SALIM DAN BOO
MASUK MAHKAMAH
Aku menerima surat dari Mahkamah Isleworth Crown Court. Aku mendapat panggilan telefon dari Mister Chadwick. Aku juga mendapat panggilan telefon dari Mister Alagappa. Isi sama - semua meminta aku datang ke mahkamah.
Di hari yang ditetapkan – awal pagi aku telah bersedia. Aku mengambil kereta api bawah tanah menghala ke Heathrow. Berhenti di stesen Osterley. Kemudian aku menapak tak sampai 15 minit ke bangunan mahkamah Isleworth Crown Court.
Mahkamah bangunan lama dengan pintu gelas yang moden. Aku sebenarnya telah agak biasa dengan mahkamah di London. Pada tahun 1985 Lorraine Osman dan Hashim Shamsuddin telah ditangkap di London kerana dituduh mencuri duit Bank Bumiputera (BBMF) di Hong Kong.
Mereka dibicarakan di Bow Street Magistrate Court London. Aku ketika itu menulis dan membuat laporan perbicaraan dari Bow Street Magistrate Court untuk majalah mingguan Era yang di pimpin oleh Baha Zain bekas orang Dewan Bahasa.
Bow Street Magistrate Court ini hebat sejarahnya. Di mahkamah ini Oscar Wilde ( 1854-1900) penyair dan penulis teater dibicarakan atas tuduhan jatuh cinta dengan seorang lelaki muda yang sedang belajar di Oxford University.
Bahagian dalam mahkamah Inggeris aku lihat hampir serupa dengan bentuk mahkamah kita di Malaysia. Seluas bilik darjah. Ada kandang OKT - orang kena tuduh – kandang saksi. Kerusi tempat duduk Tuan Hakim yang tinggi . Di hadapan Tuan Hakim ada kerusi meja untuk pihak pendakwa dan peguam pembela. Orang awam duduk di belakang pendakwa dan peguam bela.
Pagi itu aku sampai awal. Mata aku mencari Mister Chadwick dan Alagappa. Tidak kelihatan. Aku masuk dan terus duduk di tempat awam. Kes Salim dan Boo belum diumumkan. Aku mahu mendengar kes yang sedang dibicarakan.
Ha ha ha kes dadah sedang dibicarakan. Dua pasang anak muda dari Hamburg German ditahan di lapangan terbang Heathrow. Mereka dalam perjalanan pulang ke Hamburg dari Colombia. Dalam bagasi mereka ditemui 1 kilo kokain.
Dua wanita dan dua lelaki ini berdiri dalam kandang OKT. Mereka ditanya dalam bahasa Inggeris. Kemudian aku nampak mereka mengangkat sumpah dengan memegang Kitab Injil. Aku melihat mereka juga ada penterjemah. Mungkin mereka boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris tapi untuk ketelitian hukum hakam wajib ada penterjemah.
Seorang Minah German ini berambut perang panjang – kelihatan cun. Seorang jantan dalam kumpulan ini agak sedikit berumur. Mungkin ini kepalanya. Aku rasa mereka bukan ‘ keldai ‘ tapi sengaja pergi bercuti ke Amerika Latin dengan niat nak mencari kokain untuk dibawa pulang.
Kes seludup kokain ini di tangguh. Menunggu laporan makmal. Mereka dibawa keluar. Kemudian masuk kes curi. Seorang lelaki Mat Salleh tiga puluhan masuk ke kandang OKT. Lelaki ini di tuduh ada memiliki barang curi.
Apa yang menarik aku pada pagi itu ialah sistem kelas dalam mahkamah Inggeris. Dari pengamatan aku negara yang dipanggil United Kingdom ini adalah negara dimana masyarakatnya diikat kuat oleh budaya feudal. Stratifikasi kelasnya cukup jelas.
Kerana aku telah agak lama tinggal dalam negara ini maka pemerhatian aku terhadap kelas dalam masyarakat Inggeris ini semakin cerah.
Ketika aku duduk dalam kereta api bawah tanah di London aku boleh membaca sosok-sosok yang di sekeliling aku. Dari pakaian, dari beg yang mereka bawa dan dari akhbar atau buku yang mereka baca aku boleh mencium dari kelas mana mereka datang.
Membaca akhbar The Sun datang kelas bawahan konservatif. Membaca akhbar Daily Telegraph kelas menengah gulungan Konservatif. Pembaca Daily Mirrior datang dari kelas bawahan penyokong Parti Buruh. Pembaca The Guardian datang dari kelas liberal kiri. Pembaca The Times dari kelas tinggi gulungan feudal konservatif. Jika membaca Financial Tmes – mereka ini kuam pemodal dan kaki tangan aparachik kapitalis bekerja di City Of London.
Jika mereka membuka mulut lagi terbarai kelas mereka. Lorat dari mulut merek akan menunjukkan kelas dan wilayah kampung mana mereka datang.
Kerana begitu lama aku duduk dalam kota London ini ianya telah mengupayakan aku membayangkan rupa bentuk ruang tamu rumah mereka, hiasan rumah mereka , apa buku dalam rak buku mereka , filem dan panggung mana mereka kunjung. Makanan dan restoran apa yang mereka minati.
Malah aku juga boleh membayangkan sex jenis yang mereka nikmati. Malah aku juga dapat membaca tunggang langgang macam mana yang mereka minati ketika bersanggama.
Aku tidak memerlukan algoritma untuk membaca semua ini.
Dalam Isleworth Crown Court pagi itu – apabila Tuan Hakim membuka suara untuk memulakan kes kedua aku terus membuat rumusan Mamat OKT yang dituduh memiliki barang curi pasti dari kelas miskin. Mungkin tinggal di Hackney atau dari Bow East End – dua wilayah miskin kota London.
Bila OKT ini membuka mulut andaian aku menjadi sahih. Lelaki tanpa kerja tetap mencari nafkah dengan memungut dan menjual menjual barang-barang tangan kedua. Lorat Mamat ini meyakinkan aku OKT ini dari East London – wilayah miskin.
Manakala Pendakwa Raya pagi itu seorang wanita lima puluhan. Dia memakai ‘ rambut putih mahkamah’. Lorat suaranya menggunakan Queen English - mungkin lulusan ilmu hukum dari London Universiti. Manakala Tuan Hakim yang juga memakai rambut putih mahkamah. Bercakap dengan telo suara ‘ posh’ saperti pengacara TV BBC atau juruhebah Radio BBC dari Bush House London. Ketika Tuan Hakim bercakap lorat suaranya meyakinkan aku yang Tuan Hakim ini lulusan Oxford dan tinggal di North London atau di Surrey atau di Finchley berhampiran dengan kampung Perdana Menteri Magaret Thatcher.
Apa yang aku tulis ini agak klise. Tapi inilah hakikat sistem kelas yang aku perhatikan berlaku di mahkamah pada pagi itu. Yang didakwa orang miskin. Baju dan seluar OKT kelihatan miskin. Kasut yang dipakai OKT dilihat miskin. Manakala Mak Cik yang mendakwa dari kelas menengah. Manakala Tuan Hakim dari kelas atasan.
Kes OKT yang memiliki barang curi diselesaikan tuntas. OKT dijatuhkan hukum 9 bulan penjara. Aku perhatikan OKT ini diapit keluar oleh dua orang Bobby.
Kes ke tiga : Pegawai Mahkamah memanggil nama Salim dan Boo Ah Ha. Bila aku mendengar nama mereka dipanggil mata aku mencari-cari Alagappa dan Chadwick. Tanpa aku sedari dua sosok ini telah berada dalam mahkamah.
Salim dan Boo dibawa masuk ke kandang OKT. Peguam pembela Mister Alagappa berdiri di hadapan Salim dan Boo. Aku berdiri di belakang mereka. Chadwick berdiri di sebelah Pendakwa.
‘ Apa khabar kamu berdua.. minum apa pagi tadi...’ Aku tersenyum dan menghulurkan tangan.
‘ Roti dan jem...apalah London ni Bang.... roti canai pun tak ada...’ Aku tidak pasti apakah si Salim ini melawak atau membuat komplin. Boo senyap saje.
Nama Salim dan Boo dipanggil untuk angkat sumpah. Aku membuka mata. Jika kitab Injil yang diberikan aku akan bersuara.
Tapi aku tidak perlu bersuara. Apabila pegawai mahkamah memulakan kes dia hanya membacakan – ‘ ... the truth nothing but the whole truth ..... semuanya benar tidak ada yang tidak benar melainkan benar belaka.....’ Salim dan Boo mengangkat tangan tanpa apa-apa kitab suci.
Aku merasa lega. Mister Alagappa telah menjalankan tugasnya memberitahu pegawai mahkamah lebih awal bahawa Salim penganut Islam dan Boo seorang Buddhist.
Kali ini Pendakwa seorang lelaki yang juga lorat suaranya seperti dari Radio BBC. Pendakwa membuka kata dengan memberikan latar apa yang belaku. Bagaimana Salim dan Boo ditahan. Pendakwa membawa bukti keluar. Kasut Salim yang diubah reka untuk memasukan 800 gram brown sugar ditunjukkan ke mahkamah.
Laporan makmal tentang brown sugar dan nilai dadah ini diberitahu kepada Tuan Hakim.
Aku membisikkan satu per satu kepada Salim. Aku merapati Salim dan cuba mengurangkan bunyi suara bercakap. Sesekali apabila nama Boo disebut aku menterjemahkan kepada Boo. Ini bersangkutan dengan beg bagasi mereka yang sama.
Alaggapa menerangkan kepada Tuan Hakim tentang Boo seorang pemandu teksi yang datang ke London kerana di ajak oleh Salim. Alaggapa berhujah bahawa Boo tidak tahu menahu tentang kasut yang dipakai oleh Salim.
Pendengaran kes ini berjalan hampir dua jam. Kemudian kami berhenti rehat. Salim dan Boo dibawa keluar ke bilik tahanan oleh Bobby. Aku bersembang dengan Alaggapa.
‘ I think.. my reading... Boo has no case... but Salim...’ Alaggapa tidak menghabiskan ayatnya.
Dalam situasi sedemikian aku bukan lagi sosok profesional sebagai penterjemah. Aku kini kembali menjadi sosok yang bersimpati terhadap gulungan miskin. Sabenarnya aku bersimpati dengan Salim yang kakinya cedera patah. Aku juga bersimpati dengan Boo seorang pemandu teksi.
Mahkamah bersidang kembali. Hakim masuk dan duduk. Dia membuka buku catatan dan memanggil nama Salim dan Boo.
‘ Kes nak mula... Hakim nak jatuh hukum... angguk kepala bila nama kau disebut...’ Aku beri arahan.
Kemudian Hakim bersuara. Aku menterjemahkan kepada Salim.
‘ Salim... mahkamah Baginda Queen mendapati kamu bersalah..... mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 4 tahun...’
Salim tunduk sedih.
‘ Apa jadi.... apa jadi,...’ Boo tertanya tanya kepada aku.
‘ Salim kena 4 tahun penjara...’
‘ Wa ... wa apa jadi...’
‘ Tunggu.... Hakim nak buat keputusan...’
‘ Boo Ah Ha is discharge .. deported back to Malaysia ...’
‘ Apa... wa apa.. wa apa...? Boo tak sabar nak tahu apa hukuman ke atas dirinya..
Aku yang merasa senang hati kerana Boo bebas. Lalu aku memutar belitkan keputusan Tuan Hakim.
‘ Boo... lu kena hukum gantung.. Tuan Hakim kata hukum gantung.....’
‘ Apa... pasai apa..’ Boo tak puas hati atau dia tak faham apa yang aku tuturkan. Boo menjadi gelabah.
Ketika ini aku terbarai ketawa walau pun tidak seperti kebiasaan aku terbarai ketawa. Kali ini ketawa aku agak terkawal. Walau pun demikian ketawa dan perbualan kami bertiga ini menjemput mata Hakim memandang ke arah kami. Aku menundukkan kepala seolah-olah minta maaf. Aku tersenyum dan cuba menutup mulut.
‘ Good news for you Boo...’ Komen Alagappa.
‘ Boo... berita baik... kamu bebas... tapi kena hantar pulang ke Malaysia.
‘ Bila pulang....’ Boo tak sabar nak pulang.
‘ Tunggu apa arahan dari Pejabat Kastam...’
Salim diambil oleh Bobby. Sebelum Salim pergi dia bersalaman dengan Boo dan peguam bela Alagappa.
‘ Bang kita jumpa di KL...’ Salim menjabat tangan aku sebelum Salim diambil oleh dua Bobby.
Mahkamah bersurai. Aku , Boo dan Alagappa masih di berdiri menunggu arahan.
Muncul Mister Chadwick dan Robert. Mereka berdua senyum. Mereka menang kes.
‘ Ok Isham ... nice knowing and working with you... Boo you are free man... Mister Boo do come again to London... next time you can get your white woman...’ Kata-kata akhir dan melawak dari Chadwick.
‘ I know Isham... at the early stage... you do not think Salim is quilty....’ Sampuk Robert yang selama ini memerhatikan kerja aku dan Chadwick.
‘ Myabe .. you are right....’ Memang betul anggapan Robert terhadap aku. Awalnya kurang yakin bagaimana Salim boleh melepasi Suang dengan 800 dadah heroin. Hati aku masih bersimpati pada kelas tertindas dan warga miskin.
Kami semua bersalaman tanda perpisahan.
Muncul Pegawai Tertinggi Kastam yang menjadi Penyelia perbicaraan kes dadah dari ini. Dia minta masa
untuk menyelesaikan beberapa borang yang wajib di isi untuk Boo di hantar pulang.
‘ Isham... ..will see you soon... will fix an appointement with Salim.. I think they will take him today to Wandsworth... Mister Boo... all the best to you...you’re now free man.... come and visit London again..’
Kata-kata Alagappa terakhir dengan senyum sambil menjabat tangan Boo dan terus beredar.
Waktu berjalan. Mister Smith Pegawai Kastam sampai. Dia menjinjing jaket resminya. Aku nampak ada dua paku pada jaket. Wow ! Ini pegawai tinggi.
‘ Well...Mister Rais...’ Pegawai Kastam ini salah panggil nama aku. Tapi kali ini aku biarkan saja tanpa pembetulan.
‘ It would be late to Heathrow.... there is no need to go with the polis car... I could gave you a lift...’ Pegawai Kastam ini mengarahkan van polis beredar dan aku bersama Boo menaiki kereta persendiriannya menuju ke lapangan terbang Heathrow.
Dalam kereta kami berbual tentang itu dan ini. Juga bertanya kepada Boo bagaimana dia dilayan. Dengan suara sopan dia bertanya bagaimana kehidupan sebagai pemandu teksi di Kuala Lumpur.
‘ Please tell Mister Boo... he will be banned for 5 years... not alow to enter United Kingdom... today he is deported...’
‘ Bo .. kamu sekarang tak boleh datang London... lima tahun tak leh datang.... lepas 5 tahun boleh....’ Aku memberi penjelasan. Boo hanya memandang kami.
Apa yang menarik aku ketika dalam kereta ini ialah kesopanan Pegawai Kastam ini. Dia pegawai besar tapi sudi membawa kami walau pun Boo Ah Ha ini hendak ditendang keluar. Boo dan aku seharusnya naik van polis ke lapangan terbang tapi Mister Smith bersedia membawa kami dalam keretanya. Perkara seperti ini meyakinkan aku bahawa tamadun Barat yang ini wajib dipuji.
Di Heathrow aku mengekor Mister Smith. Kemudian Mister Smith melepaskan Boo kepada pegawai pihak lapangan terbang.
‘ Boo... nanti kita jumpa di Kuala Lumpur...’ Inilah kata dan janji akhir aku kepada Boo Ah Ha pemandu teksi dari Cheras. Kami semua berpisah.
Satu minggu kemudian aku dapat panggilan telefon dari Alagappa. Aku wajib hadir di HMS Wandsworth - Her Majesty’s Prison – ini penjara besar di bahagian selatan kota London.
Aku merasa amat bertuah kerana aku telah membaca banyak berita tentang penjara Wansdworth ini. Ronald Biggs (1929-2013) – perompak – The Great Train Robbery – yang filemnya aku tuntun di Panggung Ruby pada tahun 1964 – telah melarikan dari penjara ini.
Pintu besar HMS Wandswoth dilihat seperti tembok besar. Penjara ini g didirikan pad tahun 1851. Di depan tembok ini Mister Alagappa tercegat menunggu aku.
Kami terus ke pejabat penjara. Peguam meminta menemui anak guamnya. Tidak banyak soal jawab. Aku mengekor sama walau pun bukan peguam tapi sebagai penterjemah.
Aku perhatikan sistem penjara ini agak ketat. Kulit lengan tangan akan aku dicap dengan dakwat halimunan . Kemudian kami melintasi ruang cahaya ‘ ultra voilet’ di mana aku wajib menunjukan cap di lengan.
Melihat lampu ultra voilet ini aku tersenyum kerana aku teringat kembali kepada peristiwa aku ditangkap di lapangan terbang Moscow. Pasport aku kantoi bila dibaca oleh cahaya ultra voilet.
Kami masuk ke dalam bilik kecil – lebih kecil dari bilik soal siasat di Heathrow. Meja dan empat kerusi. Ini bilik lawatan untuk peguam dan orang tahanan.
Salim sampai dibawa oleh Warden Mat Salleh.Aku bangun dan bersalaman. Salim aku lihat ceria. Dia memakai baju dan seluar penjara.
‘ How are you Salim...’ Peguam memulakan perbualan.
‘ Boo dah balik Bang....’ Salim bertanya.
‘ Dah beres.. kau ok? Aku bertanya.
‘ Explain to him the situation...” Alagappa mahu aku menerangkan beberapa perkara yang telah diberitahu awal tadi di pintu penjara.
‘ Macam ni Salim... peguam kata.. kamu minggu depan akan dipindahkan ke penjara di Isle of Wight... penjara ini di sebuah pulau di sebelah selatan negeri ini... Semua tahanan lebih dari satu tahun akan di hantar ke sana...’
‘ Pindah ke Bang...?
“ Pindah dari sini... penjara ini dalam pekan.. macam Pudu....udara kotor.. tempat baru tepi laut... udara bersih nyaman......’ Aku cuba melunakkan keadaan.
‘ Bang... minta tolong satu pekara Bang... betul ke nanti lepas abis 4 tahun saya dihantar pulang... saya akan ditahan di Kuala Lumpur... betul ke Bang..’ Salim bertanya.
‘ Mana kau dengar? Aku yang tidak memiliki jawapan bertanya kembali.
‘ He is worried to be rearrested againa in Malaysia after completed his sentence ..’ Aku menerangkan kepada Peguam.
‘ Malaysian is using the same British legal system... the same crime could not be charge twice.....’ Peguam memberi penjelasan.
‘ Lawyer kat tak mungkin....’
‘ If he needs anything let us know... he has my card..’
‘ Kau ada numbo talipn dia kan..... kalau nak apa apa hubung...’
‘ Ok Salim... contact me if you need anything... “ Alagappa bangun untuk beredar.
Salim dan aku bangun. Aku peluk Salim untuk kali akhir.
‘ Salim ini tiga perkara aku nak beritahu pada kau... nanti kita tak akan jumpa lagi... kau jauh di pulau... ... pertama ...dalam jil ini jaga diri banyak orang jahat... kedua kau belajar bahasa Inggeris.... 4 tahun kemudian kau wajib pandai cakap orang putih... ok...’
‘ Boleh Bang ok Bang...’
“ Ketiga ... kau jumpa doktor dalam jil... minta ubat dan cari ubat untuk kaki kau... di negara ini semua ubat free... ok ? ‘
‘ Boleh ke Bang...’
‘ Boleh..’ Kami berjabat tangan kali terakhir untuk beredar. Bila aku menoleh ke belakang yang aku hanya nampak belakang Salim yang diiringi oleh Pak Warden. Kemudian Salim menoleh mengangkat tangan dan bersuara.
‘ Bang... nanti kita jumpa di Kuala Lumpur... cari saya di Gombak...’ Inilah ayat akhir kepada aku dari Salim.
EPOLIK 1
Empat tahun sesudah Salim di hantar ke Isle of Wight aku masih lagi di London. Dalam hitungan aku Salim pasti telah dibebaskan. Aku menghubungi adik aku Nordin Rais meminta dia merisek-risek sama ada pernah terdengar cerita Budak Gombak kena tangkap di London bawa heroin.
Jawabnya gagal.
EPILOK 2
Akhirnya aku pulang ke Malaysia. Aku ditahan di bawah ISA selama dua minggu. Bebas dari ISA aku menumpang sementara di rumah kawan lama aku Kamarazaman Yacob di Desa Minang Gombak. Bila aku tahu aku berada di kawasan Gombak mata aku memerhati liar mana tahu jika aku ternampak Salim
Jawabnya gagal.
Satu hari aku secara tak sengaja terlihat bangunan tinggi di belakang Federal Hotel – ini Sun Complex. Bila aku usai baru aku sedar bahawa ini tempat ayam yang disurahkan oleh Boo dan Salim pada aku. Di hadapan Sun Complex mata aku mencari teksi Boo Ah Ha.
Jawabnya gagal.
EPILOK 3
Para pembaca yang membaca surah ini jika ada mendengar atau pernah terdengar desas desus tentang Salim Budak Gombak kena tangkap di London kerana bawa heroin – sila berhubung.
Ini kerana aku masih ingin menunaikan janji untuk berjumpa Salim di Kuala Lumpur. (TT)
TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/05/26/salim-dan-boo-ke-mahkamah/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan