Isnin, 23 Mac 2015

JANGAN KELENTONG






RANG UNDANG-UNDANG PERSENDIRIAN (KUASA MAHKAMAH SHARIAH): BUBAR PARTI-PARTI KOMPONEN BN JIKA GAGAL DAPATKAN PENDIRIAN PERDANA MENTERI & TIMBALAN PERDANA MENTERI
 
Sandiwara yang dimainkan Umno untuk memerangkap PAS mengenai isu hudud semakin menjadi-jadi walaupun Enakmen Kanun Jenayah Shariah Kelantan diluluskan pada 19 Mac 2015 yang lalu.

Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh  Najib  Razak minggu lalu, laporan mengenai keputusan mesyuarat itu berbeza-beza mengikut sumbernya. Presiden MCA, Liow Tiong Lai dilaporkan menyatakan bahawa  Najib  Razak menentang rang undang-undang persendirian (kuasa mahkamah shariah) yang bakal dibawa oleh Presiden PAS tidak lama lagi. Malah, Liow Tiong Lai juga berkata Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara itu secepat mungkin.

Sehingga kini, tidak ada satu pun kenyataan yang dikeluarkan  Najib  Razak mengenai pendirian beliau dan Umno apabila rang undang-undang persendirian itu dibentangkan. Malah, tidak ada pengesahan pun bahawa rang undang-undang persendirian itu boleh dibentangkan dalam sidang kali ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri yang bertanggungjawab menyusun rang undang-undang yang dibentangkan di Parlimen menyatakan semalam bahawa besar kemungkinan rang undang-undang persendirian yang mahu dibawa presiden PAS itu tidak sempat untuk dibentangkan kerana agenda parlimen kali ini telah sarat dengan rang undang-undang yang dibawa kerajaan.

Sandiwara ini berterusan lagi di media yang rapat dengan Umno dan Barisan Nasional. Akhbar Sinar Harian memuatkan di muka depan bagaimana Umno menyokong penuh pelaksanaan hudud dengan tajuk “BN Sokong Hudud”. Pada hari yang sama, saya dimaklumkan akhbar Sinchew Daily memuatkan laporan di muka hadapan bagaimana Dato’ Seri Najib Tun Razak menolak pelaksanaan hudud. Pendirian Umno berubah-ubah mengikut pengundi sasaran mereka.

Ini adalah rentetan sandiwara demi sandiwara Umno untuk memecahkan Pakatan Rakyat dengan menggunakan isu hudud.

Rang undang-undang persendirian (kuasa mahkamah shariah) yang ingin dibawa Presiden PAS itu hanya boleh dibentangkan dengan persetujuan  Najib Razak. Malah, dengan semua parti selain Umno di Parlimen telah menyatakan pendirian masing-masing mengenai rang undang-undang persendirian tersebut, jika ia dibenarkan dibawa rang undang-undang persendirian (kuasa mahkamah shariah) itu hanya akan lulus jika semua 88 ahli Parlimen Umno mengundi untuk menyokongnya.

Sebab itu saya cabar presiden-presiden parti-parti komponen Barisan Nasional (MCA, MIC, Gerakan, PBB, PBS, UPKO, SUPP, PRS, SPDP, PPP dan LDP) yang telah menyatakan bangkangan kepada rang undang-undang persendirian itu untuk mendapatkan pendirian Najib  Razak dan Timbalan beliau Muhyiddin Yassin dalam bentuk bertulis secepat mungkin.

Jika kesemua presiden-presiden parti-parti komponen Barisan Nasional ini gagal mendapatkan pendirian Najib Razak dan pendirian Umno menjelang hari Selasa ini, lebih bermaruah jika mereka membubarkan sahaja parti masing-masing kerana jelas telah dibuli dan diperlekehkan oleh Umno dalam permainan sandiwara mengenai hudud.

Jelas parti-parti mereka tidak bernilai jika dibandingkan dengan kerjasama di antara Umno dan PAS dalam perkara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN





-------------

Tiada ulasan: