Lelaki India ambil jalan akhir bantah BlackRock, umum mogok lapar depan Parlimen
Seorang aktivis berketurunan India mengumumkan mogok lapar di depan bangunan Parlimen mulai Selasa akan datang bagi membantah kemasukan syarikat milik firma kontroversi BlackRock sebagai rakan kongsi konsortium menguruskan lapangan terbang di Malaysia.
M Mythreyar, 46, berkata tindakan itu ialah jalan terakhir selepas pihak berkuasa membuat intimidasi terhadap beberapa aktivis pro-Palestin lain.
"Kita bersuara, kita dihalang. Parlimen kita sedang berjalan, saya fikir kalau hendak masuk dalam (Parlimen) mesti tak boleh. Jadi ini peluang terakhir saya untuk buat sesuatu yang memberi impak," katanya kepada MalaysiaNow.
Mythreyar merancang mengadakan mogok lapar selama dua hari.
"I bergantung kepada ketahanan badan saya. Hari ketiga mungkin saya akan terlalu letih.
"Ada kawan saya yang kata hendak datang tapi belum disahkan. Di sana, saya akan cari tempat duduk yang boleh bersandar untuk membuat mogok," tambahnya.
Sebelum ini, polis memanggil beberapa orang terlibat dalam tunjuk perasaan membantah keganasan Israel.
Tiga aktivis daripada pergerakan Gegar Amerika turut disoal siasat selepas mengadakan protes solidariti Palestin ketika majlis sambutan hari kemerdekaan Amerika Syarikat dianjurkan oleh kedutaan negara itu bulan lepas.
Mythreyar berkata tindakannya bukan untuk menentang kerajaan, sebaliknya rayuan kepada Putrajaya untuk membatalkan rancangannya menjual kepentingan syarikat kerajaan kepada syarikat asing yang berdepan tuduhan genosid.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkali-kali mempertahankan rancangan itu, yang akan menyaksikan Global Infrastructure Partners (GIP) milik BlackRock membeli 30% kepentingan dalam sebuah konsortium menguruskan Malaysia Airports Holdings (MAHB), bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diterajui beliau sendiri.
Langkah itu mencetuskan bantahan pemimpin masyarakat sivil dan kumpulan pro-Palestin yang menuntut kerajaan membatalkan perjanjian itu memandangkan BlackRock berdepan tuduhan bersubahat dalam kempen pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, yang setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya 35,000 orang awam.
Mythreyar yang berasal dari Tanjung Malim, Selangor, berkata dia telah menyertai hampir semua demonstrasi dan himpunan solidariti Palestin termasuk di Kedah dan Johor.
Dia turut menyertai piket enam hari "Kepung Demi Palestin" di yang diadakan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pada Disember lalu.
Menerusi akaun TikToknya, Mythreyar menyebarkan kesedaran tentang genosid di Palestin sejak Israel memulakan pengeboman besar-besaran Oktober lalu.
Sebelum ini, tular video Mythreyar mengatakan dia tidak akan menyambut Deepavali sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin.
Mythreyar menolak alasan pemimpin kerajaan yang BlackRock sudah pun lama memiliki saham dalam syarikat-syarikat tempatan, dan berkata ia berbeza dalam isu pembelian saham MAHB.
"Sebelum ini, BlackRock hanya melabur. Kali ini dia membeli aset negara kita. Ada beza. 30% adalah amaun yang sangat besar," katanya.
"Apa jaminan yang dalam masa setahun mereka tidak akan membeli lebih banyak saham MAHB? Pihak yang menjual tak tunjukkan perjanjian pun," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan