Khamis, 2 April 2020

SEMUA UNTUK KESELAMATAN BERSAMA







SEMUA UNTUK

KESELAMATAN

BERSAMA


Banyak restoran terpaksa ditutup selepas kawalan lebih ketat dikuatkuasa

LEBIH banyak restoran akan ditutup selama-lamanya apabila kawalan lebih ketat dikenakan untuk fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula semalam, kata pengendali.

Fasa PKP 1 hingga 14 April memberi kebenaran operasi lebih pendek antara jam 8 pagi hingga 8 malam untuk restoran, pasar raya, kedai runcit dan stesen minyak.

Restoran dan kedai makan lain masih dibenarkan dibuka untuk perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran.

Namun pengendali restoran memilih untuk menghentikan operasi perniagaan pada masa ini dan hanya akan memutuskan sama ada untuk membuka semula perniagaan selepas berakhirnya PKP.

Dengan masa yang lebih ketat pengendali berkata mereka tidak lagi dapat menanggung kos dan memberi gaji pekerja mereka.

PKP dilanjutkan selepas pengurangan kes jangkitan Covid-19 dilihat perlahan. Pihak berkuasa juga mengetatkan undang-undang waktu operasi kedai makan.

Sehingga petang semalam seramai 45 orang meninggal dunia manakala 2,908 dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti virus berkenaan.

Ketua chef merangkap pemilik Restoran Harmony Banquet Yin Lau berkata beliau sudah memberikan diskaun 20% kepada pelanggan yang membeli makanan bawa pulang sebagai insentif. 

“Sambutan tidak teruk tetapi selepas membuat pengiraan kami dapati kami tidak dapat bayar pekerja kami.  

“Pada permulaan Mac (sebelum PKP) kita dapat beberapa ribu ringgit sehari tetapi sekarang turun tinggal beberapa ratus.

“Saya teringat satu hari ketika kami hanya menerima pesanan pada waktu siang dan tidak ada perniagaan dibuka pada waktu malam,” katanya.

Yin berkata beliau akan menutup restoran itu selama dua hingga tiga bulan dari 1 April dan sama ada perniagaannya akan dibuka semula bergantung pada keadaan semasa. 

“Wabak Covid-19 menjejaskan seluruh pasaran jadi kami perlu hentikan operasi pada masa ini dan lihat apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim (Presma) Jawahar Ali berkata persatuan itu mempunyai 4,200 ahli yang menjalankan kira-kira 8,000 restoran di seluruh negara akan mematuhi arahan kerajaan dalam mengekang penyebaran Covid-19.

“Kami akan mengikut arahan kerajaan, restoran hanya akan dibuka untuk makan malam tidak boleh makan di kedai,” katanya. 

Tetapi Jawahar berkata restoran India-Muslim atau lebih dikenali sebagai “mamak” mungkin akan ada penurunan pesanan.

Sejak PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac beliau berkata kedai mamak paling teruk mengalami penurunan sehingga 70% dalam perniagaan.  

Malah sebelum PKP mereka sudah melaporkan penurunan antara 30% hingga 40%. 

Restoran mamak juga mula memendekkan waktu operasi 24 jam hingga 18 jam sebelum PKP. 

“Kakitangan restoran bekerja dalam tiga sesi, kemudian dipotong menjadi dua sesi selama 18 jam,” katanya.

Faktor lain yang menyebabkan ahli Presma tidak mampu mempertahankan sumber kewangan ialah kewujudan perkhidmatan penghantaran makanan dengan diskaun yang baik ditawarkan kepada pengguna seperti Grabfood dan Food Panda.

Diskaun sehingga 30% ditawarkan mengurangkan pendapatan ahli restoran.

“Kami sudah menghantar surat kepada syarikat penghantaran (Food Panda) dengan harapan dapat mengurangkan diskaun dari 30% kepada 15%,” kata Jawahar.

Jawahar berkata beliau menjangkakan pesanan penghantaran makanan akan meningkat sepanjang PKP dan mahu perkhidmatan penghantaran makanan mengurangkan keuntungan mereka bagi membantu restoran mengatasi krisis semasa.

“Kami berterima kasih kepada bank-bank yang sanggup menangguhkan bayaran balik hutang untuk tempoh 6 bulan akan datang walaupun kami masih perlu membayar bunga. Kami masih perlu membayar elektrik dan air tetapi kami tidak akan membuang sesiapa pun,” katanya.

Sebaliknya Presiden Persatuan Restoran Selangor Ku Su Shin Choong Hung (Kusu), Lum Tuck Loy berkata restoran yang dikendalikan oleh mereka yang berada di bawah persatuan itu belum dibuka sejak PKP dikuatkuasa pada 18 Mac.

“Kami tidak memenuhi kriteria untuk membawa pulang makanan dan tidak mempunyai pekerja bagi menyediakan perkhidmatan penghantaran jadi kami terpaksa menutup restoran mengikut PKP,” katanya.

Beliau berkata sukar untuk mengira kerugian pada masa ini tetapi restoran umumnya memerlukan RM100,000 sebulan bagi memastikan perniagaan berjalan.

Dengan PKP yang dianggarkan hampir setengah bulan kerugian boleh dijangka kira-kira RM50,000.

Beliau menambah restoran masih perlu membayar pekerja walaupun perniagaan terpaksa ditutup. – 2 April, 2020.

MEREKA BUKAN

KAPITALIS BESAR

BUKAN MUSUH

ORANG RAMAI

KITA WAJIB

SOKONG PENIAGA

KECIL
AMIN


----------

Tiada ulasan: