Jumaat, 29 Mei 2015

ZAHID SILAP BESAR




ZAHID TERSILAP TENTANG KEDUDUKAN MALAYSIA DI GLOBAL PEACE INDEX

Saya merujuk kepada jawapan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini oleh Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi, bahawa kedudukan Malaysia di dalam Global Peace Index (GPI) 2014 telah merudum kerana, antara beberapa sebab yang tidak diperinci, termasuklah aktiviti tunjuk perasaan oleh #Kitalawan, Gerakan Hapuskan
Akta Hasutan, Anti-Lynas dan Perhimpunan Aman Mahasiswa.

Kenyataan ini amatlah tidak bertanggungjawab dan langsung tidak tepat terutama sekali kerana beberapa contoh kempen demonstrasi yang diberikan itu hanya mula aktif pada tahun ini dan tidak mungkin memberi kesan kepada kedudukan GPI Malaysia tahun lepas.

Menteri Dalam Negeri telah tersasar sama sekali daripada rumusan laporan tersebut yang menyatakan bahawa "Petunjuk dalaman penting yang paling teruk merosot dalam sekitar tujuh tahun kebelakangan ini adalah tahap aktiviti keganasan, kadar pembunuhan, kemungkinan berlakunya demonstrasi ganas, tahap konflik terancang dan persepsi jenayah."

Jawapan bertulis itu, yang menyalahkan kempen demonstrasi jalanan di dalam hal ini, hanya berniat untuk mengelirukan. Kebanyakan aktiviti tunjuk perasaan yang dijalankan adalah aman dan tidak termasuk kategori demonstrasi ganas. Laporan itu juga telah menyatakan secara spesifik bagi Malaysia bahawa negara ini terdapat peningkatan tahap dari segi aktiviti pengganas dan ketidakstabilan politik.

Sudah sedia maklum bahawa Malaysia telah bertarung dengan kumpulan pengganas (contohnya, gerakan "Islamic State" dan juga saki baki daripada kejadian Lahad Datu). Oleh itu, ini mungkin lebih tepat untuk menjadi pengukur kepada keadaan kedamaian negara ini. Satu lagi faktor yang mungkin boleh diambil kira adalah jenayah ganas, yang mana statistik pihak polis sepertimana dilaporkan oleh Pemandu pada tahun 2013, juga terdapat peningkatan.

Bacaan sepintas lalu laporan sudah cukup untuk memberi gambaran jelas bahawa di antara tiga petunjuk am yang digunakan iaitu "Konflik Dalaman dan Antarabangsa yang Berterusan", "Keselamatan dan Sekuriti Masyarakat" dan "Ketenteraan", Malaysia mendapat markah yang teruk di dalam dua kategori yang akhir.

Laporan itu juga menyatakan bahawa "Keselamatan dan Sekuriti Masyarakat" yang merupakan indeks yang paling merosot, adalah berkait rapat dengan tadbir urus kerajaan, persekitaran perniagaan dan korupsi; semua ini merupakan sebahagian daripada lapan Tunggak Kedamaian.

Saya sarankan agar pihak kerajaan tumpukan usaha untuk memperbaiki kelapan-lapan Tunggak Kedamaian dan bukan sewenang-wenangnya menyalahkan rakyatnya sendiri yang hanya melunaskan hak asasi mereka.

NIK NAZMI NIK AHMAD
KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN

29 Mei 2015

*Tunggak Kedamaian: Tadbir Urus Kerajaan Baik, Persekitaran Perniagaan yang Baik, Kadar Korupsi yang Rendah, Tahap Modal Insan yang Tinggi, Penerimaan Hak Masing-Masing, Pengagihan Sumber Secara Adil, Hubungan Baik dengan Negara Jiran, Aliran Maklumat yang Bebas





-------------

Tiada ulasan: