Selasa, 22 Ogos 2023

PENDUDUK SAMAN PEMAJU


Penduduk Sungai Buloh mahu saman pemaju isu pencerobohan padang BRP


PENDUDUK di Bukit Rahman Putra (BRP) di Sungai Buloh, Selangor memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah pemaju berhubung cadangan untuk menaik taraf jalan yang akan menceroboh padang di kawasan itu.

Mereka berkata ini adalah pilihan terakhir kerana rundingan dengan pihak berkuasa, pemaju dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) gagal membuahkan hasil.

Wakil penduduk BRP Keng Pui Kang berkata keputusan untuk mendapatkan peguam diputuskan oleh penduduk minggu lepas.

“Kami membantah pencerobohan di padang di sini sejak 2019.


“Kami bimbang dengan satu-satunya kawasan hijau di kawasan itu, jadi kami tiada pilihan selain mendapatkan peguam.

“Kami sedang berbincang dengan peguam dan kami juga perlu memulakan pengumpulan dana tidak lama lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Penduduk menentang keras rancangan pemaju untuk melebarkan jalan sepanjang 6m kepada 12m di Jalan BRP7/2 di kawasan kejiranan mereka yang bersebelahan dengan padang bola sepak dan pelebarannya akan menganggu kawasan hijau di sekitar itu.

Penduduk mendakwa kira-kira 59 pokok di atas padang bola sepak telah ditanda untuk ditebang.

Pelebaran jalan itu bagi membolehkan akses ke tapak pembangunan baharu di kawasan mereka.

Penduduk menggesa kerajaan Selangor dan MPS membatalkan projek itu kerana 40,000 penduduk di sekitar akan terjejas.

Keng berkata, Jumaat lalu beberapa kontraktor turun padang untuk menebang pokok.

“Kami menghalang mereka dan meminta surat kelulusan untuk menebang pokok.

“Kontraktor kemudiannya memberikan kami satu set dokumen termasuk kelulusan daripada jabatan landskap MPS.

“Mereka juga mengatakan pokok perlu ditebang untuk membina jalan. Kami kemudian meminta mereka surat kelulusan untuk membina jalan tetapi tidak ada. Jadi, mereka pergi,” katanya.

Keng berkata mereka mahu MPS menarik balik kelulusan pembesaran jalan dan membiarkan kawasan itu kekal sebagai kawasan rekreasi.

Beliau menambah mereka mendapati tanah diwartakan untuk kegunaan rekreasi pada Februari tahun ini.

“Apabila kami pergi ke MPS pada April, pegawai memberitahu kami tanah itu masih belum diwartakan dalam sistem mereka.

“Kami membantah sekeras-kerasnya (pencerobohan) dan mahu melindungi padang bola sepak daripada penyalahgunaan kerana tanah itu diwartakan pada 2021,” katanya.

Keng berkata, pemaju merancang membina 6,000 rumah dengan populasi 24,000 orang.

Seorang lagi wakil BRP Lam Kin Tong berkata mereka telah bertemu dengan pegawai Jabatan Kejuruteraan MPS pada 2 Ogos.

“Kami diberitahu oleh pegawai MPS bahawa arahan kerja bagi pembesaran jalan yang tamat tempoh pada 2021 akan diperbaharui.

“Kami membantah sekeras-kerasnya keputusan itu dan mengatakan tanah itu diwartakan.

“Kami memberikan salinan warta kepada pegawai tetapi mereka memberitahu mereka tidak menyedarinya,” katanya.

Lam menambah mereka memaklumkan kepada pegawai MPS mengenai hasrat untuk membawa perkara itu ke mahkamah.

“Pegawai memberitahu kami mereka bersedia untuk berdepan sebarang litigasi,” katanya.

Padang itu merangkumi gelanggang bola keranjang dan sepak takraw, laluan pejalan kaki dan trek joging.

Kawasan itu digunakan oleh penduduk BRP, Matang Pagar, Villa Putera, Villa Puteri, Amansari, Sri Indah, Sri Putra, dan Kuang.

Petisyen turut ditandatangani oleh 537 penduduk tempatan dan pengguna lapangan dan diserahkan kepada presiden MPS dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari pada 2019. – 22 Ogos, 2023



NAMA PEMAJU

TAPI SEBENAR

PEMUSNAH

AMIN

SAMAN JANGAN

TAK SAMAN

AMIN

HAJAR SEKALI

HAJAR SAMPAI

LUMAT

KHALAS

Tiada ulasan: