Pepatah petitih ini menjadi hukum dan syarat dalam satu-satu kelompok. Ini untuk memastikan keharmonian kelompok tersebut.
Orang berbudi kita berbahasa. Orang memberi kita merasa. Berat sama dipikul ringan sama di jinjing. Cubit peha kanan peha kiri terasa juga. Bulat air kerana pembetung. Bulat manusia kerana muafakat.
Dalam Adat Perpatih di Negeri Sembilan kata-kata bilangan ini ialah ungkapan atau rangkaian kata berirama yang berfungsi sebagai undang-undang, panduan hidup, dan falsafah masyarakat.
Kelebihan nabi dengan mukjizat
Kelebihan umat dengan muafakat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia dengan muafakat
Dimana bumi di pijak
Disitu langit di junjung.
Ini ciri tamadun Melayu. Ini konstruksi pembinaan falsafah tamadun Melayu. Sosial konstruk inilah yang menjadi Melayu itu Melayu. Ianya menjadi hukum hakam yang tidak bertulis tetapi wajib di hayati.
Di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung adalah saintifik. Kaki kita di bumi kepala kita menjunjung langit.
Di mana bumi di pijak ini di situ langit di junjung adalah falsafah Melayu yang lahir dari budaya merantau. Merantau memberi makna kita sampai ke satu wilayah baru, ke satu pekan baru, ke satu daerah baru atau ke satu negeri baru.
Justeru di tempat baru ini Melayu Si Pendatang wajib mengikut adat istiadat dan budaya tempatan. Justeru lahir falsafah masuk kandang lembu menguak masuk kandang kambing membebek.
Lihat betapa indahnya manusia Melayu yang merantau, yang berkelana atau yang berhijrah ke tempat asing. Mereka sedia menerima adat istiadat dan cara hidup masyarakat Bumiputra watan tempatan.
Budaya fikrah dan falsafah Melayu ini wajib menjadi pegangan untuk para pendatang. Jika falsafah hidup Melayu ini diamalkan maka keharmonian boleh di tegak kan.
Untuk memahami lebih mendalam falsafah Melayu : Dimana bumi di pijak k – di situ langit di junjung saya papar berita dan maklumat dimana terbukti keabsahan falsafah Melayu ini.
Hubungan homoseksual secara persendirian antara lelaki degan lelaki atau perempuan dengan perempuan mula dinyahjenayah di England dan Wales melalui Akta Kesalahan Seksual 1967 bagi golongan dewasa yang berumur melebihi 21 tahun. Di Scotland Akta yang sama menyusul pada tahun 1980 dan Ireland Utara pada tahun 1982.
Ini bermakna cinta sejenis bukan satu kesalahan dan bukan jenayah di UK. Satu-satunya negara yang terawal menyahjenayahkan homoseksual.
Usia persetujuan untuk hubungan seksual : Diseragamkan pada umur 16 tahun bagi semua orientasi seksual di seluruh United Kingdom pada tahun 2000/2001 dan di Ireland Utara menjelang tahun 2008.
Tup Tup satu Mullah dari Pakistan mahu undang-undang ini di ketepikan. Satu Pak Haji dari Karachi telah membelasah satu anak muda lelaki Pakistan di Manchester. Kesalahan anak muda lelaki Pakistan ini ialah kerana bercumbu mesra dengan seorang anak muda lelaki Mat Salleh.
Tidak cukup dengan ini pada 19 Februari 2006 portal berita Al-Jazeera telah melaporkan bagaimana ada kumpulan pendatang dari Pakistan yang beragama Islam mahu Hukum Syariah di perkenalkan di UK.
Mengikut berita Al-Jazeera ini 4 dari 10 Muslim mahu Hukum Syariah di jalankan.
Satu daripada lima responden yang ditinjau oleh akhbar harian Sunday Telegraph juga menyatakan simpati terhadap "perasaan dan motif" pengebom yang mengorbankan 52 nyawa dalam serangan kereta api bawah tanah London pada 7 Julai 2005 oleh penyokong Al- Qaeda.
Perangai dan kelakuan pendatang yang tidak tahu dimana bumi di pijak ini menimbulkan kebencian yang amat sangat dari anak watan Bumiputera Mat Salleh.
Memperkenalkan Hukum Syariah di UK ini telah menimbulkan ketegangan. Lalu anak watan Mat Salleh memperlekehkan Islam.
Mereka berhujah jika Hukum Syariah ini di luluskan di UK maka kahwin dengan kanak-kanak perempuan berumur 6 tahun dibenarkan. Bila dah masuk umur 9 tahun maka bergomol adalah sah. Kahwin cara ini adalah sah kerana Sunnah Nabi Muhamad.
Anak Watan Mat Salleh ini merujuk Hadis Sahih Bukhari dimana disurahkan Nabi Muhamad telah berkahwin dengan Siti Aishah ketika Aishah berumur 6 tahun.
Sikap tidak sedar dimana bumi di pijak ini semakin menyerlah. Bila Bumiputera Mat Salleh marah dan mempertikaikan tindak tanduk pendatang jenis ini maka hujah rasis telah di gunakan.
Tuduhan rasis terhadap Bumiputera ini menjadi senjata utama mereka. Walhal mereka gagal untuk mengamalkan di mana bumi di pihak di situ langit di junjung.
Kacau bilau dan huru hara dalaman yang di bawa oleh pendatang ini telah melonggarkan keharmonian masyarakat setempat.
Semua ini memperkuatkan lagi sokongan Bumiputera Mat Salleh kepada Parti Reform UK. Parti Reform UK bergaris kanan. Agenda utamanya ialah menolak, menghalau dan menghantar pulang pendatang yang hari ini terus menceroboh masuk ke UK secara gelap dan terang.
Di Sweden perkara sama berlalu. Baik hati Bumiputera Sweden juga tercabar. Ini apabila pendatang gagal untuk memahami falsafah di mana bumi dipijak.
Kes menyerlah di Sweden ialah apa yang di panggil ‘Honour Killing atau Bunuh Aib’.
Pembunuhan demi maruah dan membersihkan aib keluarga ini sedang di hadapi oleh Bumiputera Sweden.
Keganasan berasaskan maruah di Sweden merujuk kepada tindakan yang membawa maut serta bersifat paksaan yang dilakukan oleh anggota keluarga atau komuniti demi memelihara atau memulihkan tanggapan terhadap maruah keluarga.
Tindakan ini sering berkait dengan usaha mengawal aspek sekualiti, autonomi, atau pilihan sosial saudara perempuan.
Portal Scandinavian University Press pada 24 Januari 2024 telah menerbitkan laporan dimana satu kajian menunjukkan terdapat 16 individu yang kini dalam penjara yang disabitkan kesalahan Bunuh Aib dan jenayah berkaitan keganasan berasaskan maruah.
Fadime Åžahindal mati dibunuh pada 21 Januari 2002. Fadime seorang pendatang berbangsa Kurdish yang berpindah ke Sweden dari Turki pada usia tujuh tahun. Anak gadis ini dibunuh oleh bapanya, Rahmi, pada bulan Januari 2002 dalam satu kes pembunuhan demi maruah.
Anak gadis berumur 27 tahun ini dibunuh oleh ayah sendiri kerana dia ada kekasih lelaki Sweden.
Kelakuan dan perangai seperti ini melahirkan kebencian terhadap pendatang. Pendatang ini tidak mengamalkan falsafah dimana bumi dipijak di sana langit di junjung.
Kegagalan pendatang ini untuk menerima budaya dan gaya hidup warga Bumiputera Eropah menjadikan mereka ini satu sebab untuk pendatang terus di tentang dan dihalang kesampaian mereka.
Bayangkan seorang Pak Lebai dari Kota Bahru tinggal di London. Dia akan terperanjat bila mengetahui bahawa di Eropah kita ada konsep berkhalwat atau berzina.
Pak Lebai ini akan terperanjat bila mengetahui ramai pelajar Melayu ada yang memiliki Balak atau Minah Mat Salleh. Malah tinggal serumah.
Masih segar dalam ingatan di pagi musim panas 1983. Ketika itu Emak dan Abah saya menziarah saya di kota London. Pagi itu di Stesen Straford East London kami sedang menunggu kereta api bawah tanah. Di hadapan kami ialah beberapa pasangan muda Bumiputera Mat Salleh. Mereka sedang bercumbu dan berpelukan.
Lalu arwah Emak saya bertanya : Mereka ini dah kahwin atau belum ?
Satu soalan yang sah di terima jika soalan ini muncul di stesen LRT Bangsar.
Tapi soalan ini tidak pernah timbul di kota London.
Lalu saya jawab : Mak di sini orang tak tanya hal ini....’
Tapi Emak dan Abah saya bukan nak jadi pendatang. Justeru tidak timbul pertelingkahan dan krisis budaya.
Falsafah Melayu ini jelas dan terang. Masuk kandang lembu menguak. Masuk kandang kambing membebek. Dimana bumi di pijak di situ langit di junjung.
Jangan datang cari makan di negara orang akhirnya mahu membuat perangi sendiri.
Kita di Malaysia juga sedang berhadapan dengan masalah pendatang. Ada pendatang lama dan ada pendatang baru. Ada sedar di mana bumi di pijak di situ langit di junjung. Ada yang masih bebal.
Masih ada pendatang lama dan pendatang baru yang gagal memahami falsafah di mana bumi di pijak. Justeru Bumiputera Melayu hari ini tahun 2026 sedang berhadapan dengan masalah pendatang lama dan baru.
Apa yang perlu di lakukan? Tunggu minggu hadapan. Amin END
TULISAN INI
DISIARKAN JUGA DALAM PORTAL
MALAYSIAKINI. COM
https://www.malaysiakini.com/columns/783581