Sabtu, 11 Februari 2023

AL-FATIHAH


Mangsa gempa Turkiye-Syria cecah 24,000

PASUKAN penyelamat membawa keluar kanak-kanak daripada runtuhan gempa bumi di Turkiye-Syria ketika angka kematian mencecah 24,000 dan musim sejuk sedang melanda kawasan gempa dengan hampir sejuta penduduk memerlukan makanan dengan segera.

Wilayah Kahramanmaras yang menjadi titik gegaran pertama gempa bumi berukuran 7.8-magnitud itu – diselubungi kematian.

Kahramanmaras adalah kawasan pedalaman yang didiami kebanyakannya dalam kalangan mangsa perang.

Gempa berlaku sebelum subuh pada Isnin lalu ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata sekurang-kurangnya 870,000 mangsa kini sangat memerlukan makanan siap masak di seluruh Turkiye dan Syria. Di Syria saja, hampir 5.3 juta penduduk kini hilang tempat tinggal.

“Ini jumlah yang sangat besar dan berlaku kepada populasi yang sudah sedia merana dan hilang tempat tinggal,” kata wakil Syria di Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian Sivanka Dhanapala.

Operasi menyelamat terus dilakukan selepas lebih 100 jam gegaran pertama berlaku yang menyebabkan jalan raya rosak dan ratusan bangunan runtuh sementara ribut musim salji melanda wilayah terjejas.

Seorang wanita hamil bernama Zahide Kaya selamat dan berjaya dibawa keluar daripada runtuhan selepas 115 jam gempa berlaku di daerah Nurdagi, wilayah Gaziantep di tenggara Turkiye, menurut laporan media Anadolu.

Anak perempuannya Kubra, berusia enam tahun turut dapat diselamatkan daripada runtuhan sejam sebelum itu.

Ibunya dibawa ke hospital tetapi belum ada maklumat berkenaan bayinya. – AFP, 11 Februari, 2023.

AL-FATIHAH

AMIN

Tiada ulasan: