Ahad, 15 September 2024

KUDUNG KAKI TANGAN AKIBAT PERANG



Hampir 4,000 penduduk Gaza kudung akibat perang 11 bulan

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, 25 peratus daripada mangsa yang cedera dalam perang di Gaza, mengalami kehilangan upaya kekal yang akan menjejaskan kehidupan mereka di masa depan.

Wakil agensi itu, Rik Peeperkorn, berkata ada antara mangsa kudung kaki atau tangan, sementara sebahagian lagi terpaksa menjalani proses pemulihan yang lama.

Kata beliau, sekurang-kurangnya 22,500 daripada penduduk awam yang cedera di Gaza dalam tempoh 11 bulan sejak perang meletus perlu menjalani pemulihan yang akan mengambil masa bertahun-tahun.

Peeperkorn menyifatkan kenaikan mendadak dalam proses pemulihan mereka diperlukan ketika sistem kesihatan terjejas akibat konflik yang berterusan.

Merujuk kepada analisis terkini mengenai jenis kecederaan akibat konflik di Gaza, WHO mendedahkan, ribuan wanita dan kanak-kanak termasuk dalam golongan yang cedera teruk dan yang mengalami lebih daripada satu kecederaan.

Jelas analisis berkenaan, sebanyak 13,455 hingga 17,550 kecederaan anggota badan yang serius dilaporkan dengan antara 3,105 hingga 4,050 daripadanya hilang tangan atau kaki.

Kecederaan lain termasuk melibatkan saraf tunjang, kecederaan otak traumatik dan melecur teruk.

Pada masa sama, jelas WHO, hanya 17 daripada 36 hospital di Gaza kini berfungsi ketika perkhidmatan penjagaan kesihatan utama sering terjejas akibat perang yang berterusan.

Dalam perkembangan berkaitan, demonstrasi penunjuk perasaan Israel meneruskan tekanan untuk membebaskan tebusan yang diculik pejuang Hamas di Gaza Oktober lalu kini bertambah besar.

Puluhan ribu orang turun ke jalan raya di bandar-bandar utama Israel pada hujung minggu ini dalam usaha untuk meningkatkan tekanan ke atas kerajaan untuk mendapatkan pembebasan tebusan di Gaza, terutama di Tel Aviv dan Baitulmaqdis.

Daripada 251 tawanan yang dirampas semasa serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel selatan yang mencetuskan perang berterusan, 97 masih ditahan di Semenanjung Gaza termasuk 33 yang dikatakan tentera Israel telah mati.

Penganjur protes berkata jumlah orang ramai meningkat bulan ini selepas pengumuman pihak berkuasa Israel bahawa enam tebusan ditemui mati ditembak, dalam terowong di selatan Gaza.

Kerajaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menghadapi kemarahan yang semakin meningkat daripada pengkritik yang menuduhnya sengaja melengahkan perjanjian gencatan senjata bagi penukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin.

Rundingan yang ditengahkan oleh Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar untuk mencapai perjanjian antara Israel dan Hamas telah terbantut selama berbulan-bulan dan tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif. - AGENSI


MASUK AKAL

KAH BILA

ANWAR IBRAHIM

JUAL 39

AIRPORT KITA

KEPADA BLACKROCK

SYARIKAT

ZIONIS YAHUDI

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: