KWSP terus diasak ketika penswastaan MAHB semakin hampir jadi kenyataan
Wakil badan bukan kerajaan, parti politik dan aktivis hari ini berkumpul di luar ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi mendesak penjelasan mengenai saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) di sebalik amaran pelbagai pihak mengenai kerugian yang ditanggung dana simpanan persaraan itu.
Mereka mahu KWSP menjelaskan penjualan saham MAHB yang dimilikinya pada Januari 2023 pada harga sekitar RM6.74 seunit, sebelum dana itu membeli pada harga tawaran RM11 seunit dalam usaha menswastakan MAHB.
"Kepada siapa saham MAHB dan daripada siapa saham itu dibeli semula pada harga tinggi?" soal Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali ketika menghantar memorandum kepada KWSP di Kwasa Damansara hari ini.
"Jual pada harga murah beli pada harga mahal ini sangat menghairankan kami padahal KWSP ini terdiri daripada orang bijak pandai. Saya percaya ada tangan-tangan ghaib," katanya.
Sebelum ini, Presiden MCA Wee Ka Siong memberi amaran penjualan saham MAHB oleh KWSP pada 2023 merugikan 16.1 juta pencarum.
"KWSP sudah mempunyai pelan strategik untuk menswastakan MAHB dan hanya perlu membeli 14.3% saham sebagai tambahan kepada 15.7% saham sedia ada bagi mencapai pegangan 30%.
"Sebaliknya, dengan penjualan hampir 10% kepentingan tersebut, KWSP terpaksa membeli balik kira-kira 25% lagi saham MAHB beberapa bulan kemudian," kata Wee baru-baru ini.
Syed Hassan mencabar KWSP menyaman Wee sekiranya dakwaan mengenai kerugian KWSP itu tidak benar.
Memorandum hari ini membantah penjualan saham MAHB kepada Global Infrastructure Partners (GIP), yang mencetuskan kontroversi disebabkan ia dimiliki penuh BlackRock, syarikat pelaburan yang terpalit dengan jenayah perang Israel di Gaza.
KWSP bersama Khazanah Nasional membentuk sebuah konsortium membabitkan GIP dengan pemilikan 30%, sebagai langkah menswastakan MAHB yang menguruskan lebih 30 lapangan terbang dalam dan luar negara.
Penawaran saham MAHB pada kadar RM11 seunit ditentang oleh pengarah bebas yang menyifatkan tawaran itu "tidak adil".
Buat masa ini, konsortium itu masih belum mencukupkan syarat 90% pemilikan saham MAHB bagi membolehkan syarikat berkenaan diswastakan.
Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Mohd Zai Mustafa, berkata bantahan terhadap urusniaga itu dibuat bagi membela jutaan pencarum KWSP.
"Kita mohon KWSP memberikan satu jawapan kepada pencarum tentang keputusan yang telah dibuat berkaitan penjualan saham MAHB.
"Kita tidak mahu aset dalam negara kita dijual kepada negara luar lebih-lebih lagi kepada BlackRock yang pro-Israel," katanya.
Bekas ahli Parlimen PKR, Tian Chua berkata, KWSP selaku entiti yang memegang amanah sejumlah 16 juta pencarum, harus menguruskan pelaburan MAHB dengan teliti.
"KWSP ada hala tujunya. Semua pelaburannya harus beretika.
"BlackRock pula ada darah di tangannya," katanya merujuk kepada penglibatan firma pelaburan itu dalam industri ketenteraan Israel.
Pengkritik berkata penjualan saham MAHB oleh KWSP mengakibatkan dana itu mengalami kerugian sebanyak RM500 juta kerana akan membeli saham-saham itu semula pada harga RM11 seunit.
KWSP dalam satu kenyataan berkata aktiviti dagangan saham MAHB dibuat bagi menjana pendapatan yang diperlukan bagi pembayaran dividen dalam tahun kewangan tertentu.
"KWSP telah menjadi pemegang saham MAHB sejak 30 November 1999, apabila syarikat itu disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia pada harga RM2.50 sesaham.
"Selama 24 tahun, KWSP telah menguruskan pelaburannya dalam MAHB berpandukan rangka kerja dan strategi jual beli saham yang teliti bagi memastikan pulangan yang optimum untuk ahli KWSP," katanya.
Mengulas mengenai tindakan menjual saham pada harga murah dan kemudian membeli pada harga lebih tinggi, ia mendakwa mempunyai polisi memisahkan jabatan-jabatan yang berbeza dalam pengurusan ekuiti awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan