22 penduduk selatan Lubnan dibunuh tentera Israel ketika mahu pulang ke rumah
BEIRUT: Sekurang-kurangnya 22 orang awam terbunuh akibat serangan tentera Israel ketika ribuan penduduk cuba pulang ke rumah masing-masing di selatan Lubnan semalam, kata pihak berkuasa Lubnan.
Jumaat lalu, Israel berdegil akan mengekalkan pasukan tenteranya di selatan Lubnan walaupun selepas tarikh akhir berundur yang tamat semalam berdasarkan perjanjian gencatan senjata diselaraskan Amerika Syarikat (AS) bagi menghentikan perang dengan Hizbullah tahun lalu.
Israel mendakwa Lubnan masih belum melaksanakan sepenuhnya syarat perjanjian berkenaan, termasuk memastikan selatan Lubnan bebas daripada kumpulan Hizbullah dan mengerahkan tentera Lubnan ke kawasan terbabit.
Tentera Lubnan yang disokong AS mendakwa seorang anggotanya terbunuh dalam serangan itu dan menuduh Israel sengaja melewatkan pengunduran mereka.
Konflik antara Hizbullah dan Israel berlaku selari dengan perang di Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023, mencetuskan serangan besar-besaran Israel yang menyebabkan lebih sejuta orang di Lubnan kehilangan tempat tinggal.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan 22 orang terbunuh dan 124 lagi cedera di beberapa lokasi di selatan Lubnan akibat serangan Israel terhadap penduduk yang cuba memasuki kampung mereka yang masih diduduki.
Tentera Israel mendakwa pasukannya yang beroperasi di selatan Lubnan melepaskan tembakan amaran untuk menghindar ancaman di beberapa kawasan kerana suspek dilihat menghampiri pasukan tentera.
Menurut kenyataan itu lagi, beberapa suspek yang dianggap sebagai ancaman sudah ditahan.
Televisyen al-Manar milik Hizbullah menyiarkan rakaman penduduk bergerak menuju ke kawasan kediaman di perkampungan pada pagi semalam, sesetengahnya membawa bendera Hizbullah dan gambar pejuang kumpulan itu yang terkorban dalam perang.
Seorang jurucakap tentera Israel, menerusi hantaran di platform X, mendakwa Hizbullah cuba 'memanaskan' lagi keadaan dan dalam masa terdekat, tentera Israel akan memaklumkan kawasan-kawasan yang boleh dihuni semula.
Dalam pada itu, Hizbullah meletakkan tanggungjawab kepada kerajaan Lubnan untuk memastikan pengunduran Israel dari negara itu.
Ahli Parlimen Hizbullah, Hassan Fadlallah, berkata Lubnan komited kepada perjanjian gencatan senjata, tetapi Israel bertindak melanggar perjanjian terbabit dengan sokongan AS.
"Apa yang berlaku di kampung-kampung sempadan adalah satu bentuk pembebasan oleh kuasa rakyat dan tentera Israel tidak akan dapat mematahkan semangat rakyat kami.
"Kami mahu kerajaan memainkan peranan sepenuhnya dan tentera dikerahkan di kampung-kampung. Kami bekerjasama dengan mereka untuk memudahkan misi berkenaan," katanya.
Jumaat lalu, Rumah Putih menyatakan bahawa lanjutan sementara gencatan senjata amat diperlukan segera.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan dan ketua pasukan pengaman PBB di selatan Lubnan dalam satu kenyataan bersama berkata, keadaan masih belum kondusif untuk memastikan keselamatan penduduk yang ingin kembali ke kampung mereka berhampiran sempadan.
"Fakta menunjukkan bahawa garis masa yang dirancang dalam perjanjian gencatan senjata masih belum dipenuhi," katanya. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan