Khamis, 25 Julai 2024

DANA DARI ARAK & ROKOK



Dana rokok boleh?' soal aktivis pendidikan Cina di sebalik bantahan DAP terhadap larangan derma syarikat arak

Seorang bekas ahli parlimen DAP dan aktivis pendidikan Cina mempertahankan pendirian PAS dan pihak yang mempersoalkan penglibatan syarikat arak dalam menyalurkan derma kepada sekolah Cina, ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim berdepan bantahan DAP - rakan kongsi terbesar kerajaan campurannya - berhubung larangan beberapa industri daripada terlibat dalam aktiviti mengumpul dana untuk sekolah.

Kua Kia Soong, bekas pengetua Kolej New Era yang dibiayai pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiaozong, berkata ahli politik yang menuduh PAS bermain sentimen kaum bukan sahaja tidak mempedulikan kesan negatif penajaan sedemikian terhadap kanak-kanak, tetapi juga mengamalkan sikap dwi-standard.

Kua, bekas wakil rakyat Petaling Jaya yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atas kegiatannya memperjuangkan pendidikan bahasa ibunda, turut mencabar ahli politik yang mempertahankan dana syarikat arak kepada sekolah Cina untuk menyatakan pendirian mereka sama ada syarikat rokok boleh melakukan perkara yang sama.

"Bolehkah syarikat rokok juga mengumpul dana untuk sekolah Cina walaupun mereka juga mendakwa tidak menggalakkan kanak-kanak sekolah untuk merokok? Sikap dua muka ini terlalu jelas," kata Kua, yang mengulas kontroversi menyelubungi sumbangan RM3 juta daripada sebuah syarikat arak kepada sebuah sekolah Cina di Selangor, yang melanggar arahan Kementerian Pendidikan pada 2018.

Kontroversi itu juga menyaksikan lambakan kritikan terhadap Ahli Parlimen Sepang Aiman ​​Athirah Sabu, selepas gambarnya bersama-sama pegawai sekolah dan beberapa ahli politik meraikan pengumuman sumbangan kepada sebuah sekolah Cina di samping logo sebuah jenama arak terkenal.

Aiman, yang juga timbalan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, turut menjadi sasaran pengguna media sosial beragama Islam kerana penampilannya.

Walaupun memohon maaf sekiranya "ada yang sensitif dengan gambar saya pegang replika cek berlogo arak itu", Aiman ​​bertindak menyerang pemimpin PAS dengan menuduh mereka hipokrit kerana bermesra dengan orang bukan Islam yang meminum arak ketika kempen pilihan raya - kenyataan yang hanya menyemarakkan kritikan dan sindiran terhadap pemimpin Amanah.

PAS sebelum itu mengingatkan Aiman ​​mengenai surat pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan pada Mac 2018, yang melarang sebarang penglibatan hasil judi, rokok, dadah dan minuman keras dalam kegiatan memungut derma untuk sekolah.

'Saya pun minum arak, tetapi nilai etika saya jelas'

Kua, seorang penasihat kepada Dong Jiaozong, berkata beliau sendiri seorang yang meminum arak secara sederhana, tetapi itu tidak bermakna menghalalkan syarikat arak untuk dipromosikan di sekolah-sekolah.

"Menjadi seorang peminum arak tidak mengaburkan nilai etika saya sebagai seorang ahli pendidik.

"Boleh tanya rakan sekerja saya di Dong Jiaozong, sejak 80-an lagi, saya tidak pernah setuju dengan sumbangan dana daripada syarikat arak kepada sekolah kerana bagi saya, menggalakkan pengambilan alkohol di sekolah bertentangan dengan nilai sihat yang cuba dipromosikan oleh sekolah.

"Dan sekolah Cina sentiasa berbangga dengan nilai yang kami cuba terapkan di sekolah kami," kata Kua.

Menurut Pua, kempen mengumpul dana sekolah melibatkan syarikat arak membawa kesan yang sama seperti syarikat tembakau yang berselindung di belakang iklan produk bukan rokok, iaitu punca iklan seperti itu diharamkan.

"Janganlah kita berpura-pura kononnya kempen mengutip dana sebegini bukan bertujuan untuk pengiklanan," tambahnya.

Kua berkata syarikat arak tidak seharusnya dibenarkan mengiklankan kutipan derma mereka di sekolah kerana ia sama menormalisasikan kehadiran alkohol dalam sebuah persekitaran yang mana alkohol langsung tidak ada tempat.

"Apabila kanak-kanak melihat sekolah mereka berganding dengan syarikat arak, mereka mungkin mula melihat kerjasama ini dan produk mereka dalam perspektif yang baik. Ini menjejaskan usaha mendidik kanak-kanak tentang bahaya penyalahgunaan alkohol dan kepentingan membuat pilihan yang sihat berdasarkan maklumat betul, " katanya.

Beliau berkata sekolah diharapkan menunjukkan teladan dalam memupuk tingkah laku yang positif.

"Melibatkan pengeluar arak dalam pengumpulan dana boleh menghakis kepercayaan dan menimbulkan kebimbangan mengenai komitmen sekolah untuk memupuk persekitaran yang selamat dan sihat untuk kanak-kanak."

Kua sebaliknya berkata tanggungjawab menyediakan dana untuk pendidikan bahasa ibunda terletak di tangan kerajaan.

"Pertamanya, mengapa sekolah Cina dan Tamil perlu mengumpul dana? Ini kerana selama ini, peruntukan kewangan tidak sama rata kepada pendidikan aliran bahasa yang berlainan," katanya.

Kua menggesa PAS untuk menyusuli kritikannya dengan menjanjikan peruntukan adil kepada sekolah Cina dan Tamil dalam manifesto pilihan raya parti itu.

"Semua parti politik harus memasukkan dalam manifesto utama mereka bahawa kerajaan akan menyediakan pembiayaan yang sama rata dan adil untuk semua aliran bahasa di negara ini," tambahnya.




BUJET BELAJAR

BUJET SEKOLAH

SEHARUSNYA

BUKAN DARI

SYARIKAT ARAK

JUDI & ROKOK

AMIN

JUGA BUKAN DARI

SYARIKAT

BLACKROCK

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: