Aktivis Muda cedera, kereta rosak diserang individu tidak dikenali
SEORANG aktivis Muda cedera dan manakala kereta seorang lagi aktivis rosak akibat serangan sekumpulan individu tidak dikenali di satu acara malam tadi, menurut pemimpin parti.
Pegawai media kepada presiden parti, Farhan Iqbal berkata, lebih 50 individu tersebut membuat provokasi mulut dan juga menggunakan letupan mercun dalam kejadian di Muar, Johor.
“Mereka bukan sahaja membuat provokasi mulut, mereka merosakkan harta benda awam dan kereta-kereta di sekeliling dewan.
“Pengerusi Muda Sabah, saudara Amos Thien cedera akibat mercun meletup di hadapan beliau dan jatuh akibat perbuatan tolak-menolak.
“(Kereta anggota jawatankuasa eksekutif pusat) Muda, saudara Lim Wei Jiet dilanggar dengan teruk oleh salah seorang yang datang membuat provokasi sebentar tadi,” kata Farhan.
Dalam kenyataannya, Farhan berkata kejadian itu tidak sepatutnya berlaku bagi acara yang diadakan di dalam dewan yang dipenuhi orang awam dan anak kecil.
Kejadian serupa berlaku pada Ahad lalu melibatkan serangan kira-kira 20 individu tidak dikenali di sewaktu Presiden Muda Syed Saddiq Abdul Rahman sedang berucap dalam acara ceramah di Muar. – 23 Oktober, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan