Rabu, 8 September 2021

DARI CONCORONG KE POP YEAH YEAH



DARI CONCORONG

KE POP YEAH YEAH


Seingat  aku   ketika  keluarga kami  tinggal  di rumah guru di Sekolah Tapak – kami  sentiasa ada concorong. Ini nama asal radio. Ini aku rasa dalam tahun 1955.  Kemudian concorong dipanggil radio. 

Ketika itu kami ada radio   berjenama Grundig buatan German. Radio ini menggunakan  bateri air – sama seperti bateri kereta sekarang. Juga memerlukan  wire antena yang dipasang ke bumbung atap untuk mendapat pancangan gelombang yang jelas.

Mengikut surah  Emak di  zaman Jepun  tak ada siapa boleh mendengar radio.  Jika diketahui oleh Kempeitai   Jepun  ‘ kepaara potong’.  Jepun melarang orang ramai  mengetahui maklumat. Jepun takut orang ramai tahu tentang kejayaan Tentera Berikat membedil Jepun.

Sesudah  Jepun kalah perang , Tanah Melayu  kembali menjadi tanah jajahan Inggeris. Di zaman Inggeris ini juga  tidak ramai  rumah yang memiliki radio. Mungkin harga sebuah radio agak mahal. Juga budaya moden belum lagi sampai ke pendalaman seperti Kampung Tengah. 

Di Kampung Tengah   yang ada radio hanya Tok Sudin bekas sarjan polis. Tok Sudin ini menjadi punca sumber maklumat. 

Radio di rumah kami  di Tapak diuruskan oleh Kak Lang aku.  Dia yang tahu stesen, waktu dan rancangan apa. Kak Lang aku  tahu sama ada  bateri ada lagi atau dah kering. Jika bateri  habis ertinya satu minggu kami tak mendengar radio. Emak wajib berbasikal  5 batu ke Padang  Lebar untuk menambah air bateri dari  Panjang – towkay Cina pemilik kedai.

Melalui Grundig ini  aku mula berkenalan  dengan R. Azmi, Momok Latiff dan Rokiah.  Nama seperti P.Ramlee dan Kasma Booty  dan  Normadiah telah mula juga aku dengar.

Pada tahun 1955  keluarga aku  pindah ke Kuala Klawang Jelebu. Radio Grundig mengikut sama.  Kemudian kami membeli radio Grundig baru. Kali ini memakai  Grundig memakai bateri kering.

Nama penyanyi yang aku kenali  juga makin bertambah. Aku mula  kenal dengan Oslan Husin, M Bakri , S. Effendi  - mereka penyanyi  dari Indonesia.  Juga penyanyi perempuan Titiek Puspa. 

Penyanyi lagu Orang Putih aku tak tahu. Tapi aku teringat Kak Lang aku melekatkan  gambar Ricky Nelson pada dinding rumah. Siapa Mamat Ricky  ini aku tak tahu.

Aku ada terbaca  dalam Utusan Melayu tentang Nat King Cole penyanyi  kulit hitam dari Amerika. Rencana tentang penyanyi ‘orang hitam ‘  di Utusan Melayu ini membuka fikrah aku.  

Apabila kami berpindah ke Kampung Batu Serambai  Ulu Klawang pertama kali aku berkenalan dengan  alat muzik dan pancaragam. Di Kampung Batu Serambai ada   Pancaragam Lambaian Desa. 

Aku melihat biola, gitar, marakesh, bonggo, tamborin dan orkidion. Lambaian Desa ini   di pimpin oleh Cik Gu Jaaman Abu. Cik Gu yang  memperkenalkan aku  dengan  sajak Aku dan Khairil Anwar. Cik Gu Jaaman ini mengesek biola dengan ranum.

Sebulan sekali di waktu malam dalam kedai kosong depan sekolah lampu gas akan dipasang. Ini tanda Lambaian Desa akan menjalankan latihan. Kami budak-budak kampung akan  menebeng mendengar Abang dan Pak Cik bermain muzik.  Pagi  memotong getah , petang ke sawah dan  sebelah malam Abang dan Pak Cik main muzik.

Biasanya  Pancaragam Lambaian Desa dapat jemputan bermain  ketika ada perkahwinan di sekitar Ulu Klawang.

Pada tahun 1964 - ketika aku dalam tingkatan 1 dalam Sekolah Menengah Undang Jelebu -  aku terbaca dalam akhbar Berita Harian tentang empat anak muda pemuzik di kejar oleh  peminat. Aku ternampak  gambar empat  anak   muda yang berambut panjang sedang disisir rambut  oleh  Mak Adam  yang muda bergetah. 

Tahun 1964 ini juga aku mendengar  dari radio lagu Oh Suzanna oleh M. Osman.  Mata dan telinga aku mula terbuka. Aku merasakan ada sesuatu yang sedang  berlaku. Aku tidak tahu apa tapi inilah perasaan aku.
Dalam tahun ini juga filem A Hard Day’s Nite keluar. Heboh. Semua heboh tentang The Beatles. Empat orang anak muda berambut panjang  dari Liverpool bermain tiga gitar dan satu dram sedang mengubah bunyi muzik.  Filem ini tentang mereka.

Di sekolah  aku terdengar  suara  seorang pelajar  menyanyi : Deko abaeto kushki nahi akabar -  ini lirik I want To Hold Your Hard lagu The Beatles  versi Hindustani. 

Tertiba  aku ternampak kain rentang The Beatles of Malaysia akan bermain di Ruby Theatre Kuala Klawang.  Hebat. Beatles ini memang hebat.

Aku dengar ada empat orang   anak Orang Putih  yang berambut panjang dari Singapura  menjadi  The Beatles. Mereka main gitar,  pukul dram dan menyanyi. Tapi aku tak ada modal nak menuntun.

Selepas The Beatles muncul pula Elvis of Malaysia di Ruby Theatre.  Rocky Teoh anak muda dari Ipoh membawa  rock n roll ke Kuala Klawang. Aku yang tak ada modal  hanya melihat pintu panggung.

Tahun 1966 dunia anak muda Melayu gempar.  A Ramlie dan The Rythm Boys meledak dengan lagu Oh Fatimah dan Kenangan Mengusik Jiwa.  Salamah Basiron – Minah pembuat lagu ini menjadi buah mulut anak muda.   Macam mana rupa si Salamah ini aku tidak pernah melihat. Tetapi namanya di bibir anak muda.

Dari segi sejarah anak muda Melayu Singapura dan Johor memulakan gelombang Pop Yeah Yeah.  Jeffrey Din dengan  The Siglap Five, The Clan,  Kassim Selamat dengan The  Swallows. A. Rahman Hasan dengan Orkes Nirvana. A. Halim dengan De Fiction.  A. Rahman Onn, S. Mariam dan  penyanyi buta S. Jibeng   muncul menggelorakan budaya anak muda.

Pop Yeah Yeah dan rock n roll sedang menggoncang Tanah Melayu.

Tahun 1967 aku diterima menjadi warga asrama Sekolah Menengah Undang Jelebu.  Aku telah membawa sebuah radio transistor plastik dengan dua bateri kering  ke asrama.  Sabtu malam Ahad  warga asrama akan duduk  di tangga hostel  untuk mengikuti  gelombang Radio Singapura, Rancangan paling hot dan paling cool PPMI -  Penyanyi Pujaan Minggu Ini.

MIA – bukan missing in action – tapi   Muhamad Ismail Abdullah  pengacara rancangan 1 jam ini menjadi nama sebutan seluruh anak muda yang merayakan kemudaan mereka.  Anak muda yang memiliki hormat diri pasti tahu  dan mengikuti perkembangan muzik pop.
Aku masih ingat lagi dalam masa yang sama saluran Inggeris    juga ada rancangan Top of The Pop. Tan Swee Liong menjadi juruhebahnya. Program ini muncul pada pagi Sabtu. 

Sesekali aku ikuti juga Tan Swee Liong  tapi tidak seperti  mengikuti Muhamed Ismail Abdulalh dari Radio Singapura bahagian Melayu. 

Muhamed Ismail Abdullah ialah sosok yang memperkenalkan perkataan KUGIRAN – kumpulan gitar rancak -  melalui rancangan popular PPMI - Penyanyi Pujaan Minggu Ini.

