudan daulah terpendam apabila saya mengambil bahagian dalam gerakan Reformasi untuk menjatuhkan Mahathir Muhamad dan United Malays National Organisation.

Pada awalan apabila Anwar Ibrahim dipecat demonstrasi telah berjalan secara sepontan. Kemudian beberapa kumpulan reformasi merancang untuk terus mengadakan demonstrasi. Kali ini dirancang, diatur dan disusun.

Saya terlibat dalam gerakan reformasi  bersama Zunar, Tian Chua, Lat Koya,  Pak Din, Nora, Malik Husin, Nasir dan arwah Tan. 

Dalam salah satu perbincangan saya timbulkan bagaimana saya  melihat ada satu corak kerja yang tersusun bilamana setiap kali kami bergerak untuk melakukan aksi Mahathir akan mengeluarkan kenyatan  lebih awal dari tindakan kami. Contoh terbaik ialah apabila saya cadangkan kempen Nyah Mahathir. Tetiba belum pun sempat kami umumkan Mahathir telah mengeluarkan  kenyataan - Nyah Ezam. Ini tindakan bijak dari musuh.

Babak Nyah Ezam  ini menjadi guru saya. Saya cukup yakin selain dari polis cawangan khas pasti ada lagi sosok-sosok yang membantu  Mahathir untuk berfikir dan mencari jalan untuk mematahkan gerakan kami. 

Dari pengalaman, saya anggap cawangan khas (SB) hanya pejalan kaki mengumpul  maklumat. Penganalisa maklumat - yang berfikir - sosok ini tidak pernah muncul dikhalayak - inilah yang saya anggap sebagai sebahagian dari daulah terpendam.

Mari kita tengok satu lagi kes klasik daulah terpendam berlaku pada tahun 2000. Tetiba pada pagi 3 Julai 2000 - Malaysia gempar dengan satu kejayaan rampasan senjata di Bukit Jenalik Sauk Kuala Kangsar. Dilaporkan media bagaimana  anggota kumpulan Al-Maunah telah  berjaya merampas 5 tan senjata dimuat masuk  ke dalam tiga buat Pajero dalam masa 15 minit sahaja.

Cerita dongeng 3 Pajero ini memang  tak masuk akal. Mustahil  5 tan senjata dapat dimasukkan  masuk ke dalam Pajero dalam masa 15 minit. Tak ada siapa yang percaya. Oleh kerana itu   Najib Menteri Pertahanan ketika itu  terpaksa mementaskan sekali  lagi sandiwara 15 minit ini di Kuala Lumpur. Ini dengan tujuan untuk meyakinkan orang ramai bahawa rampasan senjata itu bukan sandiwara.

Untuk saya pementasan ulangan sandiwara ini satu bukti bahawa Al -maunah di Bukit Jenalik sah satu sandiwara. Tetapi pada hemat saya  ada yang pekara  lebih  penting. Pekara ini ialah memerhati rapi  dan menganalisa  kerja daulah terpendam melalui  tajuk-tajuk akhbar arus perdana  pagi 3 Julai 2000. 

Terpampang induk berita -  Kumpulan Al-Maunah Melawan Agong. 

Untuk saya - melawan Agong - ini adalah perancangan daulah terpendam untuk menyelamatkan Mahathir. Ketika ini  Mahathir amat dibenci oleh Bani Melayu. Mahathir sedang berhadapan dengan demonstrasi anjuran  Gerakan Reformasi dan penyokong Anwar Ibrahim.

Gerakan rakyat popular dikalihkan - bukan menentang Mahathir tapi menentang Agong. Bijak cara kerja musuh. Amin.

Justeru saya nyatakan disini  bahawa daulah terpendam bukan satu dua sosok. Ianya resmi dan tidak resmi. Ianya memiliki ketua dan tidak ada ketua. Daulah terpendam adalah organisasi tenpa bentuk. Daulah terpendan wujud  - tanpa ‘command control’ yang resmi. 

Jika tanpa bentuk bagaimana ianya bergerak. Kalau tanpa ketua siapa  memberi arahan. Untuk memahami ini kita wajib tahu apa itu daulah atau state. 

Raja Peranchis Louis ke 14 ( 1638-1715) pernah berkata ‘ Le’etat, c’est moi’ - Beta ialah daulah. Ayat ini  tepat ketika pemerentahan raja mutlak. Tapi hari ini sistem raja mutlak telah dihapus. Yang tinggal hanya keluping-keluping feudal. 

Daulah hari ini adalah jentera kerajaan yang berkuasa. Mereka terdiri dari  pegawai tadbir, penjawat awam,  tentera, polis, mahkamah, jabatan agama dan dan dan.  Semua ini  adalah sebahagian dari jentera daulah. Semua sosok yang terlibat dalam jentera daulah  memiliki kepentingan. 

Kepentingan inilah yang  mengikat jentera, sosok dan individu  untuk memastikan daulah terus wujud tanpa diganggu gugat. Apa bentuk kepentingan yang  mengikat semua ini. Jawabnya - ekonomi -  fulus ,  dolar, dinar dan ringgit

Bila bercakap tentang ekonomi maka kita tidak dapat melarikan diri dari kaum pemodal. Dalam sistem ekonomi kapitalis yang diguna pakai di Malaysia kaum pemodal memainkan peranan yang amat penting. Malah - jangan terperanjat jika saya katakan disini bahawa kaum pemodal adalah juga sebahagian dari daulah terpendam. Malah dibelakang daulah terpendam ini ialah kaum pemodal.

Kaum pemodal  mahu mempertahankan kepentingan perniagaan mereka. Justeru mereka akan memastikan para politikus, para menteri akan  menjalankan dasar yang menjaga dan melariskan kepentingan kaum pemodal.

Garis bawah kaum pemodal - untung maksima - wajib terus dipertahankan. Kaum pemodal akan melabur. 

Dibelakang politikus atau menteri pasti ada cukong dari  kaum pemodal. Dalam politik pilihanraya - para politikus memerlukan dana untuk berkempen dan mencari sokongan. Maka dari sinilah kaum pemodal dan para cukong mara ke hadapan melabur untuk masa depan syarikat dan kontrek mereka.

Pekara ini bukan hanya berlaku di Malaysia. Dimana-mana negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis  modus operandi kaum pemodal adalah sama. Kaum pemodal akan bersama daulah terpendam.

Contoh terbaik - lihat bagaimana pentadbiran Presiden Trump masih terumbang ambing. Pentadbiran Trump tidak pernah selesa. Media menyerang Trump. Pegawai dan pembantu Trump satu demi satu meletak jawatan. Media terus menekan dan membuat pelbagai bentuk berita betul dan berita dongeng.
Hakikatnya dibelakang semua ini ialah daulah terpendam. Daulah terpendam Amerika  merasa tidak selesa dengan pentadbiran Trump. Kenapa tidak selesa. Apa silap Trump.

Silap Trump ialah dia bercita-cita  mahu memperbaiki hubungan dengan Rusia. Trump mahu  mengurangkan bala tentera Amerika yang berkeliaran dimerata pelusuk dunia. Trump mahu Eropah mengeluarkan dana sendri bukan hanya berlindung  dibawah ketiak NATO.

Lembaga ketenteraan NATO ini dibiyayai oleh Amerika. Trump mahu menggunakan  dana yang dapat diselamatkan dan dijimat untuk memperbaiki jembatan dan jalan yang runtuh rantah di Amerika. Trump mahu  menghidupkan kembali ekonomi  Amerika. Untuk umum - dasar dan cadangan Trump ini masuk akal.

Tetapi daulah terpendam  Amerika memiliki pandangan yang lain. Daulah terpendam mahu Rusia  terus menerus dijadikan musuh. Perang di Afghanistan, Syria dan Iraq wajib diteruskan. Pengkalan  tentera  Amerika  wajib terus beroperasi diseluruh dunia.

Tanpa Rusia sebagai musuh  pemilik industri senjata merasa terancam. Untuk kaum pemodal perang adalah perniagaan. Justeru pemilik industri senjata bersama kaum pemodal yang lain menjalankan kempen Nyah Trump. Kempen ini dijalankan oleh daulah terpendam dengan sokongan gelap dari lembaga risikan CIA.

Hakikatnya daulah terpendam wujud dalam setiap negara. Hakikatnya daulah terpendam ialah daulah gelap didalam daulah. Ianya wujud selari dalam kerajaaan. 

Kita kenal siapa Menteri, siapa Ketua Setiausaha Negara atau siapa Setiusaha  Jabatan atau siapa pengarah  lembaga itu dan lembaga ini. Tetapi mustahil kita akan mengenal siapa dia daulah terpendam  yang sedag bergerak mensabotaj kerajaan Pakatan Harapan.

Mari kita ulang baca berita  SUHAKAM yang baru selesai mendengar kes hilang lesap 4 warga Malaysia. Kes ini  dianggap pelik lagi memelikkan. Hilang lesapnya   Pastor Koh, Padri Joshua Hilmy , Ruth Hilmy  isteri Hilmy dan Amri Che Mat. Hilmy dan isteri  hilang pada tahun 2016. Pastor Koh pada 13 Febuari  2017. Dan  Amri pada bulan NOvember 2016.

Dari apa yang kita semua difahamkam jelas menunjukkan bahawa dibelakang kehilangan empat warga ini ialah daulah terpendam. 

Mungkin ini tuduhan liar lagi menghasut  dari  Hishamuddin yang sentiasa anti-kerajaan.

Tidak. Ini bukan tuduhan. Sila buka YouTube dan lihat klip bagaimana kereta Pastor Koh ditahan dan dia diculik. Ini bukan kerja Mat Pet Kampong Baru. Ini bukan kerja geng Sudin Tinju Kampong Pantai Dalam. Ini bukan kerja Geng24 atau Geng36.  Lihat klip itu dengan teliti. 

Ini kerja daulah terpendam. Apa niat. Apa tujuan penculikan ini? Tunggu minggu hadapan. (tt)


NOTA
tulisan ini telah disiarkan
dalam SUARA KEADILAN
sesiapa ingin melanggan 
akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
03-92-21-10-45







-----------

1 ulasan:

Nazrio berkata...

Motor arwah tan Ada Kat Mana sekarang...pahaLa BanyaK motor tu.. Aminnnn