Rabu, 13 Mei 2020

MERAKAM SEJARAN - HADI DAN XENOPHOBIA



 


MERAKAM SEJARAH

HADI DAN XENOPHOBIA

Minggu lalu saya membuka perbincangan  tentang xenophobia. Ini usaha saya untuk membawa pencerahan tentang sikap xenophobia yang sedang melanda kita semua. Xenophobia  memberi makna benci dan takut kepada orang asing. Orang  asing ini ialah Yang Lain – The Other. Yang ganjil, yang pelik dan  yang bukan  Orang Kita. Orang lain yang tidak  berkongsi ibu pertiwi  dan tidak sama budaya dengan kita. Orang lain yang gaya budaya hidup mereka  tak serupa dengan kita.

Saya juga telah memunculkan   babak politik tentang  Rohingya. Bagaimana pendatang Rohingya telah menjadi alat untuk menemukan United Malays National Organisation dengan Parti Islam Se Melaysia. Dua parti politik ini bermusuhan. Malah mengikut fatwa Parti Islam  parti United Malays National  Organisation ini parti kapir.

Pada ketika dua parti ini bertemu   - Najib  menjawat Presiden parti dan belum kena tangkap manakala  Hadi  juga presiden parti Islam.  Dari pentas yang sama Najib dan Hadi telah mengacung-acungkan tangan menyokong warga Rohingya. Mereka melaung  menjerit dan bertempik menuduh kerajaan Buddhist Myamar telah membelasah Rohingya. Tuan Haji Hadi yang klim dirinya seorang ulamak telah mengambil garis  Arab Islam untuk mengutuk Buddhist Myamar. Apa yang berlaku di Myamar di takrif oleh Tuan Haji Hadi sebagai agama Buddhist menindas penganut agama Islam.

Pada   petang Sabtu 3 Disember 2016 itu,  Hadi dan Najib  telah menggasak, menyelar  dan mengutuk kerajaan Myamar . Mereka memberi sokongan atas nama Islam  mereka  terhadap  Rohingya.

Hasil dari Perhimpunan  Solidariti Rohingya ini Parti Ketunanan Melayu telah berjaya diijab kabul dengan Parti Ketuanan Arab oleh Tok Kadi Rohingya. Penikahan ini melahirkan anak yang diberi nama Muafakat Nasional. Memang hebat peranan Tok Kadi Rohigya ini. Amin.

Tup tup kapal Rohingya masuk ke perairan Malaysia.  Ketika kapal masuk  Tuan Haji Hadi  telah menjadi Menteri dalam   kerajaan  Perikatan Nasional.   Dengan sekelip mata pandangan Arab Islam Tuan Haji Hadi   berubah. Tuan Haji Hadi dengan serta merta  menjadi politikus  yang amat jujur sama saperti para  politikus di Malaysia. Bijak bersilat lidah. Amin.

Apa yang berlaku? Kenapa ini berlaku?  Apa kejujuran Hadi? Apa sebab Tuan Haji Hadi seorang ulamak berubah?

Semua yang berlaku atau berubah ada sebab musabab. Dalam dunia ini tidak ada sesuatu yang berlaku tanpa sebab. Mat Abduh memanjat pokok kelapa  dan kemudian enggan  turun pun ada sebab.  Mat Abduh enggan turun kerana dia gila. Justeru hanya yang gila dan sasau sahaja yang akan membuat sesuatu  tanpa sebab. Kerana itu orang gila yang membunuh jika dibuktika kegilaannya maka dia akan lepas dari hukuman. Hanya dihantar ke Tanjung Rambutan.

Tetapi Tuan Haji Hadi  bukan penghuni Tanjung Rambutan. Justeru pasti ada sebabnya apabila Tuan Haji Hadi ketika berhadapan dengan kapal Rohingya berkata   ‘ ….mereka akan diberi bekalan  makanan… kemudian kapal ini akan ditunda masuk ke perairan antarabangsa…’. 

Suara Hadi ini terkeluar apabila sebuah kapal  Rohingya dengan 202  penumpang cuba mendarat  di Langkawi pada 15 April 2020 yang baru lalu. Tentera Laut DiRaja Malaysia dan Tentera Udara DiRaja Malaysia telah menghalang pendaratan kapal Rohingya ini.

Apa terjadi dengan  solidariti Islam  parti United Malays National Organisation dan Parti Islam  dengan Rohingya?

Sabar dulu. Saya mahu memberi rujukan  terbaru disini. Dari akhbar The Guardian London pada Jumaat 8 Mei 2020 telah melaporkan ucapan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu  (PBB) Antonio Guterres. Dia telah  berkata ‘ … the coronavirus pandemic has unleashed a “tsunami of hate and xenophobia…” -  pandemic Korona ini telah telah meledakan  tsunami kebencian dan xenophobia.

Ketua PBB ini juga menunjukkan pada ketika ini sikap anti pendatang asing makin  melimpah ruah. Bahaya rasisma melonjak-lonjak.  Guterres juga berkata kempen kebencian ini tersebar luas dimedia sosial , ‘..., and highlighted the spread of antisemitic conspiracy theories and Covid-19-related anti-Muslim attacks…’ Penularan sikap anti-semitik , teori konspirasi dan sikap anti-Islam yang dikaitkan dengan Covid-19.

Tetapi Tuan Haji Hadi ialah seorang ulamak Islam.   Warga Rohingya juga beragama Islam. Mustahil Tuan Haji ini anti-Rohingya dan anti-Islam.  Malah  Hadi  ialah Menteri Duta ke negara Arab Islam. Babak yang baru berlaku ini amat pelik. Solidariti Islam punah terbarai. Jelas terbongeng retorik para Pak Lebai Islam. 

Justeru untuk memahami babak manifestasi kapal Rohingya  ini  kita wajib merungkai dalam dan memahami apa itu xenophobia.

Jangan salah faham,  sikap benci pendatang asing  bukan hanya ada pada Hadi. Sikap tak suka pada orang asing  ini makin merebak secara global menurut pandangan  Setiausaha Agong PBB. Xenophobia kini terus menjadi induk berita dan wacana politik dunia kontemperori.

Lembaga Human Sciences Research Council (HSRC) - yang ditubuh  di Afrika Selatan pada tahun 1929  telah membuat kaji selidik tentang xenophobia.  Lembaga ini amat berpengalaman kerana di Afrika Selatan sikap benci kepada orang lain ini disusun, diatur dan dilembagakan melalui  sistem Apartheid.

Menurut HSRC sikap benci pada orang asing  ini muncul dari perebutan kerja, perebutan bahan keperluan  kehidupan dan perebutan perumahan tempat tinggal. Wujud unsur nasionalistik dalam sikap xenophobia. Sikap takut kepada orang asing  kini beralih  menjadi benci.  Hilang takut bertukar menjadi benci. 

Saheh terbukti dari kaji selidik HSRC  menunjukkan bahawa asas  benci kepada orang asing  ini ialah ekonomi. Perebutan punca-puanca ekonomilah yang mewujudkan sikap tak suka kepada pendatang,  benci orang asing dan akhirnya  mahu membelasah orang asing.

Di German dalam tahun-tahun 1930’an sebelum Hitler muncul , ekonomi German rata-rata dimiliki oleh Yahudi.   German yang kalah dalam Perang Dunia Pertama telah dipaksa membayar ufti.Pasca perang menjadkan ekonomi German merosot.  Suasana dan cuaca ekonomi sademikianlah yang  menobatkan Hitler. 

Fasisma dan garis politik kanan membiak. Yang menjadi baja ialah kebecian terhadap Yang Lain The Other yang menjarah ekonomi dan mata pencarian.

Kembali ke Malaysia –  suara benci kepada pendatang ini makin kuat kedengaran kebelakangan ini. Sikap benci kepada pendatang ini  memang sedia  wujud terbenam dalam psikik  Melayu. Orang Melayu  melihat  bandar dan kota semuanya dimiliki orang China. Kondo mewah dan rumah banglo yang indah permai  juga dimilki  Orang China. Gedong membeli belah semuanya dimilki oleh China. Saban tahun  majalah kapitalis   Forbes akan melaporkan sepuluh sosok terkaya di Malaysia. Lapan atau 7 dari 10  billionaire  di Tanah Melayu masih lagi orang  bukan Melayu. Maka sahehlah  kajian HSRC  semua  ini akan melahirkan kebencian.

Dalam realpolitik kontemperori Malaysia kebencian kepada orang asing ini dimanifestasikan dengan penolakan orang Melayu terhadap Parti Tindakan Rakyat atau DAP. Secara berlapik Melayu yang benci kepada orang China memberi alasan mereka benci kepada parti politik DAP. Khalas.

Kesampaian kapal Rohingya ketika Malaysia diserang Karona membuka banyak pekong. Sikap benci kepada orang lain, kepada orang asing, kepada pendatang  halal dan yang haram  bertaburan keluar.  Sikap ini boleh dibaca melalui media arus perdana. Malah media social sikap benci kepada pendatang dan bakal pendatang  rebut mengampoh.

‘ Rohingya ini masa bilangan kecil memng lunak perangai-pijak semua pun tak mati tpi bila jumlah mereka dah beratus ribu dibahamnya kita. Kaum lain dtg ke mari zamn Inggers 20’an gitu juga akhirnya. Kita sama2lah belajar dri sejarah yg takat ini banyak menyebelhi org luar’. 

Tweet ini saya ambil bulat-bulat.  Tweet ini keluar pada 1 May 2020. Ketika negara heboh dengan persoalan pendatnng dan buruh asing.

Isi tweet ini jelas membuktikan   sikap terpendam benci kepada orang lain. Sikap benci kepada  orang  yang bukan orang kita. Jangan terperajat bila saya nyatakan bahawa tweet ini bukan dari  Menteri Duta Islam Tuan Haji Haji. Lebih memeranjatkan tweet ini datang dari  hati nurani  bekas  Menteri Luar Tuan Haji Rais Yatim.

Kapal Rohingya selamat keluar dari  perairan  Malaysia.   Tapi kita masih heboh. Kini kita berpindah ke Pasar Borong Selayang.  Pasar borong ini juga wilayah Rohingya.  Sikap benci kepada Rohingya  dalam kapal kini beralih kepada  sikap benci  kepada Rohingya yang diluar kapal dan duduk di Selayang.

Untuk pertama kalinya  kita diberi tahu bahawa terlalu ramai  Rohingya  di Malaysia. Ada yang betul-betul pelarian perang. Tapi majoriti pelarian ekonomi. Malaysia menjadi sasaran pendatang asing  sebagai wilayah cari makan.

Ketika suasana lumayan, ketika ekonomi stabil, ketika ekonomi rancak berkembang  pendatang  dibawa masuk secara resmi. Dalam masa yang sama ramai  meloroh masuk  secara haram. 

Dari  Tanah Seberang mereka bersampan menyeberang Selat Melaka.  Di Kedah, Perlis dan Kelantan pendatang haram mencuri masuk  mengikut lorong tikus. Di Kalimantan  mereka  masuk  ke Sabah dan Sarawak hanya dengan  merentas hutan berjalan kaki.  Bajau dan Suluk berperahu datang dari Pilipina ke Ladah Datu.

Pihak penguasa ‘ buat buat do no’. Towkay   dan pemaju projek perumahan –  mengikut istilah Rais Yatim mereka adalah pendatang tahun 20’an yang dibawa oleh Inggeris.  Para towkay ini  menggunakan tenaga buruh asing  - yang halal dan haram - untuk mendapat laba. Towkay dan pemaju  ini  tidak  memikirkan  masa depan Tanah Melayu atau demograpik Tanah  Melayu. 

Dalam masa yang sama anak tempatan yang bukan pendatang  telah menyewakan tempat, lesen,  kedai dan premis mereka kepada pendatang yang halal dan yang haram. Semuanya kerana merebut ekonomi.

Portal Malay Mail melaporkan pada 5 Mei 2020 bahawa ada 3 juta dan mungkin lebih pendatang haram – saya ulangi – 3 juta orang pendatang haram. Ini belum dicampur jumlah yang  ada  permit kerja. Hitung punya  hitung mungkin jumlah pendatang yang lama dan yang baru telah melebihi anak watan warga asal.  Maka inilah yang dimaksudkan oleh Rais Yatim “ membaham kita.”

Menteri, YB , Polis, Kastam, DBKL  dan Kerajaan tempatan  buat dek ketika  ekoomi rancak. Tetiba Karona datang menyerang. Maka semua terbarai.  Semua pecah.  Krisis membawa tiga pekara. Kemanusiaan kita, kepimpinan kita dan kebinatangan kita. Dimana kita sekarang? Apakah kita xenophobik? 

Perentah Kawalan Pergerkaan Bersyarat atau berkhalwat   masih belum selesai lagi. Kobid masih menyerang.  Bertanya apa terjadi pasca Covid-19 agak terlalu awal. Yang wajib kita tanya sekarang ialah apa sikap kita terhadap pendatang yang lama, yang baru,  yang halal dan yang haram? Tunggu minggu hadapan. (TT)






2 ulasan:

Awanama berkata...

Kaum others yang baik adalah yang membuang othersnya dan bejuang.kaum jati yang baik adalah yang membuang jatinya dan berjuang. Kaum others atau jati,jika lahir dimalaya,berjuang hidup maka adalah kaum yang berjuang.melayu malas,cina gemok pelahap dan india kacang hantu perlu ditentang melayu rajin ,cina kacak berjuang dan india geliga.

Awanama berkata...

Hadi Hadi
Amanat Haji Hadi dulu apa jadi ?
Habis orang berpecah semayang 2 Imam
jemaah pas jemaah umno
last2 dua2 bercemolot