Ketika itu pada hemat aku hanya anak muda bergenre    Mat Lebai dan Mat Bendul  yang tidak tahu siapa itu Jeffey Din,  S. Jibeng, Kassim Selamat atau John Lennon. Mat Bendul juga  pasti tidak pernah terbaca berita  tentang S. Mariam yang mini skirt nya mengancamkan kejantanan.

Pada satu  hari aku sampai ke Seremban. Bandar ini  amat besar untuk aku – anak kampung dari Jelebu. Aku ke Seremban naik Bas Lim warna hijau. Tambangnya 80sen.  Satu jam perjalanan dari Kuala Klawang ke Seremban. 

Khidmat bas Kuala Klawang – Seremban ini satu jam sekali. Bermula dari jam 7 pagi dan  bas terakhir dari Kuala Klawang jam 6.30 petang.

Aku membuka mata melihat betapa banyak bas di stesen bas Seremban. Bas  Utam Singh  ke Port Dickson. Bas  Union ke Kuala Pilah. Ada bas Foh Up ke Kuala Lumpur. Bas Ganasan.  Bas  Eng Giap dan Southern ke Tampin Melaka dan bas Lim ke Kuala Klawang.

Semua ini menyedarkan aku bahawa Seremban ini pusat dan bandar besar.

 Di belakang stesen bas ada kedai  menjual itu dan ini. Kedai ini juga ada menjual  surat khabar dan majalah.

Di Kuala Klawang ada kedai serupa ini – S. Dawood – tapi kedai di Seremban ini lebih banyak bahan pilihan untuk dibaca. Maka  di kedai ini aku bertemu  kali pertama dengan Majalah Fab 208. 


Fab 208 adalah majalah muzik  pop dan berita dan gosip   tentang  kugiran United Kingdom. Aku membeli senaskah – 1.80 sen – agak mahal untuk aku. Tetapi aku bertekad untuk   merayakan  kemudaan dan rock n roll maka aku sanggup mengeluarkan duit sebanyak itu.

Dari FB208 aku membaca berita  Mick Jagger dan Marianne Faithfull. Aku membaca dan mengenal kugiran The Tremeloes. Juga kugiran Herman’s  Hermits. Baru aku sedar selain dari The Beatles dan Rolling Stones ada puluhan ratus lagi kugiran yang wujud di United Kingdom.

Aku tidak menjadi pembaca Fab208 yang setia. Pertama di Kuala Klawang majalah mingguan ini tidak ada dijual.
Sesekali bila ada sesiapa nak ke Seremban aku akan meminta dibelikan Fab208.  Dari majalah FAB208  minda aku  mula menjangkau jauh  keluar memecah  bonsai minda Melayu.

Di Kuala Klawang di sebelah hadapan panggung Ruby  Theater adalah tanah lapang. Disini setiap tahun akan ada pertunjukan Fun Fair. Kadang kadang setahun dua kali. 

Fun Fair ini bukan satu yang istimewa. Mainan tikam menikam. Muzik dan  joget moden. Main judi yang dibolehkan. Tapi akan meledak menjadi super hebat apabila ada penyanyi pop akan datang khusus di bawa ke fun fair untuk membuat  persembahan.

Tiket masuk berharga 40 sen satu kepala. Tetapi apabila ada penyanyi pop atau bintang filem  datang maka harga akan dinaikkan ke 1.50 RM.

Aku ingat lagi tahun 1967-68 fun fair kerap datang ke Kuala Klawang.  Towkay fun fair ini akan membawa datang penyanyi Pop Yeah Yeah  dan bintang filem dari Singapura.

Aku ingat lagi ditahun-tahun ini aku dapat melihat A.Ramlee, Jefrey Din, M. Ishak , S. Mariam, A.Rahman Hasan. Mereka datang membuat persembahan  di fun fair Kuala Klawang.  

Malah satu malam aku sendiri telah pergi ke belakang pentas untuk bertegur sapa dan meminta  Eddie Ahmad  yang dikenali dengan lagu Aduh Seroja menanda tangani buku autograf aku.


