Rabu, 21 November 2018

TANDA DAN MAKNA PEMILIHAN PKR

 

TANDA DAN MAKNA PEMILIHAN PKR

(CNN)After the grueling 36-day Florida recount battle, Al Gore finally conceded the presidency to George W. Bush on December 13, 2000.

But the controversy surrounding this unprecedented election and its aftermath did not end there.  (Dipetik dari berita CNN - 31  Oktober 2015)

Selama 36 hari keputusan pemilihan Presiden Amerika  di Florida tertangguh. Politik Amerika panas bergelora.  Kira dan ulang kira berlaku.  Akhirnya George  W. Bush telah menewaskan Al Gore untuk menjadi Presiden Amerika ke 43.  Al Gore pasrah menerima keputusan.

Ini berlaku 18 tahun dahulu. Hingga ke hari ini kontroversi pemilihan tahun 2000 ini masih berterusan. Pada tahun 2015 kajian telah dilakukan oleh kumpulan media. Hasil kajian - keputusan masih tidak sekata dan tidak tuntas. 

Ada pendapat mengatakan Gore menang  dengan kelebihan 171 undi. Ada pendapat yang merumuskan Bush menang dengan  225 undi. 

Kajian ini dilakukan bukan kerana Al Gore meroyan. Tetapi untuk melihat  dan mengumpul pengalaman agar dapat  memperbaiki sistem pengundian masa depan.

Kajian bertujuan melihat - 1) reka bentuk kertas undi 2) peraturan  pengundian yang tidak tuntas 3) kesilapan  pegundi 4) menyemak tuduhan penipuan.

Kajian ini bertujuan untuk melihat kekuatan atau kelemahan mengundi cara lama dan kekuatan dan kelemahan mengundi cara  e-voting atau mengundi cara eletronik yang pertama digunakan di Florida.  

Mengundi cara eletronik ini baru sahaja selesai dilakukan oleh  Parti Keadilan Rakyat (PKR). Dari September 22 hingga 11 November ahli PKR telah keluar mengundi untuk memilih kepimpinan parti dari cabang hingga ke perengkat nasional. PKR menjalankan sistem satu ahli satu undi.

Pada tahun 2000 Florida adalah wilayah  termaju, tercanggih dan terleteronik dalam dunia. E-undi  2000 di Florida  masih  dipersoalkan dan dihantui oleh masaalah. Bayangkan di Malaysia  dimana sistem teknoloji pengkomputeraan masih lemah  di Semenanjung.  Bayangkan bagaimana  agaknya kelajuan internet  di Sabah dan Serawak. Justeru e-undi PKR pasti membawa banyak masaalah.

PKR menjadi pemula e-undi di Malaysia. PKR pemecah ruyung. Salut kita ucapkan.  Kita angkat topi tanda hormat pada PKR. Tapi apakah e-undi ini jawapan untuk pendemokrasian. Atau ada tembakau dibalut ganja. Atau ada jet dibelakang towkay.

Pemilihan PKR berjalan hampir tiga bulan  - panas , hujan, banjir  dan ribut - e-undi diteruskan.  Banyak  dawai leterik telah dipasang. Banyak air telah melintasi jambatan. Banyak sampah telah masuk ke dalam tong. Banyak air liur telah terhambur. Banyak sumpah telah diseranah.  Yang meroyan masih meroyan. 

Al Gore pasrah menerima kekalahan. Dari laporan media kita membaca bahawa Rafizi  terus  meroyan tapi menerima keputusan hanya kerana mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Rafizi telah mempersoalkan  jumlah undi kemenangan majoriti  yang kecil. Jumlah majoriti kecil mengikut pandangan Rafizi bukan tanda sokongan mutlak yang boleh dibanggakan. Berapa jumlah mutlak yang dihormati sebagai  ‘betul-betul’ menang hanya  Rafizi dan Guru Nanak yang tahu.

Azmin mendapat hampir  5000 undi majoriti. Apakah jumlah ini dianggap ‘menang’ oleh Rafizi - wallah hu alalam bissawab.

Rakyat Malaysia wajib bersimpati kepada Akmal yang menang  kerusi  Ketua Pemuda PKR. Si Akmal ini hanya mendapat kelebihan majoriti 40 undi. Muka Akmal basah oleh tempias  air liur Rafizi.

Hakikatnya - anak semua bangsa melihat  dan membaca pemilihan PKR 2018 ini ialah pertarungan antara Rafizi dengan Azmin. Dua protoganis ini bertarung untuk menduduki kerusi Timbalan Presiden PKR.

Nama-nama kepimpinan lain yang bertanding hilang tenggelam. Yang  menaikkan ‘sheikh dan syawat’ para media dan orang ramai hanyalah  nama Rafizi dan Azmin.

Azmin mempertahankan kerusi Timbalan Presiden  manakala Rafizi cuba merampas. Azmin bekas Menteri Besar dan kini menteri dalam kabinet Pakatan Harapan. Manakala Rafzi hanya seorang penanam anggur. Semua ini adalah  garam masala dan aji no moto yang menjadikan dalam pertempuran dua protoganis ini menarik.

Pertempuran ini  mengingatkan saya  kepada petarungan  gocoh  Cassius Clay  dengan Sonny Liston pada 24 Febuari 1964 dan pada 25 May 1965 untuk merebut juara tinju dunia. Dua kali mereka bertinju. Ketika itu  saya dalam tingkatan satu dan dua. Bukan mengikuti melalui tv tapi membaca laporan Utusan Melayu (Jawi) beberapa hari kemudian.

Saya rasa dari kenyataan Rafizi mereka akan bertumbok, bergocoh dan bergumpal sekali lagi. Mungkin tiga tahun dari sekarang.  Kenapa ini berlaku?

Anak semua bangsa yang tidak mengikuti perlawanan ini pasti tertanya-tanya apa pentingnya  perlawanan ini dalam arus politik negara. Ada cincalok apa dibelakang semua ini.

Aduhi! Awas dan waspada. Dibelakang perebutan ini ialah perebutan kuasa. Ini kuasa kerajaan bukan lagi kuasa pembangkang. Bukti telah menunjukkan  bagaimana sebelum dapat kuasa telah ada para cukong yang  bersedia meminjamkan jet pribadi untuk kesana ke sini berkempen. Telah ada cukong memfaraidkan bangunan sebagai pejabat. Malah Pak Samseng pun tunduk  berkumpul menyembah kuasa. Jangan lupa kesah Pak Samseng menganjurkan jamuan makan malam ketika pilihan raya kecil di Port Dickson. Semua ini adalah contoh kuasa yang  maha kuasa.

Wajib saya rakamkan disini secara ringkas bahawa latar belakang pemilihan PKR 2018 ialah keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri. Politik  yang berlaku pada ketika ini adalah manifestasi dari keberahian Anwar ini. Khalas.

Tapi bukankah keberahian ini telah dimuktamad. Di hebohkan bahawa ada perjanjian  Anwar akan menggantikan Mahathir?  Malah diheboh dan Mahathir  ditanya berkali-kali oleh wartawan - tak putus-putus menanya  tentang siapa akan pengganti.

Pekara kerisauan dalam keberahian ini timbul kerana sejarah lalu. Malah  umum tahu bukan hanya Guru Nanak yang tahu siapa Anwar malah Si Mahathir pun  tahu siapa  sabenarnya Anwar Ibrahim.  Tapi paling afdal ialah si Anwar Ibrahim lagi tahu siapa sebenarnya  Anwar bin Ibrahim. Amin.

Ini ditambah pula oleh kenyataan dari mulut Mahathir yang mengerunkan Anwar. Mahathir kerap dilaporkan berkata…. ‘ penggangti saya ialah Anwar Ibrahim tapi… semua terpulang kepada rakyat…’

Bila ada perkataan ‘tapi’  hakikatnya  empangan Aswan di Mesir pun boleh runtuh.

Ayat …. tapi terpulang kepada rakyat …. ini menjadikan Rafizi gelabah. Ayat ini juga menjadikan Anwar Ibrahim  bertambah gelojoh. Apakah  Rafizi  dan Anwar tidak yakin yang rakyat akan  memilih  Anwar sebagai ganti Mahathir. Pada hemat saya Anwar makin sedar  tentang perasaan  rakyat terhadap sosok yang dipanggil Anwar Ibrahim. Ini ditambah dengan pengalaman 1998.


Juteru - dalam pemilihan PKR 2018  - Rafizi yang dikatakan setia kepada Anwar telah memunculkan ‘tag-line’  atau garis kempen : Siapa mahu Anwar jadi Perdana Menteri undi  Rafizi.

Rafizi juga mempersoalkan bahawa wujud ‘ kepala angin’ dalam PKR yang tidak meminati dan memperlekeh Anwar menjadi Perdana Menteri ke 8. Malah ini adalah sebahagian dari isi ucapan Rafizi dalam Kongres pada 18 November 2018 lalu.

Dalam kempen pemilihan kita selalu  terdengar labon Rafizi tentang  kesetiaan. Saolah-olah ahli PKR wajib setia. Setia kepada apa?  Setia kepada  siapa - ini juga tidak jelas. Apakah setia pada garis politik atau  setia kepada perjuangan parti tidak pula dituntas. Apa yang jelas ialah kesetiaan untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Siapa mahu Anwar jadi Perdana Menteri undi Rafizi?

Pada 17 Oktober 2008 - diumumkan bahawa Rafizi kalah. Rafizi gagal untuk merebut jawatan Timbalan Presiden PKR.   Azmin mendapat 51.82% jumlah undi. Rafizi mendapat  48.18%. Majoriti ahli PKR telah menyokong Azmin Ali.  Apa maknanya ini?

Kalau mengikut lojik garis kempen Rafizi - hampir satengah dari ahli PKR yang mengundi  telah menolak Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri.  Bila mereka tidak menyokong Rafizi bermakna mereka tidak menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.
Kalau saya Anwar - bila saya melihat ini berlaku  saya akan gelabah marah. Segala usaha  untuk memastikan Rafizi menang telah gagal. 

Keputusan Azmin menang ini pasti diteliti Mak Cik Kiah  ahli PKR dari Rantau.  Penelitian dan komen Mak Cik Kiah ini tidak mengerunkan Anwar. Tapi  penelitian Mahathir dan pandangan  kepimpinan Pakatan Harapan membawa makna tersirat yang berlainan.

Apakah ini bermakna pemilihan PKR 2018 telah selesai dan tuntas. Betul ianya telah selesai. Dari segi kira-kira jumlah undi ianya  telah selesai. Apa yang belum selesai ialah garis kempen Rafizi yang mengkaitan  undi dirinya sebagai tanda sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri.

Tag line si Rafizi - siapa mahu Anwar jadi Perdana Menteri undi Rafizi - kini membawa mudarat. Bukan kepada Rafizi yang jelas telah kalah.  Yang menaggung seksa dari  garis kempen Rafizi ini ialah Anwar Ibrahim sendiri.

Tapi saya yakin Anwar akan bersilat lidah. Anwar akan menukar songkok dan jubah. Anwar akan memetik gitar untuk menyanyikan lagu baru.  Kali ini lagu yang akan didendangkan oleh Anwar bukn lagi Oh Nona-ku Azizah.

Ketuk tetawak. Tiup bangsi. Petik gitar dan gesek biola.  Anwar  Ibrahim akan mendendangkan lagu dan irama baru - Oh Azmin-Timbalan ku. Apakah  dengan lagu baru ini biduk lalu kiambang bertaut ? Hanya Guru Nanak yang tahu. END


TULISAN INI DISIARKAN
DALAM MALAYSIA KINI



------------------------

3 ulasan:

Unknown berkata...

Julau menjulingkan kerakusan kegopohan manusia. Kerna seekor Taikun Julau, rosak PKR Sarawak.
Wahai Nuar!!! Wahai Zizah!!!!
Taikun Julau ini pembawa pelingkup yang kau nak julang?
Taikun Julau ini seekor perompak wang Sarawak!
Taikun Julau ini penghalang Nuar jadi Piem nanti!!!

hurmmm berkata...

Guru Nanak ni siapa ha? berilmu betul dia ni. nak number dia nak mesej tanya masa hadapan

Awanama berkata...

Bila manusia gila kuasa, sanggup membutakan mata, hati dan telinga kepada segala yang akan membawa keroskkan di masa akan datang. Short term game, long term loss. Maknanya Anwar sebenarnya cetek akal. Dulu2, perancangannya selalu kecundang di saat2 akhir. Betul tak?