Sabtu, 10 Jun 2023

LEPASKAN ANAK IKAN


Ikan air tawar Tasik Kenyir makin kurang, kata pengusaha

JUMLAH pengunjung dari kalangan kaki pancing di Tasik Kenyir merosot hingga 80% ekoran kekurangan ikan air tawar, kata pengusaha pelancongan di tasik buatan ini.

Senario itu meresahkan pengusaha ini yang bimbang Tasik Kenyir akan kehilangan salah satu tarikan utamanya jika tiada pemuliharaan dan penguatkuasaan agresif.

Seorang pengusaha ini Sulong Mustafa memberitahu The Malaysian Insight, beliau percaya stok ikan air tawar semakin kurang disebabkan amalan penggunaan pukat atau jaring yang berleluasa.

Beliau berkata kerajaan negeri sudahpun mengharamkan penggunaan pukat atau jaring untuk menangkap ikan di Tasik Kenyir namun amalan itu masih lagi berleluasa.


“Dulu kalau di Tasik Kenyir tiap bulan kaki pancing akan datang, mereka tidak ikut musim tapi sekarang ini memang pengunjung merosot sangat.

“Dan kebanyakan yang datang di Tasik Kenyir ini hanya untuk bercuti, bermalam di rumah bot. Kalau untuk aktiviti pancing ini bukan keutamaan lagi di Tasik Kenyir.

“Berbanding dengan dulu, Tasik Kenyir ini memang menjadi lokasi wajib kaki pancing,” katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa lebih agresif dalam tindakan penguatkuasaan supaya ikan di tasik itu dapat membiak dengan subur.

Usaha itu perlu dilakukan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Perikanan Malaysia.

“Semuanya kena duduk semeja, tingkatkan penguatkuasaan.

“Sekarang ini yang banyak buat rondaan hanyalah polis marin sahaja, tapi sumber itu mungkin terhad dan Tasik Kenyir sangat luas. Jadi kelemahan inilah yang diperbaiki,” katanya.

Tambahnya, biarpun ada usaha menaburkan benih ikan untuk menambah populasi ikan, keberkesanannya menjadi tanda tanya.

Tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara itu mula dibina pada 1978 dan disiapkan pada 1987.

Tasik kenyir seluas 38,000 hektar itu merangkumi 30 batang sungai utama, ratusan anak sungai, 25 air terjun dan sekurang-kurangnya 25 spesies ikan diketahui menetap di tasik ini.

Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, A Aziz A Rahim pula berkata setakat ini isu itu tidak menjejaskan pengunjung yang datang untuk bercuti di rumah bot.

Beliau berkata sektor pelancongan di Tasik Kenyir melalui banyak perubahan daripada ia tidak lagi terhad kepada golongan kaki pancing semata-mata.

“Jika dulu memang betul Tasik Kenyir ini hanya dikunjungi oleh kaki pancing saja. Tapi sektor pelancongan di Tasik Kenyir makin hari makin berkembang.

“Dengan adanya pertambahan rumah bot jadi yang datang di Tasik Kenyir ini adalah keluarga untuk bercuti dan bersantai di rumah bot, menikmati pemandangan.

“Untuk aktiviti memancing ini jarang sangatlah,” katanya.

Beliau berkata isu kekurangan ikan air tawar mungkin hanya kepada spesis unik seperti kelah dan temoleh.

“Tapi kalau spesis ikan lain masih banyak lagi. Tak adalah nak kata ikan Tasik Kenyir ini pupus. Kalau ikan toman, ikan baung itu sentiasa banyak di tasik ini,” katanya.

Pengkaji perikanan pula mendapati, stok ikan di tasik itu antara lain berkurangan disebabkan tiada kawalan aktiviti perikanan dan penggunaan peralatan perikanan.

Pensyarah Kanan Teknologi Alatan Perikanan dan Ekologi Perikanan di Universiti Malaysia Terengganu, Mohd Fazrul Hisam Abd Aziz memberi contoh penggunaan pukat tiga lapis.

Walaupun penguatkuasaan dilaksanakan, masih ada pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kaedah ini tanpa memikirkan kelestarian sumber perikanan, katanya.

“Kemudian kita juga kena menerokai penggunaan alatan yang canggih seperti dron, penduga gema dan satelit imej bagi mengesan aktiviti perikanan haram dan populasi semasa stok perikanan.

Tambahnya, perubahan cuaca yang tidak menentu juga memberi kesan kepada habitat semulajadi ikan termasuk sumber makanan ikan dalam air.

Selain itu kehadiran spesis asing seperti ikan baung ekor merah, siakap air tawar juga boleh memudaratkan ikan asal yang berada di Tasik Kenyir seperti ikan temoleh dan ikan kelah merah.

“Kerana ada juga di kalangan spesies asing yang agresif dan mampu membaham semua jenis spesis ikan, termasuk ikan asal Tasik Kenyir,” katanya.

Katanya, kekurangan stok ikan juga ada kaitan dengan permintaan yang tinggi bagi ikan air tawar dan tiada saiz ikan matang yang ditetapkan bagi spesies tertentu.

Beliau berkata langkah segera perlu diambil dalam usaha pemuliharaan seperti pelepasan anak benih ikan tempatan dari induk ikan di sekitar tasik.

Katanya, kaedah itu tidak harus dibuat sebarangan dan perlu ada kajian yang lebih mendalam sebelum pelepasan dilakukan.

“Paling penting lokasi pelepasan harus dilakukan kajian dengan teliti agar tiada tekanan berlaku kepada anak benih yang akan dilepaskan termasuk kawasan pelepasan juga harus ditutup sementara bagi aktiviti perikanan,” katanya.

Beliau berkata pemetaan stok perikanan juga harus dilakukan dari masa ke semasa bagi mengetahui paras stok ikan dan cara untuk menambahnya tanpa memberi tekanan kepada spesis lain.

“Akhir sekali kerjasama yang erat di antara komuniti,pihak berkuasa dan saintis amat penting bagi mendapatkan maklumat semasa stok ikan dan masalah yang dihadapi serta penyelesaian secepat mungkin,” katanya. – 10 Jun, 2023.




TERLAMPAU

RAMAI PEMANCING

HASILNYA 

IKAN KURANG

AMIN

JAWABNYA :

MASUKAN

 ANAK IKAN

YG TAK MENGANCAM

JAGA DAN BIAR

BESAR

AMIN

INI PERLU DANA

SOKONGAN

DARI KERAJAAN

AMIN

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kesian orang Malaysia, orang kena bagi tahu orang kerja agensi cara buat kerja, kalau tak bagi tahu, mereka makan gaji buta setiap bulan, kerja senang, kah kah kah kalau susah sangat buat undang macam negara kafir USA, siapa tangkap ikan kurang dari 12 inches kena saman 12,000 boleh tak? Siapa tangkap anak ikan pakai jala saman 24,000 boleh tak? Nak tengok siapa berani? Kalau semua kerajaan nak atur sampai anak ikan pun susah jadi kerajaan woit kah kah kah ini peringkat penguatkuasa fikir lah cara betul nak bantu, nak tolong industri, bersih kawasan dulu, sampah sarap jangan buang dekat tasik, kah kah kah susah sangat nak fikir pasal kerja sendiri woit