Rabu, 30 Oktober 2024

DONALD TRUMP ATAU KAMALA HARRIS ?


DONALD TRUMP 

ATAU 

KAMALA HARRIS ?


Minggu depan  Selasa 5 November 2024  rakyat Amerika selesai mengadakan pemilihan Presiden ke 60. Hak rakyat keluar mengundi dan memilih sapa jadi Presiden di tafsir sebagai tanda Amerika mengamalkan demokrasi. 

Justeru India, United Kingdom , German, Jepun,  Sweden atau Sepanyol termasuk Malaysia dibaca sebagai negara yang mengamalkan sistem demokrasi sama seperti Amerika. Ini kerana rakyat ada hak untuk mengundi sapa menjadi pemimpin mereka. Dan memilih  siapa yang akan menubuhkan kerajaan.

Memangkah dan memilih perwakilan di kertas undi dijadikan rukun  iman pertama  demokrasi. 

Ada beberapa pola perbezaan antara kita dengan Amerika . Di Amerika yang dipilih hanyalah  Presiden. Sosok yang menang kerusi Presiden  akan membawa  sesiapa yang dia suka untuk menjadi anggota kabinet. 

Ahli Dewan Kongres yang juga di undi  walau pun majoriti dari mana parti pun tidak akan memilih Presiden.

Di United Kingdom , India, German sama seperti Malaysia – undi dan pilih wakil ke Parlimen dahulu.   Parti yang mendapat majoriti dalam Parlimen akan memilih  Perdana Menteri dan ahli kabinet. 

Manakala China, Berunai, Arab Saudi atau Myanmar tidak di iktiraf sebagai negara demokrasi kerana pemilihan pemimpin dan kerajaan di negara-negara ini tidak melalui pengundian. Rakyat tidak memilih kerajaan.

Di negara China hanya ada satu parti – Parti Komunis China.  Parti ini memilih antara mereka sesama sendiri untuk mendirikan kerajaan.

Di Berunai dan di Arab Saudi yang berhak mendirikan kerajaan ialah Raja Keturunan. Rakyat hanya menerima tanpa memilih. Manakala di Myanmar askar yang mendirikan kerajaan  melalui kuasa laras senapang.

Tetapi betulkah memangkah,  memilih  dan mengundi seperti yang sedang berjalan di Amerika ini  sebagai rukun demokrasi?

Saya memerhati rapi pemilihan Presiden Amerika tahun 2024 ini. Amat menarik sekali. Ini kerana sosok yang bernama Donald Trump mencalonkan dirinya sekali lagi untuk menjadi Presiden.

Sosok ini kasar, lucah, rasis dan bercakap tanpa sempadan. Trump tidak berpura-pura. Jika perlu memaki hamun dia akan memaki hamun. Jika perlu menyumpah seranah Trump akan menyumpah seranah.

Saya menyokong Trump. Saya mahu Trump menang.  Saya mahu Parti Republikan dan sosok-sosok seperti Trump terus menjadi kerajaan di Amerika.  

Saya menolak Parti Demokrat. Pada hemat saya Parti Demokrat ini bahaya untuk dunia.  Parti Demokrat yang bercakap tentang hak asasi, tentang  melawan perubahan iklim dan membawa demokrasi untuk dunia. Semua ini adalah  pura-pura. Parti  Demokrat  menyebarkan harapan palsu  untuk warga Amerika dan warga dunia.

Parti Demokrat ini bahaya kerana parti ini menjual ilusi dan akan melalaikan  penduduk dunia. Parti ini membawa surah  bahawa sistem dua parti Ini amat molek  untuk dunia. Membuang undi dan memilih pemimpin lima tahun sekali adalah jalan terbaik.

Hakikatnya untuk saya Parti Demokrat ini adalah baju yang indah cantik dan menarik untuk pandangan warga dunia. Walhal ini hanyalah topeng untuk sistem ekonomi kapitalis.

Parti Republikan lebih jujur. Tidak ada berselindung di sebalik mantra hak asasi. Parti ini bercakap secara terbuka tentang apa itu sistem ekonomi kapitalis. Parti Republikan tidak segan silu mahu Amerika menjadi kuasa terbesar dunia. Mahu empayar Amerika terus  menjajah dunia.

Warga dunia akan lebih memahami apa itu empayar Amerika melalui suara Donald Trump. Akan memahami apa itu sistem ekonomi kapitalis melalui dasar yang diajukan oleh  Trump. Warga dunia akan sedar bahawa Amerika yang klim sebagai   negara pengamal sistem  demokrasi itu sebenarnya hampeh dan kosong.

Suara lucah, rasis dan kasar Donald Trump adalah Amerika yang sebenarnya. Tidak berselindung. Tidak menyamar. Tidak berpura-pura.

Dalam kelucahan dan kekasaran Donald Trump ini warga dunia akan  berfikir apakah ada sistem lain selain dari sistem ekonomi kapitalis?

Dari segi taktik dan strategi - untuk menghasut rakyat – untuk menghasut orang  ramai bangun melawan lebih baik kita berhadapan dengan musuh  yang ganas dan jahat. Mudah untuk dilihat dan difahami.

Saya bawa kembali ke sejarah Tanah Melayu melawan Inggeris.  Gerakan arus menuntut kemerdekaan berjalan sebelum dan sesudah  Perang Dunia Kedua. 

Penjajahan Jepun boleh kita samakan sebagai pemerintahan Donald Trump. Jelas mengancam dan menindas. Justeru amat mudah untuk  menghasut rakyat  bangun angkat  senjata dan melawan.

Masuk kembali kuasa Inggeris. Kita di lalaikan dengan demokrasi dan hak asasi. 

Juga jangan lupa ketika Darurat di umumkan pada bulan Jun 1948  United Kingdom diperintah oleh Parti Buruh. Saya ulang ketika Darurat di isytihar di Tanah Melayu  yang menjadi kerajaan di London ialah Parti Buruh. Parti Buruh yang klim   mewakili buruh kaum tertindas dan mengamalkan garis kiri yang demokratik. 

Walhal Parti Buruh  sama dasar dengan Parti Konservatif di UK. Parti ini menentang tuntutan kemerdekaan di tanah jajahan seperti di India, di Kenya dan di Tanah Melayu.

Parti Buruh di United Kingdom juga menyamar sama seperti  Parti Demokrat di Amerika.

Wajib saya beri tahu sekali lagi tentang Barack Obama  Presiden Amerika yang berkulit hitam. Presiden Parti Demokrat ini   melakukan sepuluh kali lebih banyak serangan udara dalam perang rahsia terhadap keganasan  daripada  pendahulunya, George W. Bush yang berkulit putih dari Parti Republikan.

Obama melakukan  563 serangan, sebahagian besarnya oleh dron mengebom  Pakistan, Somalia dan Yaman sepanjang dua penggal Obama, berbanding 57 serangan di bawah Bush. Antara 384 dan 807 orang awam terbunuh di negara tersebut.

Fakta Obama ini saya pungut dari The Bureau Of Investigative Journalism bukan  penglipur lara dari Hishamuddin Rais.

Satu perkara lagi yang wajib kita sedari bahawa Donald Trump amat jujur terhadap Israel. Pada 4 April 2024  CNN telah melaporkan Trump berkata ...’ Israel perlu menyelesaikan  kerja yang Israel mulakan.....’

Pada  26 Oktober 2024 Anadolu Ajensi  - agensi berita Turki  melaporkan Donald Trump menyuarakan sokongan terhadap serangan Israel pada Hamas dan Hizbullah dalam panggilan telefon dengan Netanyahu Perdana Menteri Israel.

"Lakukan apa yang anda perlu lakukan," kata Trump kepada Benjamin Netanyahu dalam satu panggilan talipon awal bulan ini.

Trump sebelum ini berkata beliau bercakap dengan Netanyahu sekurang-kurangnya dua kali pada bulan Oktober.

Tanpa berselindung - Trump tidak berpura-pura menyokong Zionis Israel. Sebagai bukti pada 6 Disember 2017  Presiden Trump mengiktiraf  Juruselam – Baitul Mukaddis -  sebagai ibu negara Israel dan memindahkan Pejabat Duta Amerika dari Tel Aviv ke Baitul Mukaddis.

Ini berbeza dengan Biden  yang cuba mengajukan gencatan senjata. Cuba cari jalan perdamaian. Berunding dengan Mesir dan Qatar untuk membawa Hamas ke jalan damai. 

Semua ini wayang Pak Dalang.

Walhal segala bom – besar dan kecil – segala senapang dan peluru, segala pesawat  udara yang mengebom Gaza dibekalkan oleh Boeing, Lockheed Martin atau  Blackrocks. Semua ini kilang pembuat senjata milik Amerika. Dana membeli senjata ini datang dari pentadbiran Biden.

Jika Biden menghentikan penghantaran senjata ke Israel perang Gaza sudah lama berhenti.  Inilah yang saya katakan Parti Demokrat ini pura-pura. Justeru  lebih bahaya kerana memberi ilusi yang parti ini menentang perang.

Bagaimana pula dasar Kamala Harris?

Kamala Harris ini adalah Naib Presiden Biden.  Justeru dasar Kamala ialah meneruskan dasar Presiden Biden dalam usaha untuk  mengadakan gencatan senjata. Sama seperti Biden jika Kamala menang senjata dan dana akan terus sampai dari Amerika ke Israel. 

Jadi apa sebenar yang membezakan  Parti Demokrat dengan Parti Republikan.  Jawapannya cukup mudah  sila nyatakan apa bezanya antara Coco Cola dengan Pepsi Cola? 

Pemilihan Presiden dan pemilihan  ahli Dewan Congress  di Amerika  bukan kerja murah. Berbilion-bilion dolar di perlukan. Politik di Amerika telah sampai ke tahap dimana pemilik industri, konglomerat, industri senjata dan para bilionair   dan pelobi memainkan peranan utama.

Dana dari mereka inilah yang membolehkan sosok bertanding. Tanpa dana  dari kumpulan ini mustahil Trump atau Kamala boleh bertanding. Uncle John,  dan  Sister Mary dari Kentukcy atau Paul, Dave dan Sally dari Utah  hanyalah memainkan  peranan  Pak Pacak. 

Para pelobi dari industri senjata, dari industri ubat, dari industri teknologi  - semua mahu merapati sosok yang paling berkuasa dalam dunia.  Sosok ini akan menjalankan dasar  yang membolehkan pemilik industri ini terus memungut laba. 

Pada ketika ini sosok yang paling berkuasa diatas muka bumi  kita hari sedang hendak di pilih. Apa dasar yang akan diajukan oleh sosok ini akan menjadi garis politik dan garis  ekonomi dunia kita.

Saya memilih Donald Trump – jantan berkulit putih, rasis dan kasar. Saya menolak wanita berkulit hitam yang lembut dan bersopan.  Saya memasang niat  agar jantan berkulit putih yang kasar dan rasis ini  akan terus mengharu birukan dunia kapitalis yang di kepalai oleh Amerika. 

Saya amat yakin Presiden Trump yang akan menang dan menjadi Presiden ke 47 Amerika akan menajamkan lagi kontradiksi  dalam sistem ekonomi kapitalis hingga membawa kapitalisma runtuh. Amin. (TT)

TULISAN INI 
DISIARKAN JUGA
DALAM PORTAL MALAYSIA KINI.COM
https://www.malaysiakini.com/news/724394

Tiada ulasan: