Rabu, 18 Ogos 2021

RAKYAT BERSAMA BARISAN HADAPAN

 



 RAKYAT BERSAMA

BARISAN HADAPAN

AMIN



Kumpulan doktor kontrak taruh harapan kepada kerajaan baharu



KUMPULAN doktor Hartal Doktor Kontrak menaruh harapan kepada perdana menteri baharu dan kerajaannya untuk menyelesaikan isu dihadapi doktor kontrak sejak lima tahun lalu, kata jurucakap kumpulan itu Dr Mustapha Kamal.

Beliau berkata kumpulan Hartal yang mengadakan mogok di seluruh negara pada 26 Julai lalu, masih belum berputus asa dan berharap penyelesaian terhadap masalah mereka akan dapat ditemui, walaupun berlaku perubahan dalam kerajaan.

Bagaimanapun, beliau berkata mereka akan meneruskan mogok seperti dirancang sebelum ini jika masih tiada penyelesaian untuk masalah itu.

“Harapan saya supaya kerajaan baharu tidak akan melupakan pekerja kesihatan, terutama mereka yang mengorbankan masa dan tidak putus berusaha dalam melawan pandemik ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Hartal 2.0 (mogok di seluruh negara) akan diteruskan jika kerajaan baharu nanti gagal mencari penyelesaian untuk doktor kontrak.”

Dr Mustapha bagaimanapun berkata beliau tidak boleh mengulas lanjut hinggalah kerajaan baharu dibentuk dan dasar mereka dimaklumkan.

Kumpulan itu sebelum ini berkata akan mengadakan satu lagi siri mogok jika kerajaan tidak menyelesaikan masalah mereka sebelum Belanjawan 2022 dibentangkan.

Ratusan pekerja kesihatan mengadakan mogok pada 26 Julai sebagai tanda bantahan terhadap sistem kontrak yang tidak adil untuk mereka.

Bekas menteri kesihatan Dr Adham Baba pada bulan lalu memberitahu Dewan Rakyat kementerian akan mencari jalan penyelesaian dalam tempoh dua tahun, termasuk melakukan pindaan diperlukan kepada Akta Pencen dan Akta Perubatan.

Beliau berkata lanjutan kontrak itu adalah penyelesaian sementara dan antara tindakan akan diambil ialah melakukan pindaan terhadap akta berkaitan.

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata Putrajaya akan melanjutkan tempoh kontrak doktor dan pegawai pergigian yang diterima untuk menjalani latihan kepakaran kepada tempoh maksimum empat tahun.

Ini katanya, berlaku terhadap mereka yang sudah diterima menjalani latihan pakar dalam dua tahun pertama dalam tempoh kontrak mereka.

Muhyiddin juga berkata, sebagai resolusi segera, Kabinet memutuskan untuk menawarkan kontrak perkhidmatan dua tahun kepada pegawai perubatan, doctor gigi dan ahli farmasi yang sudah menyelesaikan perkhidmatan wajib mereka bagi memastikan lanjutan perkhidmatan dan sebagai persiapan latihan pakar.

Kumpulan itu bagaimanapun menolak dengan mengatakan ia cadangan “separuh masak”.

Bagaimanapun dengan kerajaan Perikatan Nasional tidak lagi berkuasa berikutan pengunduran Muhyiddin dan Kabinetnya pada Isnin lepas, masih belum dapat dilihat apakah ada penyelesaian untuk masalah yang sudah lama berlaku.

Hartal sudah menyerahkan memorandum kepada kerajaan bulan lalu, menuntut kerajaan menawarkan semua pegawai kontrak status tetap dan penjelasan terperinci mengenai kriteria yang dipertimbangkan untuk pelantikan pegawai negeri.

Kumpulan itu juga berkata tiga perubahan kerajaan sejak pilihan raya umum yang lalu juga menyebabkan isu tersebut dibawa kembali ke papan undian berulang-ulang dengan kurangnya penyelesaian. – 18 Ogos, 2021.

 

TABEK HORMAT

UNTUK BARISAN

HADAPAN

AMIN

TANPA MEREKA

KITA LAGI DALAM

MALAPETAKA

AMIN



Tiada ulasan: