Selasa, 22 November 2022

YB UMNO BOLEH SOKONG ANWAR



BN tiada kuasa halang ahlinya sokong Anwar jadi PM, kata peguam

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) tidak ada kuasa undang-undang untuk memaksa mana-mana wakil rakyatnya menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri ke-10, kata peguam Haniff Khatri.

Beliau berkata, mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, keputusan memilih perdana menteri diserahkan kepada ahli parlimen itu sendiri, dan tidak tertakluk kepada sebarang keputusan parti.

Beliau berkata Perkara 43(2) memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong berkuasa melantik perdana menteri dan pembentukan kerajaan dengan menentukan ahli parlimen, yang pada pendapat Seri Paduka Baginda, mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Jika BN memutuskan untuk sokong Anwar, keputusan itu tidak boleh mengikat Ahli Parlimen (yang tidak sokong) untuk mengikutinya. Itu tidak berperlembagaan.

“Mana-mana ahli Umno boleh cakap mereka tidak sokong Anwar atau Muhyiddin Yassin (Pengerusi Perikatan Nasional). Tiada tindakan boleh diambil,” kata Haniff.

Awal hari ini, Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein sekali lagi menegaskan beliau tidak akan menyokong kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH).

Bendahari agung BN itu berkata, beliau lebih rela dipecat parti daripada bekerjasama dengan PH.

“Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi – tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.

“Saya rela dipecat parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini.

“No Anwar, No DAP – pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan,” tulisnya di Facebook.

Kenyataan Hishammuddin itu dibuat selepas Ahmad Zahid Hamidi menafikan semua surat sokongan yang ditandatangani Ahli Parlimen BN untuk menyokong PN, mendakwa ianya tidak sah.

Haniff berkata kenyataan Ahmad Zahid yang setiap ahli Parlimen BN mesti menyokongnya juga bertentangan dengan keputusan Umno sebelum ini yang tidak mahu bekerjasama dengan Anwar.

“Keputusan yang dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno dan pada Perhimpunan Agung Umno pada Mac 2021 adalah untuk menolak Anwar dan DAP.

“Dalam BN, sekarang ini Ahmad Zahid tidak boleh tentang keputusan itu. Beliau akan dilihat menentang keputusan parti.”

Haniff juga berkata mengikut perlembagaan, calon yang mempunyai majoriti terkuat di Parlimen yang patut menjadi perdana menteri.

“Perkara 43 (2) membenarkan keputusan memilih perdana menteri sebagai keputusan individu Ahli Parlimen, tidak tertakluk kepada keputusan parti.”

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin berkata semua ketua parti dan gabungan politik mesti memaklumkan Speaker Dewan Rakyat jika mereka memperoleh majoriti di Parlimen dan menyerahkan pilihan calon perdana menteri kepada istana sebelum 2 petang hari ini.

Ahmad Zahid bagaimanapun meminta Speaker Dewan Rakyat lanjutan masa agar beliau dapat menyusun akuan bersumpah itu.

Justeru itu, Istana Negara hari ini melanjutkan tarikh akhir sehingga 2 petang esok.

Awal hari ini Anwar berkata PH sedang berusaha untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan BN demi kestabilan negara.

Pengerusi PH juga berkata beliau masih lagi calon perdana menteri untuk gabungan itu.

“Kita sudah bincang dengan BN. Isu paling penting ialah mewujudkan kerajaan yang stabil, yang inklusif, yang menjaga kepentingan rakyat di negara ini.

“Saya masih optimis yang kita akan dapat membentuk kerajaan yang lebih telus dan demokratik demi kepentingan rakyat,” katanya di hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur, petang ini. – 21 November, 2022.


KERAJAAN

PERPADUAN

JALAN KELUAR

AMIN

INI BUKAN

KERAJAAN

CAMPURAN

KHALAS

Tiada ulasan: