Rabu, 14 Julai 2021

SINGAPURA AKU DATANG

 


SINGAPURA

AKU DATANG 


Tahun 1957  aku sudah masuk darjah satu ke Sekolah Umum Kuala Klawang A di Jelebu. Letaknya di atas bukit di tepi pekan Kuala Klawang.  Hendak sampai ke sekolah aku wajib melintasi kem askar upahan Inggeris - askar Ghurkha.  

Kuala Klawang ialah pekan askar.  Sama seperti Kuala Kubu Baru atau Mentakab. Pekan ini  menjadi pekan strategik untuk kuasa kolonial Inggeris. Daerah Jelebu bersempadan dengan Temerloh Pahang - wilayah  pusat pejuang nasionalis Melayu.

Ketika aku mula masuk sekolah Parti Komunis Malaya sedang  memimpin gerakan  bersenjata melawan  penjajah Inggeris. Jelebu kawasan ‘ hitam’ sehingga tahun 1966.  Justeru kem tentera upahan Inggeris  ditempatkan  di tepi pekan Kuala Klawang. Ada satu batalion askar upahan Inggeris ini.

Aku masih ingat lagi hari pertama aku ke sekolah.  Cik Gu darjah satu  aku bernama Raja Razali. Sosok gemuk dan berkulit hitam. 

Aku datang ke sekolah berkasut getah, berseluar hitam pendek dan berbaju putih. Aku memiliki papan batu dan kalam untuk belajar menulis. Papan batu boleh ditulis depan belakang. Depan untuk tulisan Rumi dan belakang untuk tulisan Jawi.  Aku juga ada membawa sebiji botol kecil  air untuk memadamkan apa saja yang telah ditulis di papan batu.  Kalau tak ada air – air liur pun boleh jadi pemadam.

Dalam bilik darjah tidak ada kerusi atau meja. Kami duduk bersila atas lantai simen. Sekolah Kuala Klawang A untuk lelaki sahaja. Sekolah Kuala Klawang B untuk perempuan sahaja. Jadi duduk bersila tidak menjadi masalah kepada kami murid lelaki.

Kerusi dan meja terletak di sudut  untuk  Cik Gu  Raja Razali. Murid duduk bersila  menghadap papan hitam. 

Aku tidak akan melupakan kelas pertama dalam hidup aku. Kami diajar mengenal A-B-C dan 1-2-3 – berulang ulang. Huruf dan angka ini ditulis di papan hitam dengan kapur.  

Jam 10.00 kami berhenti rehat.  Aku  dapat duit belanja  10 sen sehari. Aku  dapat beli  sebungkus nasi lemak dan satu kuih gulung. Untuk minuman ada air paip.  Mak Cik di rumah teres di bawah bukit  yang menjual  kuih.

Kelas akhir hari pertama  jam 12.00 tengah hari  Cik Gu Raja Razali  telah mengajar sebuah  lagu. Inilah lagu pertama yang aku belajar. Sampai  sekarang aku mengingati:

Bangun Awang
Bangun Awang
Kamu tidur ke lagi
Kamu tidur ke lagi 
Ayam sudah berkokok
Ayam sudah berkokok
Kuk kuk koo
Kuk kuk koo

Sesudah kami lancar lagu ini  Cik Gu Raja Razali  membenarkan kami semua  pulang ke rumah.   

Ah! Indah sungguh belajar di sekolah. Hari pertama yang tidak akan aku lupakan. Hari pertama juga aku telah mendapat kenalan baru : Hafiz, Brahim, Jo, Jamal, Zul, Ahmad,  Yunus, dan  Zahid. Ini antara kawan-kawan baru aku.

Hari berganti minggu. Minggu  menjadi bulan. Kasut  putih jadi hitam. Baju putih jadi kelabu. Seluar hitam  menjadi tambah hitam.

Satu hari Emak aku berkata. “ Cuti sekolah nanti kita ke Singapura...’

‘ Cuti bila... pasal apa gi Singapura... sapa pegi.. naik apa.. duduk ke mano ? ‘ Kegembiraan  mendengar nama Singapura melahirkan pertanyaan bertalu-talu. Cik  Gu Zaleha  sudah biasa dengan  perangai anak muridnya.

‘ Wan Timah kau nak pergi naik haji.. kita semua pergi... kita sewa  kereta... ‘  Penjelasan pendek.

‘ Haji macam mano .. Haji macam Lobai Asan laki Sawi ke ...nak duduk kek mano di Sangapuro ? ‘ Aku tak puas dengan penerangan pendek.

 ‘ Abah  kau  akan ambil cuti... kita pergi lepas raya... duduk sano dua minggu..’ Lagi penjelasan.

‘ Duduk dimano... rumah sapo ? Pertanyaan lagi.

‘ Mak akan tulis surat pada  Pak Long Sani.. dia duduk di Geylang...Pak Lang Latif kau pun ada di sana..’ Emak aku menyebut nama-nama tubuh badan  yang belum pernah aku jumpa. Ini sepupu sepapat saudara mara  waris dari sebelah  Tok Wan Rahmah aku

Aku tak sabar  nak melihat  Singapura. Nama Singapura ini  aku  selalu dengar dari lagu   R. Azmi. Di Kuala Klawang cencorong dipanggil radio  bukan macam di Tapak – dipanggil cencorong.  Radio Malaya selalu memainkan piring hitam lagu-lagu nyanyian R. Azmi.

Suara R. Azmi berkumandang menjemput orang ramai  dengan lagu  Kalau Datang Ke Singapura:

Kalau datang  ke Singapura 
Hati tentu merasa ria
Melihat jambatan Merdeka

Di Happy World
New World
Di Great Wall
Tempat bersuka berjoget moden
Tempat berdansa semua sudah sedia
Tentu tuan tidak akan lupa
Di waktu petang jika kita berjalan di tepi pantai
Boleh kita cuci mata
Dengan pemandangan yang amat permai

Aku tidak  faham  apa yang disuarakan oleh R Azmi. New World, Happy World atau Great Wall. Semua nama-nama ini tidak ada makna kepada aku. Joget aku tahu. Dansa aku tak tahu dan tak pernah melihat. 

Apa yang aku tahu ialah aku amat gembira. Akhirnya  aku  berpeluang  ke Singapura. Belum ada rakan sedarjah yang telah pernah sampai ke Singapura. Aku yang pertama.

Wan Fatimah – emak kepada Abah aku – akan naik haji.  Emak aku sebagai guru menerangkan tentang naik haji.   Cara  naik haji ini bukan senang.  Warga   Tanah Melayu wajib   naik kapal di Singapura.  Warga  dari  utara naik kapal di Pulau Pinang.

Sebelum naik haji wajib  ada perjanjian dengan seorang Tok Sheikh. Ini orang Arab di Singapura yang akan menguruskan  pembayaran tambang, menyediakan tempat tinggal sementara menunggu kapal sampai ke  Singapura. Tok Sheikh ini juga akan mengendalikan perjalanan  dan tempat tinggal di tanah Arab.

Tahun 1957 - bila kapal ini akan sampai ke pelabuhan  dan bila kapal akan belayar juga  tidak ada tarikh yang tetap. Emak aku hanya mengagak-agak tarikhnya.  Justeru  Wan Timah aku wajib pergi ke Singapura lebih awal menunggu kapal masuk ke pelabuhan.  

Maka kami  sanak saudara yang  hendak menghantar Wan Timah naik  haji  wajib  juga  bertandang ke Singapura lebih awal. Kerana tidak ada tarikh yang tepat  maka Emak aku menyusun dua minggu di Singapura.

Keluarga kami menyewa kereta Pak Uda Budin. Dia ini   sepupu kepada Abah aku. Uda Budin pemilik teksi sapu.  Dua minggu ke Singapura bukan satu masalah untuk Uda Budin.

Tilam, bantal, tikar mengkuang, dapur semawar, cerek, pinggan mangkuk dan payung kain telah disediakan untuk Wan Timah. Aku lihat semua  ini  sama seperti persiapan untuk membuat kelengkapan   mendirikan rumah baru. Bezanya hanya untuk  seorang.

Sebelum belayar wajib juga mendapat suntikan dari hospital Kuala Klawang. Suntikan penyakit kuning. Aku tak tahu apa penyakit ini.

Semua persediaan dan peraturan  ini  disampaikan dari mulut ke mulut. Mendengar surah  dan cerita-cerita dari pengalaman  orang telah pernah naik haji.

Hari yang baik pun sampai. Kenduri doa selamat diadakan.  Wan Timah  akan pergi bersama Tok Barau dan isterinya.  Tok Barau ini dari Kampung Jelin letaknya di sebelah  Kampung Chenor. Jadi Wan Timah aku ada sosok ‘jantan’ yang jadi kepala.

Rombongan Wan Timah  bergerak ke Singapura  dengan kereta Pak Ngah Aminuddin.  Pak Ngah ini abang ke pada Abah aku. Dia ini lulusan SITC –  Sultan Idris Training College. Pernah jadi guru. Tahun 1957 Pak Ngah bekerja di Jabatan Penerangan di Seremban.

Keluarga Rais dan Zaleha bergerak  dua  hari kemudian. Rombongan  keluarga aku   bergerak menuju ke Geylang Singapura.

Dari Jelebu ke Seremban  ke   Rembau ke sempadan  Melaka terus ke  Muar.  Di Muar mata aku terbuka. Aku ternampak sungai yang amat luas. 

Dalam sungai ini aku nampak banyak perahu besar dan kecil. Aku tak menyangka dalam sungai ada perahu .Tak pernah  dalam hidup aku melihat sungai  seluas  ini.   Waktu banjir  di kampung pun sungai tidak seluas ini.

‘ Sinilaaa keluar air Batang Muar dopan rumah  kito  tu...’ Wan  Rahmah aku memberi penerangan.

 Aku tahu ada jaringan Batang Muar di Kampung Tengkek. Tapi aku tidak pernah terfikir    akhirnya  Batang Muar di Kampung Tengkek berakhir disini.

Uda Budin memberhentikan kereta di Jeti Penambang Sungai Muar. Kami  menunggu feri. Untuk menyeberang Sungai Muar kami wajib naik feri.  Aku melopong hairan  kerana belum pernah naik feri.  Malah aku tidak tahu pun ada benda bernama feri.

Feri ini macam jambatan pendek boleh masuk dua kereta. Kereta berhenti atas jambatan ini. Kami semua keluar dari dalam kereta. 

Di sebelah jambatan pendek ini ada perahu berinjin yang menolak jambatan ini untuk menyeberang sungai.  Injin perahu ini berasap. Aku nampak asap hitam berkepul keluar dari cerembong di sebelah belakang perahu.

Sampai ke seberang sana kami masuk kembali  ke dalam kereta. Kereta  keluar dari jambatan kecil bergerak  menyambung  ke jalan besar.

Aku tak tahu berapa tambang kereta  dan penumpang. Aku rasa  tak melebihi satu ringgit.

Selepas berferi di Sungai Muar kami meneruskan ke Johor Bahru. Di kiri kanan jalan aku ternampak ladang dengan tanaman  berjunjung.

‘ Itu sirih ke Mak ?  Aku bertanya.

‘ Bukan... itu lada hitam.. macam junjung sirih juga..’  Penerangan Cik Gu Zaleha. Aku belum pernah melihat  tanaman lada hitam. Aku hanya nampak dari jauh.

 Akhirnya kami sampai ke Johor Bahru.  Uda Budin berhenti melepas penat  di hadapan Stesen Kereta Api JB. Inilah kali pertama aku melihat stesen kereta api dari dekat. Aku masih belum ada pengalaman naik  kereta api.

‘ Lotih  buleh rehat... tak po...  ngantuk mosti tido kalau tak bahayo....’  Uda Budin menerangkan cara dia memandu dan meneruskan perjalanan.

‘ Mak ni ke dia  Jambatan Merdeka....yang R Azmi kata tu...’ Aku memandang ke luar kelihatan kapal dan laut.

‘ Ini Tambak Johor.. bukan jambatan... tak ada air lalu di bawah  jalan ini... tengok sebelah ada jalan kereta api.. tanah ditambak buat jalan... laut dah mati....’ Emak aku memberi penerangan ketika melintas Tambak Johor.

Lewat petang – hampir senja -  kami sampai ke Geylang. Aku lihat Geylang ini macam  kampung Melayu. Rumah papan  atap zink - ada yang bertiang ada yang tidak.  Ada jalan lecah.   Aku merasa  pelik kerana bentuk kawasan  macam kampung  di Jelebu tapi rumah amat rapat-rapat.

Rombongan kami  disambut oleh Pak Long Sani. Dia ini anak  kepada Tok Gantang dengan  Wan Achik Saibah.  Wan Acik ini adik beradik satu ayah dengan Wan Rahmah aku.  Jadi sepupu dengan Emak aku. 


Emak Abah Pak Long dan Mak Long terus bersembang  bertanya khabar si anu dan si anu.   Aku memasang telinga. Aku amat tertarik dengan  bunyi  suara Mak Long Sani – dia orang Singapuree.  Bunyi sebutan amat jauh berbeza dari kami warga  Nogoree.

Tahun  1957  Singapura adalah sebahagian  dari Tanah Melayu. Anak-anak muda dari kampung   ulu  pedalaman seperti Kampung Tengkek telah datang ke Singapura kota paling besar di Tanah Melayu  untuk mencari pekerjaan.

Ketika emak-emak dan ayah- bersembang muncul di pintu seorang anak lelaki.

‘ Ni Anuar.. dia sudah masuk sekolah primary one.. Mak Long aku memperkenalkan anak lelakinya kepada kami.

‘ Sama macam Isam... sudah masuk darjah satu...’ Emak aku membalas.

Aku membuka mata. Aku merasa  bernasib baik.  Pak Long Sani ada anak lelaki bernama Anuar yang sebaya dengan aku.

Maka bertemulah budak kampung dengan budak bandar di Geylang. (TT)


TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN DALAM PORTAL
WWW. MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/07/14/singapura-aku-datang/


 

Tiada ulasan: