Khamis, 2 April 2020

MERAKAM SEJARAH - DUA MINGGU BERKHALWAT





MERAKAM SEJARAH

DUA MINGGU BERKHALWAT

Ketika  saya menulis ini kita  - anak semua bangsa warga Malaysia telah selesai berkhalwat selama dua minggu. Kementerian Kesehatan dan Majlis Keselamatan Negara telah memberi arahan untuk menyambung  masa berkhalwat hingga 14 April 2020. 

Apa yang berlaku sekarang tidak pernah umat manusia  alami.  Ini kali pertama dunia mengumpul pengalaman melawan wabak  virus yang sedang menyerang seluruh dunia. Ketika asteroid melanggar dan membunuh semua dinosaur  66 juta tahun dahulu umat manusia masih belum muncul.  

Serangan Spanish Flu (1918-1920)  ketika perang Dunia Pertama sedang rancak berjalan  hanya merebak di Eropah dan Amerika Sarekat. Hari ini COVID-19 merebak ke seluruh dunia. Dimana ada internet disitu ada virus karona.

Hari ini 1 April 2020   Tuan Bob Weighton dari Hampshire United Kingdom telah dinobatkan oleh  Guinness penyimpan rekod dunia  sebagai sosok lelaki tertua dalam dunia. Dua hari dahulu Bob menyambut hari jadi ke 112.  Bob menyambut hari jadinya seorang diri. Ini  kerana di UK  perentah berkhalwat sedang berjalan.

Seratus tahun dahulu Bob telah selamat  dari  serangan  Spanish Flu dimana 50 juta warga Eropah dan warga dunia  gugur.  Data kini menunjukkan 675,000 warga Amerika Sarekat tewas. Kini Bob berhadapan dengan virus karona.

‘ Terlalu ganjil… saya pernah mengalami pelbagai penyakit.. tapi virus karona ini amat amat berlainan..’  Saya merasa kecewa tapi inilah hakikat yang wajib kita terima…’ Kata-kata Bob kepada akhbar Guardian London.

Inilah  hakikat dunia kita hari ini. Kita anak semua bangsa warga Malaysia bukan  bersendirian. Seluruh dunia sedang dalam keadan yang sama.

Hari ini Rabu 1 April 2020  Setiausaha Agong Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB)  Antonio Guteress telah mengumumkan bahawa dalam sejarah 75 tahun PBB serangan Covid-19 adalah buruk dan lebih hodoh dari pengalaman umat manusia dalam  Perang Dunia Ke Dua.

Kita semua umat manusia tidak memiliki pengalamam dalam memerangi virus halimunan ini.  Apa yang kita ada ialah pengalaman yang lalu.  Di Malaysia kita tidak ada kebakaran besar, langgan ribut taufan, ledakan gunung berapi atau mala petaka  alam.  Banjir kita pun macam air kolam naik melempah.  Itu pun sekali sekali di Kelantan kerana pembalakan.

Ketika Perang Dunia  Kedua (1941-1945)  – Tanah  Melayu ditadbir oleh Inggeris. Kita hanya ada pengalaman dalam trajedi Mei 13.  Ini kita anggap krisis paling besar dalam sejarah tanah air sesudah Inggeris balik kampong. Jika dibandingkan  Mei 13 dengan  Covid-19 maka Mei 13 ini macam kita pergi beratur membeli goreng pisang  Raja di Brickfields.

Walau tanpa pegalaman kita ada pekara-pekara yang  boleh dan wajib kita lakukan bersama. Pekara ini  sejagat. Pekara ini dialami oleh  warga dunia. Ianya bukan hanya untuk Covid-19 tetapi untuk sekarang dan bila-bila.

Anak semua bangsa  warga Malaysia sedar bahawa kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin oleh  Muhyiddin Yassin yang   baru terdiri ini masih goyah dan belum stabil. Ketika virus karona mula muncul di Wuhan akhir tahun lalu , kita di Malaysia sedang berhadapan dengan krisis politik. Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncuya sedang mengasak Mahathir  untuk berundur. Krisis politik ini berakhir dengan kerajaan baru. .

Belum sempat kerajaan baru mengembang sayap dan mengenap muncul virus  karona. Kini kerajaan Muhyiddin sedang berhadapan dengan Covid-19.

Belum ada pungutan suara atau kajian dilakukan secara ilmiah. Tapi dari pemerhatian   saya dan dari pembacaan tidak salah jika saya katakan bahawa pada ketika ini negara boleh dikatakan terpecah dua. Satu kumpulan menyokong Pakatan Harapan dan satu lagi menyokong Perikatan Nasional. 

Tulisan ini bukan untuk mengeledah siapa betul dan siapa salah.  Tulisan ini bukan tentang kerajaan pintu belakang, pintu depan, kerajaan tingkap atau kerajaan torowong. Tulisan ini bertujuan untuk kita  bersama menggunakan pengalaman yang ada pada kita untuk berhadapan dengan musuh baru. Kita berupaya melihat, meminjam, meniru  pengalaman negara lain untuk mengalahkan musuh kita yang  lebih besar bernama Novel Caronavirus. 

Kerajaan dan politikus dimana-mana  dalam dunia ini dikenali sebagai kaki putar. Dalam apa jenis parti pun politikus adalah kaki putar numero uno. Ini muncul hasil dari sistem mencari undi terbanyak untuk menang dan mendapat kerusi Adun atau Parlimen. Pari Islam ke , parti kapir ke  - semua sama.  Dalam sistem pilihanraya meraiah undi – nabi dan wali yang membawa kebenaran  pun akan dikalahkan oleh politikus putar alam. Khalas.

Dengan penuh kesedaran saya memahami  akan perangai para politikus dari Asia, Afrika dan Amerika  Latin terutama politikus dari Malaysia. Putar belit untuk menonjol diri, untuk terselit sama  telah mereka  jadikan sebagai  seni. 

Walau pun  sademikian saya masih yakin , saya akan berusaha untuk menyedarkan diri mereka. Ini kerana kita sedang berhadapan dengan virus halimuan. Saya mahu menyedarkan mereka agar bercakap benar. Bercakap apa yang mereka betul-betul fahami, hayati dan yakini. Bercakap pekara yang ilmiah bukan pekara-pekara  air suam. Bercakap jujur dan  becakap benar amat penting dalam usaha  kita melawan  Covid-19.

Menteri Perumahan YB Zuraidah  tidak perlu  membungkus diri menjadi hantu pucung untuk membuktikan kepada rakyat bahawa dirinya prihatin terhadap kesusahan rakyat. Menteri tak perlu  menonjolkan diri  melawan karona.

Dalam masa yang sama YB Akmal Nasir Ketua Angkatan Muda PKR  tidak perlu mencuba naik setakok dengan membuat komen bangang yang menjadikan kempen  Yb Zuraidah menyedut virus karona dilihat gagal.

Menteri Ismail Sabri wajib sedar bahawa  bulan puasa  atau hari raya bukan terletak ditangan Menteri Pertahaan.   Pak Menteri dalam negara mana,  menganut apa agama pun  tidak boleh mengugut untuk membatalkan Hari Raya kerana ada sosok ingkar tak duduk dirumah ketika larangan dikuat kuasakan. Hampeh.

Parti United Malays National Organisation Johor Bahru tidak seharusnya menjadi towkay memonopoli menjaja kebaikkan melalui agihan makanan untuk orang ramai yang memerlukan.  Memonopoli membuat kebaikkan  menjadikan parti DAP kecewa kerana parti ini juga mahu membuat amal jariah.

Memonopoli jalan ke Parlimen opps… silap… memonopoli berbuat baik ini akan  membawa mudarat kepada orang ramai yang sedang memerlukan  bekalan makanan.  United Malays National Organisation masih tebal degan perangai lama. Gerombolan ini tidak sedar bahawa  rakyat terputus bahan  makanan kerana arahan berkurung. Rakyat tak kira siapa yang hantar. Yang penting makanan sampai.

Perdana Menteri Muhyiddin dan Sang Isteri jangan dilihat melanggar undang-undang berkurung.  Tan Seri dan Mak Datin  tak perlu membuktikan bahawa mereka  juga rakyat biasa setara dengan Kak Bibah  dari Kampong Abdullah Hukum yang pergi  beratur ke pasar raya  untuk membeli cawat dan berus dawai.  

Inilah contoh contoh beberapa  kesah bangang lagi bebal yang dilakukan oleh politikus kita dalam masa  dua minggu kita berkhalwat.

Hendaknya jangan satu hari nanti kita  terbaca kertas kerja  Tuan Ibrahim Tuan Mat bertajuk : The Effect of Global  Warming and the Emergence of Novus Virus. Kertas kerja ini  akan disampaikan ke Persidangan World Health Orgnisation (WHO) di  Bangsa Bangsa Bersatu. Ya  ampoon – siah palih. Janganlah jangan.

Apa yag ingin saya  nyatakan disini ialah pihak berwajib, para menteri, pegawai tinggi kerajaan,  mufti, imam , padri, sami  malah siapa sahaja yang berkemungkinan membuat pandangan – buatlah dengan berhati-hati.  Pandangan dan pendapat wajib tepat, benar dan saheh.

Ketika ini dengan media baru dan media sosial  sesiapa sahaja boleh bergebang, boleh  memiliki stesen tv, stesen radio , membaca warta berita, bertik tok  tanpa ada halangan. Justeru dalam suasana memerangi virus ini sebelum membuka  mulut fikir dahulu. Sebelum berwats app fikir dahulu. Setelah mengetik punat computer baca sekali lagi. Ulang baca dan tanya diri – apakah apa yang aku tulis ini benar  dan membawa kebaikan. Atau menambah keresahan dalam keadaan yang sedia resah.

Maklumat yang perlu disampaikan kepada orang ramai dalam usaha memerangi virus ini wajib tepat dan benar. Pihak berwajib yang menyampaikan maklumat wajib diyakini.

Kunci disini ialah diyakini. Bila saya munculkan kata kunci ini maka  kita akan kembali kepada keadaan politik yang sedia wujud. Apa yang saya katakan awal tadi bahawa  negara kita pada ketika ini  terpecah kepada dua bahagian. Satu dengan Pakatan  Harapan dan satu lagi dengan Perikatan Nasional. 

Jangan hendaknya apa saja yang dituturkan oleh pemimpin  Perikatan Nasional akan dianggap haprak. Wajib diperlekeh. Dalam masa yang sama apa sahaja yang diucapkan oleh pemimpin Pakatan Harapan dianggap ucapan gila talak.

Jika ini berlaku maka segala usaha kita untuk melawan musuh nan satu akan gagal. 

Wajib saya usik sadikit disini. Apa yang sedang kita lihat dan alami sekarang hanya permulaan. Kalau  dalam panggung wayang ini 15 minit pertama. Kita sedang menonton iklan.  Clint Eastwod dan Brad Pitt belum muncul. Cerita sabenar belum bermula. 

Aduh !  Kalau iklan pun sudah terok bagaimana agaknya apabila wayang bermula. Justeru sebelum wayang bermula ketika kita menonton iklan maka saya mencadangkan agar kita semua bersikap jujur, ikhlas dan bercakap benar. 

Politikus sila ubah perangai.   Dalam masa yang sama anak semua bangsa yag terbahagi kepada dua wajib sedar bahawa virus ini tidak kenal PH atau PN. Karona akan sapu kiri dan kanan. Kita semua dalam satu kancah.  Hidup kita  bersama. Mati kita pun bersama.

Bila agaknya iklan akan selesai dan wayang bermula? Tunggu minggu hadapan. (TT)
















------

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pundek la minggu depan. Patutnya lusa la lancau.hawar covid ni berubah tiap jam.maksudnya esok lain strategi nya.kamu sama juga monopoli kebenaran.semua orang juga mau bercakap benar

sketsa sebuah perjuangan berkata...

Hari ini besok baru ceritanya bermula.

Tanpa Nama berkata...

Ketika virus corona mula muncul di Wuhan akhir tahun lalu , kita di Malaysia sedang berhadapan dengan krisis politik. Anwar Ibrahim dan kuncu-kuncuya sedang mengasak Mahathir untuk berundur. Krisis politik ini berakhir dengan kerajaan baru.
- Nak jugak salahkan Anwar Ibrahim pasal Langkah Sheraton tu. Adoi