Sabtu, 20 Mei 2023

IKAN MAKIN KURANG KESAN KIAMAT IKLIM



Hasil tangkapan ikan merosot, ramai nelayan Kuala Terengganu tidak turun ke laut

SETIAP hari, Mohd Yusof Sulong, nelayan di Kampung Tok Jembal, Kuala Terengganu secara rutin akan turun ke laut sebelum waktu Subuh lagi untuk mencari rezeki bersama anak atau anak saudaranya.

Biasanya mereka akan pulang ke darat pada 11 pagi, membawa hasil tangkapan ikan antara 15 ke 20 kilogram (kg). Mereka tidak turun ke laut hanya ketika musim tengkujuh yang biasanya bermula pada November.

Namun Yusof yang ditemui The Malaysian Insight di pantai Tok Jembal berkata beliau dan banyak nelayan lain sudah sebulan tidak turun ke laut kerana hasil tangkapan ikan yang sangat kurang.

Katanya, keadaan itu bermula sejak Januari tahun ini lagi, dipercayai akibat penggunaan pukat tunda yang berleluasa sehingga menjejaskan bekalan ikan dan pendapatan nelayan.

“Kalau turun laut pun mana ada ikan, kalau ada pun terlalu sikit nak lepas duit minyak untuk kita pun tak boleh. Hasil itu pun saya kongsi bersama anak atau anak saudara.

“Sebab itu saya buat keputusan, saya cakap dengan anak tak perlulah turun ke laut lagi. Masa yang ada ini kami hanya baiki dan cuci bot saja,” katanya, yang kini bergantung hidup dengan elaun sara hidup nelayan RM250 sebulan.

Perairan pantai Tok Jembal yang terletak dalam daerah Kuala Nerus adalah antara lokasi yang dianggap syurga bagi nelayan tradisional kerana tumpuan hidupan laut seperti ikan tongkol, kembung, sotong dan ikan pari.

Namun Yusof berkata lebih 2,000 nelayan tradisional di kawasan itu kini menanggung masalah tangkapan hasil laut yang merosot teruk.

Ia bukan saja menjejaskan pendapatan mereka yang semakin terhimpit kerana kenaikan kos sara hidup malah turut menyebabkan harga ikan di pasaran melonjak naik kerana kekurangan bekalan.

Seorang peraih yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Aziz pula mendakwa hasil tangkapan ikan nelayan berkurang sehingga 90% sejak kebelakangan ini.

Bekalan ikan yang berkurangan itu menyebabkan harga ikan di pasaran mencanak naik, katanya.

Sebagai contoh harga ikan kembung di Kuala Terengganu boleh mencecah sehingga RM22 sekilogram pada musim bekalan kurang.

Harga sotong pada bulan lepas pula pernah naik sehingga RM40 sekilogram biarpun turun semula ke sekitar RM30 pada bulan ini ketika peralihan musim sotong.

Kenaikan harga makanan laut itu tidak memberi kelebihan kepada nelayan kerana pendapatan mereka keseluruhannya berkurangan kerana tangkapan hasil laut turun secara drastik.

Nelayan di pantai Tok Jembal biasa mendapat lebih daripada RM700 pada musim biasa, kata Pak Aziz, 62, yang jadi nelayan sejak berumur 16 tahun.

Hidup nelayan ‘berhutang’

Ketika umurnya 42 tahun, beliau jadi peraih. Selain membeli hasil tangkapan nelayan, Pak Aziz juga menawarkan hutang sebagai wang pendahuluan atau modal kepada nelayan untuk kos mereka turun ke laut.

“Kalau turun laut ini memang perlu modal, kos minyak, kos jaring… nak beli air batu pun makan kos juga. Tidak semua nelayan mampu nak dahulukan duit mereka, jadi memang mereka berhutang.

“Biasanya saya akan beri pinjam, bagi berapa yang mereka perlukan dan akan tolak nanti dengan hasil ikan yang mereka dapat,” katanya.

Tidak hanya kos minyak, beliau juga jadi tempat nelayan meminjam duit untuk kos sara hidup yang lain.

“Kalau untuk hal lain juga mereka akan datang jumpa saya untuk pinjam, misal kata mereka perlukan wang untuk buat perbelanjaan sekolah anak,” tambahnya.

Pak Aziz menjelaskan kos minyak untuk nelayan turun ke laut ialah RM120 bagi nelayan yang mendapat subsidi.

“Bagi yang tidak dapat subsidi, sebab masih tunggu lesen nelayan, biasanya dalam RM130 sampai RM140 sekali pergi.

“Tapi itu baru kos minyak, tak termasuk kos lain sebab ada nelayan yang tak ada bot sendiri jadi mereka sewa,” katanya.

Masalah pukat tunda

Pak Aziz percaya penggunaan pukat tunda yang sudah lama dirungutkan oleh nelayan antara punca tangkapan hasil laut yang berkurangan.

Pukat tunda yang dipakai oleh kapal nelayan moden biasanya menceroboh ke kawasan nelayan Zon A dan Zon B iaitu kawasan yang ditetapkan sampai ke garisan tidak lebih 12 batu nautika dari pesisir pantai.

“Kalau ikut undang-undang penggunaan pukat tunda daripada nelayan moden laut dalam sepatutnya tidak dibenarkan tapi ia berlaku.

“Kita pun tak faham sebab apa mereka ini begitu bebas menceroboh kawasan nelayan tradisional dan menjarah hasil laut dengan begitu rakus,” katanya.

Pak Aziz berkata pukat tunda akan mengaut masuk berbagai jenis ikan, tanpa mengira saiz termasuk ikan baja yang menjadi makanan ikan, selain turut memusnahkan dasar laut termasuk terumbu karang.

Selain sumber pendapatan harian terjejas, ada juga nelayan yang rugi kerana jaring mereka rosak dilanggar bot pukat tunda.

“Kos jaring tidak murah, biasanya nelayan kena keluarkan modal sekitar RM4,000 untuk peralatan jaring mereka. Kalau untuk bubu pula, ini alat menangkap ikan yang memang digunakan nelayan tradisional, sekali buat dalam RM300,” katanya.

Nelayan di perairan Tok Jembal juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa yang hanya meletakkan tukun di kawasan taman laut, yang juga sebenarnya kawasan larangan menangkap ikan dan tidak memberi manfaat kepada mereka.

“Kita tidak menentang tukun diletakkan di kawasan taman laut, tapi buatlah juga dengan sekata di kawasan yang turut diperlukan nelayan.

“Ini kalau di Taman Laut nelayan tidak boleh menangkap ikan di kawasan tersebut,” katanya.

Menurut data Perikanan Dunia, sebuah agensi penyelidikan antarabangsa, bekalan ikan di perairan Malaysia menurun antara 80% hingga 90%.

Salah satu punca utamanya ialah kegiatan nelayan pukat tunda yang menarik pukat yang besar dan berat di sepanjang dasar laut.

Setahun lalu, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) mendedahkan bekalan ikan di seluruh negara berkurangan sehingga 70% atau kira-kira 300,000 tan sebulan berbanding kira-kira 1 juta tan sebulan sebelumnya.

Candat sotong pendapatan sampingan

Seorang lagi nelayan, Hamzah Ibrahim, 45, bersyukur musim candat sotong sekarang membantu nelayan menambah pendapatan ketika hasil ikan berkurangan.

Katanya, pendapatan nelayan boleh mencecah sehingga lebih RM2,000 dengan hasil mencandat sotong

“Tapi tidak semua nelayan akan pergi mencandat sotong. Ada yang hanya bergantung dengan hasil tangkapan ikan saja,” katanya, yang tetap turun ke laut biarpun tahu sukar mencari ikan sekarang.

Jelas Hamzah, beliau tiada pilihan kerana tidak mendapat elaun sara hidup nelayan selagi lesen nelayannya tidak diluluskan.

Semasa ditemui Hamzah baharu membawa naik 20kg ikan tongkol.

“Alhamdullilah, hari ini hasil banyak sikit sebabnya saya pergi jauh untuk menangkap ikan.

“Kalau tempat yang biasa memang kurang sangat ikan,” katanya selepas seminggu mendapat hasil yang sangat kurang. – 20 Mei, 2023.


KESAN

KIAMAT IKLIM

AMIN

IKAN MAKIN

KURANG

AMIN

LAUT MAKIN

PANAS

AMIN

AIR LAUT

MAKIN MASIN

AMIN

PLANKTON

MAKANAN IKAN

PUPUS

AMIN

AKHIRNYA LAUT

AKAN JADI

LAUT  MATI

KHALAS

1 ulasan:

panglimo potaseh berkata...

Ikang kurang kito makan itik .. kahkahkah