Selasa, 4 Oktober 2022

PARTI BUNGKUS MALAYSIA

 




PBM tiada harapan pada PRU15, kata pemerhati politik


PARTI Bangsa Malaysia (PBM) akan kalah teruk pada pilihan raya akan datang kerana parti yang terdiri daripada pembelot PKR itu tidak mampu mendapatkan penyokong atau meyakinkan mereka untuk mengundi calonnya, kata pemerhati politik.

PBM ditubuhkan oleh bekas ahli Parlimen PKR pada 2021 berikutan pertikaian dalaman dengan kepimpinan Bersatu yang diketuai bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Ia memohon untuk menyertai Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan bulan depan, sembilan bulan sebelum mandat tamat pada Julai 2023.

Pemerhati politik memberitahu The Malaysian Insight imej PBM dicemari oleh ahli Parlimen yang melompat dari satu parti ke parti lain hanya untuk membentuk parti itu selepas tidak mendapat jawatan dalam Bersatu.

Ramai yang menganggap bekas pemimpin PKR sebagai “katak” politik kerana meninggalkan Pakatan Harapan (PH) semasa Langkah Sheraton yang menyebabkan kejatuhan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.

Mereka terdiri daripada Zuraida Kamaruddin (Ampang), Larry Sng (Julau) Willie Mongin (Puncak Borneo), Steven Chong (Tebrau), Xavier Jayakumar (Kuala Langat) dan Edmund Santhara (Segamat).

Sng kini merupakan pengerusi PBM manakala Zuraida pula dilantik sebagai presiden parti.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata sekiranya PBM tidak mendapat kerjasama rasmi sama ada dengan Perikatan Nasional (PN) atau BN, parti itu tidak akan mempunyai harapan untuk memenangi sebarang kerusi pada PRU15.

Beliau menambah yang ahli Parlimen PBM akan berdepan tugas berat untuk menawan semula kerusi yang mereka menangi sebelum ini di bawah panji PH.

“Jika mereka tidak diterima oleh BN atau PN, mereka tidak akan memenangi satu kerusipun, malah kerusi yang mereka menangi sebelum ini. Mereka menang sebelum ini kerana PH dan undi daripada bukan Melayu,” kata Hisomuddin.

“Kita tahu orang bukan Melayu serius dengan lompat parti dan tidak akan menerima pengkhianat. Peluang mereka untuk kalah sangat tinggi. Label katak sudah cukup untuk menghalang pengundi daripada mengundi mereka.”

Pada hujung minggu lalu, Xavier dan Santhara diumumkan sebagai ahli Parlimen terbaharu menyertai PBM pada akhir mesyuarat agung tahunan (AGM) parti itu di Shah Alam.

Zuraida juga berkata PBM sedang dalam proses menapis dua Adun Negeri Sembilan yang memohon menyertai parti itu.

Ahli Parlimen PBM yang ada sekarang, yang diperoleh menerusi lompat parti adalah A. Sivasubramaniam (Buntong), Paul Yong Choo Kiong (Tronoh), Leong Cheok Keng (Malim Nawar), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya) dan Daroyah Alwi (Sementa).

Dilancarkan pada Disember lalu, PBM dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Sarawak untuk menjadikannya sebuah parti bertaraf nasional. 

Permohonan pertukaran nama diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 27 Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata imej PBM akan menjadi penghalang besar untuk parti itu terus ke depan.

Beliau berkata Amanah, parti yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS mendapat penerimaan rakyat kerana mereka yang meninggalkan parti Islam itu berpegang kepada prinsipnya bahawa Umno adalah musuh.

“Bagi PBM, mereka memilih untuk meninggalkan PKR bukan kerana ideologi tetapi kerana kuasa. Sebab itu, orang akan sukar untuk menerima parti itu,” kata Mazlan.

“Tambahan pula, PH dipilih oleh rakyat dan ahli Parlimen ini mengkhianati mandat.”

Ahli akademik itu berkata PBM juga kekurangan objektifnya.

“Apa yang mereka akan lakukan untuk Malaysia? Apakah perjuangan yang mereka sanggup perjuangkan? Tiada petunjuk yang jelas.

“Saya tidak nampak bagaimana PBM akan memenangi mana-mana kerusi dalam pilihan raya,” katanya.

Pada Ogos, PBM mengumumkan ia akan bekerjasama dengan Parti Kuasa Rakyat (Kuasa) pada PRU15.

Menurut Sng, kedua-dua parti membuat keputusan menjadi rakan strategik, dan PBM akan mengemas kini perlembagaan partinya tidak lama lagi untuk mencerminkan beberapa idea Kuasa.

Kuasa, yang diketuai oleh Kamarazaman Yaakob, abang kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, adalah sebuah parti yang mendakwa memegang idea sosialis tetapi menyokong kerajaan persekutuan semasa.

PBM dan Kuasa mesra BN dan menunjukkan hasrat untuk menyertai pakatan itu, yang kehilangan kerajaan persekutuan pada 2018 selepas enam dekad.

Felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara Azmi Hassan selari dengan sentimen Hisomuddin dan Mazlan.

Azmi berkata Zuraida sebagai ketua parti juga akan mendapati sukar untuk mempertahankan kerusi Ampang miliknya.

“Bolehkah PBM memenangi mana-mana kerusi, sukar untuk diberitahu kerana kita tidak tahu berapa ramai ahli akar umbi yang mereka ada. Bagi saya sukar untuk mereka, malah bagi Zuraida, saya tidak nampak bagaimana beliau akan mempertahankan kerusinya,” kata Azmi.

“Pengundi PH tidak akan mengundi mereka, itu sudah pasti. Pengundi atas pagar lebih suka gabungan yang mantap seperti PH atau BN.” – 4 Oktober, 2022.

NAMA AMAT

MOLEK LAGI

BERMAKNA

KAH KAH KAH

AKAN JADI PARTI

 BUNGKUS MALASIA

KAH KAH KAH

KECUALI WUJUD

KEMAH BESAR

KAH KAH KAH

AMIN

1 ulasan:

Nazrio berkata...

kemah besar kos tinggi pastu penoh kataK.. rakyat geLi