Penyanyi buat S. Jibeng tidak pernah sampai ke Jelebu. Tapi ada kawan  seasrama yang pergi ke Seremban untuk melihat konsert S. Jibeng. Kawan aku telah  membawa buku autograf  untuk di tanda tangani. Tetapi  S. Jibeng tidak menanda tangan . S. Jibeng meletakkan cap mohor S. JIbeng dengan ucapan selamat berkenalan.

Sesekali  bintang filem dari Singapura  ada  juga datang. Di Fun fair ini aku sempat melihat  Normadiah, Rahmah Rahmat dan Hashimah Yon.  

Tahun 1967/68 ketika aku  di hostel  aku kerap membeli FAB208. Melalui majalah ini aku  mula mengikuti  perkembangan muzik  luar negara terutama muzik  pop Inggeris terkini . Transistor kecil aku memainkan peranan amat penting. Dari transistor inilah aku mendengar  pelbagai lagu  Inggeris dan Melayu yang popular ketika itu.

Aku mula mengenal  Procul Harum dengan  lagu  A Whiter  Shades of Pales. Aku amat tertarik dengan kugiran Herman’s Hermit.  Aku menjadi hafiz kepada  lagu Bus Stop Herman’ Hermit. 

Aku mula melihat ada  gelombang anak muda. Tapi penglihatan dan pemahaman aku tidak teratur  dan jelas. Aku belum memahami  gelombang ‘ counter culture’ – dari anak muda berambut panjang.

Sebenarnya ketika  ini anak muda Eropah telah memulakan  gerakan counter culture – menolak gaya hidup ibu bapa mereka. Anak muda di Barat merasa bosan dengan cara hidup  lama mereka. Maka muncul dengan gerakan Hippies.   

Hippies ini digambarkan dengan elegan sekali melalui lagu San Francisco  oleh Scott McKenzie yang keluar dalam tahun 1967.

Tahun 1968 ketika aku dalam tingkatan lima  untuk merakamkan sejarah kemudaan aku : bersama tiga rakan seasrama telah bergambar dan berlagak. Kami berempat telah memanggil diri kami D’ Duanders – tidak ada apa apa makna. Kami berlagak  seolah-olah kami satu kumpulan gitar rancak bernama D’ Duanders.


Ketika ini  kugiran  tumbuh macam cendawan selepas hujan. Bila ada  empat remaja  mereka akan menjadi  satu kugiran. Di Jelebu – di setiap kampung ada kugiran. Di pekan  Kuala Klawang muncul kugiran The Byrds  yang aku sendiri menjadi pengikut setianya.

Tahun 1968 aku wajib mengambil peperiksaan akhir   Senior Cambrigde dan Malaysia Certifivcate  of Educataion ( SC/MCE). Bayangkan bagaimana susah dan payahnya  untuk  seorang anak muda  yang sedang  meremaja  untuk mengatur waktu belajar  yang bertembung dengan pelbagai tarikan Pop Yeah Yeah. 

Aku sedar aku wajib bersedia untuk diperiksa. Maka aku dengan alim telah menelaah buku siang dan malam.


Pada 5 April 1968 aku terbaca berita  pembunuhan Dr Martin Luther King di Memphis Amerika. Amerika meledak. Warga kulit hitam turun ke jalan raya memberontak atas kematian pemimpin mereka.

 Pada  3 Mei 1968 kota Paris pula meledak. Kali ini anak -anak muda  berambut panjang keluar ke jalan raya.


Aku  membaca berita-berita ini di akhbar.  Tapi aku tidak mengetahui  isi berita ini secara  mendalam. Aku tahu  anak muda turun ke jalan raya di Paris  tapi aku tidak tahu sebab musabab.

Ketika ini aku sedang alim membuat persediaan untuk mengambil peperiksaan SC/MCE.  (TT)
 

TULISAN INI JUGA
DITERBITKAN DALAM 
PORTAL MALAYSIANOW.COM
https://www.malaysianow.com/wacana/2021/09/08/dari-cencorong-ke-pop-yeah-yeah/



1 ulasan:

Unknown berkata...

Dari tahun 1969 till 1975 muncul kumpulan gitar rancak 'D'SERAMBAI STONE" di batu serambai.