Bedak talkum 'mungkin' menyebabkan kanser - WHO
LYON: Agensi kanser Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan talkum sebagai 'bermungkinan karsinogenik' untuk manusia, namun pakar luar mengingatkan pengumuman itu tidak boleh ditafsirkan sebagai 'bukti konklusif'.
Agensi Penyelidikan Antarabangsa WHO mengenai Kanser (IARC), berkata keputusan itu berdasarkan 'bukti terhad' yang talkum boleh menyebabkan kanser ovari pada manusia.
'Bukti yang mencukupi' itu dikaitkan dengan kanser pada tikus dan 'bukti mekanistik yang kuat' menunjukkan kewujudan tanda karsinogenik dalam sel manusia.
Talkum ialah mineral semulajadi yang dilombong di banyak bahagian dunia dan sering digunakan untuk membuat bedak bayi.
IARC yang berpangkalan di Lyon, berkata kebanyakan orang terdedah kepada talkum dalam bentuk bedak bayi atau kosmetik, namun pendedahan paling ketara kepada talkum berlaku apabila ia sedang dilombong, diproses atau digunakan untuk membuat produk.
Agensi itu berkata, terdapat banyak kajian yang secara konsisten menunjukkan peningkatan kadar kanser ovari pada wanita yang menggunakan talkum pada alat kelamin mereka.
Bagaimanapun, ia tidak dapat menolak hakikat yang talkum dalam beberapa kajian berkenaan sudah tercemar dengan asbestos yang menyebabkan kanser.
"Peranan penyebab bagi talkum tidak dapat dibuktikan sepenuhnya," berdasarkan penemuan agensi itu yang diterbitkan dalam The Lancet Oncology.
Seorang ahli statistik di Open University United Kingdom (UK), Kevin McConway, yang tidak terbabit dalam penyelidikan itu, memberi amaran, bagi penilaian IARC, 'tafsiran yang paling jelas sebenarnya mengelirukan'.
Katanya, agensi itu hanya bertujuan 'menjawab persoalan sama ada bahan itu berpotensi menyebabkan kanser, di bawah beberapa syarat yang tidak dinyatakan IARC'.
Beliau berkata, disebabkan kajian itu adalah pemerhatian, maka ia tidak dapat membuktikan sebab, 'tiada bukti konklusif yang penggunaan talkum menyebabkan peningkatan risiko kanser'.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa minggu selepas gergasi farmaseutikal dan kosmetik Amerika Syarikat (AS), Johnson & Johnson bersetuju membayar AS$700 juta (RM3.3 juta) untuk menyelesaikan dakwaan ia mengelirukan pelanggan mengenai keselamatan produk bedak berasaskan talkumnya.
Johnson & Johnson tidak mengakui salah laku dalam penyelesaiannya, walaupun ia menarik balik produk itu daripada pasaran Amerika Utara pada 2020.
Ringkasan kajian yang diterbitkan pada 2020 meliputi 250,000 wanita di AS, tidak menemukan kaitan statistik antara penggunaan talkum pada alat kelamin dan risiko kanser ovari. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan