TERAM INI
BERUNDING
DENGAN SIAPA?
KAH KAH KAH
SELAGI ISRAEL
SERANG LEBANON
PERANG TIDAK
TAMAT
KHALAS
Rundingan damai AS-Iran masih diteruskan - Trump
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan rundingan damai dengan Iran bagi menamatkan konflik di Asia Barat masih diteruskan, sekali gus menafikan laporan bahawa Tehran memutuskan hubungan susulan serangan Israel ke atas Lubnan.
Trump berkata, tiada siapa yang tahu ke mana hala tuju rundingan berkenaan, memandangkan ia masih berjalan sama ada secara langsung atau tidak langsung sejak beberapa minggu lalu walaupun masih gagal menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Februari lalu.
"Laporan menyatakan bahawa Iran dan AS sudah menghentikan rundingan beberapa hari lalu adalah palsu dan salah.
"Rundingan antara kedua negara itu berjalan secara berterusan, termasuk empat hari lalu, tiga hari lalu, dua hari lalu, sehari lalu, dan hari ini.
"Ke mana arah tuju rundingan ini, tiada siapa yang tahu, tetapi seperti yang saya katakan kepada Iran, sudah tiba masanya, dengan satu cara atau cara lain, untuk kami adakan perjanjian. Iran telah melakukan perkara ini selama 47 tahun, dan ia tidak boleh dibiarkan berterusan lagi," kata Trump menerusi rangkaian Truth Social miliknya.
Rundingan diplomatik antara Washington dan Tehran melalui fasa turun naik sejak tercetusnya konflik bersenjata berskala besar awal tahun ini yang mengheret Asia Barat ke dalam peperangan serantau.
Susulan daripada perang yang memuncak, kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata pada April lalu, bagi memberi ruang kepada pelan damai, yang ditaja oleh beberapa negara orang tengah termasuk Qatar dan Oman dan terbaru, Pakistan.
Berikutan itu, beberapa siri rundingan yang diadakan secara berperingkat di Muscat dan Doha memperlihatkan cubaan kedua-dua negara untuk meredakan ketegangan, biarpun berdepan jalan buntu ekoran syarat ketat yang dikemukakan oleh setiap pihak.
April lalu, Perdana Menteri Pakistan mengadakan lawatan ke Arab Saudi, Qatar dan Turkiye sebagai sebahagian daripada usaha diplomasi berprofil tinggi Islamabad untuk mewujudkan keamanan jangka panjang di Asia Barat.
Shehbaz menegaskan negaranya komited meneruskan peranan sebagai pengantara bagi menamatkan perang di Asia Barat ketika ketegangan semakin memuncak.
Dalam siri rundingan sebelum ini, AS secara konsisten meletakkan syarat utama supaya Iran menghentikan sepenuhnya program uranium mereka dan menyekat pengaruh ketenteraan sekutu Tehran di rantau berkenaan, termasuk Hizbullah dan pejuang Houthi dan menuntut pembukaan semula Selat Hormuz.
Washington turut menuntut Iran memberikan akses penuh tanpa sekatan kepada pemeriksa Pertubuhan Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke atas semua tapak nuklear milik negara itu sebagai jaminan keselamatan mutlak.
Sebagai balasan kepada tuntutan berkenaan, Tehran pula meletakkan syarat menuntut AS menarik balik semua sekatan ekonomi dan sekatan perdagangan antarabangsa yang melumpuhkan ekonomi Iran selama beberapa dekad.
Iran turut menegaskan bahawa sebarang perjanjian damai antara mereka mestilah merangkumi jaminan bertulis bahawa AS mahupun Israel tidak akan melancarkan sebarang serangan ketenteraan atau pencerobohan kedaulatan terhadap wilayah mereka pada masa hadapan.
Bagaimanapun, suasana rundingan pasca gencatan senjata itu kembali tegang dan dilaporkan hampir terbatal sepenuhnya susulan tindakan Israel melancarkan operasi ketenteraan besar-besaran ke atas Lubnan baru-baru ini.
Tindakan Israel itu mencetuskan kemarahan Iran, yang menyifatkan sekutu kuat AS itu sengaja merosakkan rundingan damai dan melanggar semangat gencatan senjata yang sedang diusahakan.
Walaupun laporan media antarabangsa sebelum ini mendakwa Tehran telah bertindak keluar daripada meja rundingan sebagai protes, kenyataan terbaharu Trump memberikan gambaran bahawa talian diplomatik antara kedua-dua kuasa besar itu masih belum terputus.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan