Rabu, 8 Ogos 2012

HEGEMONI GEROMBOLAN PECAH BILA INTERNET WUJUD




KIBARKAN SANG SAKA TANAH MELAYU






TERIMA KASEH RONALD REAGAN

Politik Malaysia terkini semakin sehari semakin menarik. Bulan Ogos adalah bulan yang paling rancak untuk menilai sejarah. Selama satengah abad parti United Malays National Organisation telah memiliki hegemoni dan monopoli terhadap semua jalur naratif sejarah perjuangan bangsa.

Selama lebih dari 40 tahun gerombolan United Malays National Organisation telah berkelentong menjual sejarah organisasi mereka. Hampir satengah kurun gerombolan ini bersama kuncu-kuncunya telah berkesah bahawa merekalah yang berhak keatas bumi Tanah Melayu ini.

Dengan menjual taik kering nasi basi Ketuanan Melayu, parti siasah ini telah ke hulu ke hilir membawa labun dongeng bahawa mereka sahajalah pejuang kemerdekaan. Dengan slogan Hidup Melayu parti siasah ini, telah mereka-reka kesah-kesah dongeng bahawa merekalah pejuang yang menentang penjajah British.

Sayang seribu kali sayang. Kemunculan internet telah mengubah semua ini. United Malays National Organisation bukan lagi satu kuasa hegemon yang berupaya memonopoli maklumat. Jalur naratif pejuangan bangsa tidak lagi dimonopoli oleh gerombolan ini. Kuasa mengawal maklumat tidak lagi dimiliki oleh United Malays National Organisation. Hegemoni telah pecah. Terima kaseh Ronald Reagan kerana menghadiahkan internet kepada dunia.


Mitos dan kesah dongeng pertama yang telah diterbaraikan oleh internet ialah tentang naratif pejuangan bersenjata. Selama lebih dari satengah abad warga Tanah Melayu telah dikelentong dengan kesah bahawa perjuangan menuntut merdeka telah dilakukan tanpa pertumpahan darah. Tanah Melayu mendapat merdeka melalui perundingan. Parti siasah United Malays National Organisation telah berunding di London dengan British. Ini memang kesah hampeh. Ini cerita karut lagi marut yang ditaburkam setiap bulan Ogos semenjak tahun 1958.

Selama lebih 40 tahun fakta bohong ini berjaya di taburkan kerana warga tidak memiliki maklumat alternatif. Sejarah perjuangan melawan British telah disongsangkan. Tetapi melalui intenet, hari ini anak anak muda telah mula mengenal Chin Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Pak Sako, Aziz Ishak, Ibrahim Yaacob, Abdullah Sidi, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin Hilmy, dan Ustaz Abukabar al- Bakir dan dan dan.

Anak-anak muda semua bangsa kini telah mengetahui bahawa parti siasah yang tertua di Tanah Melayu ialah Parti Komunis Malay (1930). Malah turut sama berjuang melawan British ialah Kesatuan Melayu Muda (1938), Angkatan Pemuda Insaf (1946), Angkatan Wanita Sedar (1946), Hisbul Musmlimin (1948) Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945). Semua gerakan nasionalis ini melaungkan M-E-R-D-E-K-A sebagai slogan pejuangan. Ramai kader dan ahli parti-parti ini telah bersama PKM mengangkat senjata melawan British.

Kini anak semua bangsa telah mula mengenal Mat Indra yang mati digantung oleh British pada malam 30 Januari 1953 di Penjara Taiping. Satelah mangkat 59 tahun dahulu , hari ini Mat Indra telah menjadi ikon anak muda setaraf dengan Che Geuvera. Sekali lagi terima kaseh Ronald Reagan.



Semakin ramai anak muda sedar bagaimana United Malays National Organisation telah memesongkan sejarah perjuangan menghalau British. Lihat fakta sejarah ini : United Malays National Organisation hanya ditubuhkan pada tahun 1946. Sebelum United Malays National Organisation muncul telah banyak parti-partyi dan kumpulan siasah yang telah lama berjuang menentang British. Gerombolan United Malays National Organisation hanya dapat berkembang sebagai sebuah parti politik apabila Britsh mengharamkan PKM, API, KMM dan Hisbul Muslimin.

Malah, hingga ke hari ini nama organisasi ini - UMNO - masih lagi menggunakan nama Inggeris. Dari fakta sejarah umum mengetahui bahawa United Malays National Organisation tidak melaungkan MERDEKA sebagai slogan perjuangan. Parti yang namanya dalam Bahasa Inggeris ini menjadi lawak seram apabila HIDUP MELAYU dan seharusnya HIDUP INGGERIS menjadi slogan perjuangan.


Pembohongan yang paling memualkan ialah apabila anak-anak muda mula mengenal Pierre Jean de Berenger ( 1780-1857) pembuat lagu Memula Moon. Kini telah diketahui umum bagaimana Memula Moon berevolusi untuk menjadi lagu Terang Bulan di Indonesia. Lagu Terang Bulan ini kemudian diciplak untuk menjadi lagu Negara-ku di Malaysia. Sekarang ini fakta-fakta sejarah ciplakan yang selama ini telah cuba disorokkan telah bocor. Warga Malaysia telah mula bangun dan melaugkan yang mereka mahu satu lagu kebangsaan yang baru. Anak-anak muda sedang menghampehkan lagu Negara-ku. Sekali lagi terima kaseh Ronald Regan.



Tidak cukup dengan lagu kebangsaan negara yang diciplak kini telah timbul perbincangan dikalangan anak-anak muda untuk mengubah rupa bentuk bendera Malaysia. Ini kerana bendera Malaysia yang wujud hari ini telah dilihat sebagai ciplakan dari bendera Amerika Syarikat.

Melalui maklumat dari internet , oleh orang ramai telah tahu bahawa selama ini telah wujud bendera Sang Saka merah puteh yang membawa motif Nusantara. Jalur Temberang opppss...Gemilang.. nama yang hanya baru diberi empat tahun dahulu tidak bermotifkan roh Nusantara. Dapat dilihat dengan jelas bahawa Jalur Gemilang bermotifkan ciplakan dari The Star Spangled Banner.

Pembohongan demi pembohongan yang disalut dengan ciplakan ini akhirnya melahirkan lawak hitam lagi sedih. Lawak hitam ini muncul sesudah 8 March 2008. Sesudah tarikh ini sejarah Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Serawak telah berubah untuk selama-lamanya. United Malays National Organisation tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti siasah tetapi sebagai satu gerombolan penyamun yang sedang menyamun harta negara. Kebencian orang ramai kepada parti ini tidak dapat dinafikan lagi. Orang ramai sedang menunggu masa untuk menghumbankan parti ini ke dalam tong sampah sejarah.

Disaat saat genting ini – dalam keadaan nyawa-nyawa ikan - United Malays National Organisation telah cuba memenangi kembali hati anak-anak muda yang kini sedang berguru dengan internet dan media baru. Putar punya putar muncul logo untuk sambutan hari 31 Ogos. Apabila muncul sahaja logo 31 Ogos ini serangan telah datang bertalu-talu dari laman , dari blog, dari Face Book, dan tweeter anak-anak muda terus berkicau memperlekehkan logo ini.

Penglekehan logo 31 Ogos ini memiliki sejarah kerana pada tahun 2008 logo 31 Ogos telah juga diciplak dari Taiwan. Tetapi pada ketika itu serangan anak muda agak terhad. Tetapi kali ini serangan telah datang bergantang-gantang sehinggakan pungutan suara melalui media baru di Malay Mail - akhbar pro United Malays National Organisation - terpaksa dipadam. Logo 31 Ogos ini diperlekeh dan ditolak.



Penolakan dan penglekehkan oleh anak-anak muda ini telah menakutkan United Malays National Organisation. Ini kerana mereka sedar bahawa undi anak mudalah yang akan menentukan siapa yang akan menjadi jaguh di PRU13 nanti. Dalam keadan kelam kabut ini Menteri yang berwajib telah cuba mencari jalan keluar. Menteri Kelam Kabut ini telah cuba memanggil pandangan dan cadangan dari orang ramai sebagai jalan penyelesain.

Ha! Ha! Jalan penyelesaian bukan semudah yang dimimpikan kerana jalan penyelesaian ini pula telah memunculkan satu lagi lawak seram lagi hitam. Lawak hitam logo 31 Ogos telah berjangkit pula kepada lagu tema 31 Ogos. Tema lagu ini telah dirancang dengan licik untuk digunakan sebagai alat propaganda untuk memenangi hati orang ramai pada PRU13 nanti. Tetiba laman media baru meledak dengan berita bahawa lagu tema 31 Ogos ini rupa-rupanya diciplak dari lagu gereja Indonesia. Kah kah kah sudah jatuh ditimpa tangga. Kini muka terhimpab pula ke tahi lembu. Sekali lagi terima kaseh Ronald Reagan.






Disebalik semua ini apa yang sebenarnya terjadi. Betulkan logo 31 Ogos itu hodoh? Betul ke lagu tema 31 Ogos itu diciplak dari lagu gereja Indononesia?

Dua soalan ini tidak memerlukan jawapan. Malah soalan ini pun tidak relevan . Bukan logo cun atau lagu cool yang menjadi ingin diwujudkan. Apa yang sedang berlaku sekarang ialah manifesati tentang kebencian orang ramai terhadap United Malays National Organisation. Penolakan dan penglekehan terhadap logo dan lagu ini adalah manifestasi betapa bencinya anak anak muda dan orang ramai terhadap United Malays National Organisation.

Sama ada lagu Janji Ditepati ada persamaan dengan lagu Tuhanku Maha Besar memang tidak relevan. Sama ada dua bar atau lima bar petikan gitarnya berbunyi sama bukan persoalan. Mungkin ada yang akan menuduh lagu gerombolan ini juga di ciplak dari Imagine lagu arwah John Lennon. Tetapi semua ini tidak penting.

Malah bukan semua yang menentang lagu ini tahu tentang musik. Malah mungkin ramai yang mengutuk lagu ini di Face Book tidak pun mendengar untuk membuat bandingan kedua-dua lagu ini. Tetapi semua ini tidak penting. Yang wajib kita fahami ialah semua ini adalah menifestasi dari kebencian orang ramai terhadap United Malay National Organisation.



Penolakan dan penglekehan ini muncul karana umum mengetahui bahawa parti siasah United Malays Natioanak Organisation ini tidak bermaya lagi. Parti ini sedang nazak. Kalau kayu tepi sungai sudah condong bukan sahaja kura-kura akan memanjat malah ianya akan dijadi pangkin untuk terberak.

Hari ini kebencian telah sampai ke kemuncaknya. Apa sahaja yang dicadangakan, apa sahaja yang diajurkan – semuanya akan ditolak. Semuannya akan diperlekeh. Malah sebelum pun keluar satu perkataan keluar dari mulut Najib - presiden United Malays National Organisation - perkataan itu telah tidak dipercayai. Belum pun sempat Najib bercakap anak semua bangsa sudah tidak percaya. Terima kaseh Ronald Reagan.(TT)








NOTA:
tulisan ini telah disiarkan
dalam akhbar
SUARA KEADILAN
yang terbaru - sesiapa ingin
melanggan akhbar mingguan ini
sila pukul talipon
: 03-22-72-40-45





4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Terimakasih TT krn pencerahan utk bani melayu..

Tanpa Nama berkata...

Tahniah tt sbb ko berani melawan. Melayu la bangsa plg lambat sdr berbanding india,cina. Semua slow tang melayu n lembab cam malikul sembab yg ade lebam hitam kt pipi..hahaha..trus bongkarkan lg ape2 yg melayu x tahu. Syabas tt

Tanpa Nama berkata...

Jgn lupa gerombolanan penah diharamkan..diganti dgn gerombolan baru yg lagi rakus merompak! Anak muda xpenah lupa akan sejarah!!

Tanpa Nama berkata...

lawan tetap lawan sham!