Ahad, 7 November 2021

MANUSIA OH MANUSIA






 DARI ARKIB TT - 29/4/2020
SILA BACA SEKALI LAGI

MERAKAM SEJARAH

MANUSIA OOH

 MANUSIA

Ketika saya menulis ini – 28/4/2020 – sebanyak  210 buah negara dan wilayah sedang diserang oleh Covid-19. Berbilion umat manusia sedang  berkurung - berkhalwat. Perentah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang berjalan. Umat manusia sedang akur mengamalkan jarak social untuk menjauhkan diri dari virus Korona.  Statistik menunjukkan seramai  3,064,225 telah dihinggapi oleh Korona. Seramai 211,573  telah tewas.  Seramai 922,387 telah diselamatkan. Amin.

Minggu lalu saya telah menulis tentang tangisan Ibu Pertiwi – Bumi Manusia atau Mother Earth.  Ibu Pertiwi telah memberi amaran.  Ibu Pertiwi memberi ingatan. Apa yang sedang berlaku hari ini belum pernah berlaku. Awas dan waspada ini bukan bermakna sesudah Covid-19 ini dilunturkan dan ditewaskan maka kita semua selamat untuk kembali berjoget dan berdansa.

Tidak. Jangan berangan-angan. Umat manusia jangan berkhayal.  Sedarlah  Covid -19 ini hanya permulaan. Virus, hama dan busung busung baru akan muncul. Serangan yang akan datang ini lebih hebat, lebih mudarat, lebih ganas dan  lebih pantas untuk membunuh umat manusia. 

Betul ke? Atau ini hanya propaganda untuk menakut-nakutkan umat manusia? Apakah ada gajah dibelakang Kancil. Ada projek untuk jual ubat. Atau ini hanya cubaan mengolah persetujuan agar semua akan tunduk mengikut arahan.
Ini bukan propaganda. 

Tetapi persoalan apakah umat manusia    ada jalan selamat dari busung , hama dan virus. Manusia memiliki fikrah hingga boleh naik ke bulan. Mustahil  fikrah  manusia tidak berupaya mencipta  ubat-ubatan untuk menewaskan  virus, hama dan busung. 

Sikap manusia moden hari ini ialah sentiasa berbangga dengan fikrahnya. Manusia moden angkuh dengan ilmu pengetahuan. Manusia moden percaya kemodenan mereka akan memunculkan  jalan selamat.  

Pada 7 March 2009   National Aeronautics and Space Administration (NASA)   telah menghantar telescope  bernama Kepler ke angkasa raya. Tujuan untuk mencari planet yang menyerupai bumi.  Apakah ini  persediaan untuk menyelamatkan diri dari   Bumi Manusia ini bila busung baru sampai?

Sebenarnya kita tidak perlu ke angkasa raya untuk selamat.  Di bumi ini sedia wujud  jalan selamat untuk umat manusia.  Jalan selamat untuk kesejahteraan umat manusia  sentiasa terbuka. 

Jalan selamat ini bermula dengan kesediaan  umat manusia  menerima hakikat bahawa  kepala taik segala virus dalam alam samesta ini adalah manusia sendiri.  Manusia wajib menerima hakikat bahawa manusia adalah virus. Manusia ialah hama. Manusia ialah busung. Manusia  moden adalah busung yang amat  merbahaya kepada umat manusia dan kepada Bumi Manusia.  Amin.

Kenyataan demi kenyataan – saranan demi saranan – ingatan demi ingatan telah diumumkan kepada umat manusia. Kajian demi kajian.  Dari gedung ilmu ini ke Gedung ilmu itu. Dari kajian para ilmu benua ini kepada para ilmuan benua itu.  Hampir setiap tahun ada sahaja para ilmuan, para pakar dan para saintis  memberi ingatan.  Setiap tahun data diumumkan kepada umat manusia. Tetapi umat manusia tidak ambil  pot. Umat manusia terus  kenduri kendara – berjoget  berdansa.

Umat manusia sombong dan angkuh dengan gaya hidup moden. Gaya hidup moden  yang rancak dan ranggi ini melalaikan umat manusia.  Manusia berdengong  khayal  ketagih dengan candu  yang dipanggil consumer.  Umat manusia  terus gian untuk menjadi pembeli, pengguna dan pemakai.  

Membeli dan memiliki ini menjadi teras tamadun moden. Tamadun consumer ini difaktwakan sebagai yang soheh, yang soleh dan yang afdal.  Tamadun ini  sahajalah yang boleh menjamin kesejahteran umat. Gaya hidup lain, yang bercawat dan bogel dianggap  tamadun kuno dari kitab ajaran sesat. 

Justeru ketika umat manusia moden  berkhayal dunia semakin panas. Karbon  semakin meninggi.  Oxygen semakin kotor.  Ayer semakin tercemar. Sungai  semakin kering. Laut samakin mengampoh. Angin semakin ganas. Taufan semakin gila. Hujan semakin lebat. Sawah semakin kering.  Hutan semakin kurang. Kereta semakin ramai. Plastik semakin menggunung.

Sebenar-benarnya umat manusia inilah  ibu segala virus. Umat Manusia ialah kepala busung segala busung. Manusia adalah hama segala hama. Umat manusia yang sedia ada hari ini saperi Korona sedang membaham Bumi Manusia. 

Serangan Covid-19  yang ketika ini sedang melanda 210 buah negara  berpunca dari  virus bernama manusia.

Yakinlah – pasca Korona jika  kedai akan dibuka semula.  Kilang akan  beroperasi.  Perniagaan   macam biasa. Maknanya - business as usual -  meniaga saperti dulu. Jika ini sikap manusia  pasca Korona maka umat manusia akan menuju  jahanam.  Saya cukup  yakin dengan kenyataan dalam tulisan saya ini. Masa akan membuktikan saya tepat. Rakaman sejarah saya ini sebagai bukti.

Ketika saya menulis ini – ketika pembaca  selesai membaca satu para tulisan saya sebanyak  24,000 tan air batu telah cair. Air  yang cair ini masuk ke laut. Setiap saat air laut bertambah  sebanyak 10 biji air kolam renang  sekala  olympik. Warga  Bagan Datuk, Tanjung dan Telok Intan sila berwaspada. 

Selesai sahaja pembaca  membaca satu para tulisan saya ini bermakna 150 ekar hutan dara telah musnah. Setiap   saat setiap hari 150 ekar hutan musnah.  Seluas 200,000 ekar hutan  hujan tropika dibakar setiap hari. Seluas 78 juta ekar hutan  dara dimusnah setiapa tahun. Lebih dari 20 peratus hutan hujan tropika Amazon telah musnah. Waspada Sabah dan Sarawak syarikat China Merah akan sampai dibawa oleh  Tiong.  Hutan dara Kelantan telah dijual oleh Tok Lebai untuk dana ke Mekah opps.. silap dana  perbelanjaan ke Moscow.

Warga Australia baru sahaja selesai melihat hutan kampong mereka terbakar.  Sayugia diberi tahu bahawa kebakaran hutan ini hanya  15 peratus berlaku secara natural – kerana petir dan kilat.  Kebakaran  95 peratus lagi adalah akibat  virus  yang bernama manusia.

Pada akhir bulan Januari 2020  - di Victoria dan New South Wales  cuaca meledak panas.   Kebakaran bermula secara natural – panahan petir. Tetapi akhbar  Sydney Morning Herald telah melaporkan seramai  183 virus manusia telah ditahan dan 24 virus ini telah didakwa kerana memulakan pembakaran.

Hutan di Australia  ini terbakar selama 3 bulan. Seluas 27.2 juta ekar hutan telah terbakar. Statistk menunjukan 20 peratus hutan  Australia telah musnah terbakar. Kebakaran tahun 2020 ini paling besar dan belum pernah berlaku.

Saya berani membuat kenyataan bahawa kebakaran  di Australia, di Carlifornia atau dimana sahaja adalah kerana manusia.   Manusia adalah punca kebakaran ini walau pun mancis api diguris oleh kilat dan petir.

Saya menuduh manusia sebagai pembakar kerana  manusia menjadi punca  dunia kita  hari ini semakin panas  berdebu.  Umat manusia tidak boleh menafikan tuduhan ini. Buktinya amat jelas. Apabila suhu  di Sydney naik keparas 48.9 darjah centigrade atau 120 darjah Fahrenheit  - ini kepanasan yang belum pernah dirakamkan. Virus manusia moden menghasilkan kepanasan dunia sademikian rupa. Amin.

Satu minggu saya membuang sampah sarap hampir 4 kilo. Sisa makanan dan plastic  menjadi sampah utama dari saya.  Saya tidak tahu apa terjadi kepada sampah yang saya masukkan ke dalam tong sampah   moden. Moden kerana tong sampah ini ada tiga bahagian – untuk plastik, kertas dan sisa makanan.  Tong sampah berniat moden  untuk  menjaga alam sekitar bumi manusia.

Pada hemat saya tujuan tong sampah moden ini hanya  untuk menyedapkan hati saya.  Untuk melalaikan saya agar terus menjadi virus.  Agar saya terus mengagungkan budaya consumer. Untuk membuktikan bahawa saya manusia moden yang sedar akan alam sekitar. Saya mahu memperlihatakan bahawa saya bukan virus tapi sosok yang bertanggug jawab. Pooorah. Semua ini sandiwara  konsumer  budaya moden.

Ketika saya menulis ini kajian telah memaparkan data bahawa setiap tahun 8 juta tan … saya ulangi… 8 juta tan plastik telah masuk ke dalam laut. Hari ini plastik adalah 80 peratus sampah dalam laut. Yang 20 peratus lagi adalah tayar, besi  dan pelbagai apparatus  peralatan manusia moden.

Akibat dari ini ialah kemalangan  yang maha sangat sedang berlaku kepada Sang Laut tempat umat manusia menumpang makan. Laut jadi kotor.  Ikan mati. Rumpai mati. Bila rumpai mati planton ikut mati. Bila planton mati ikan mati kebulur. Apabila nelayan memasang pukat yang masuk hanyalah Plastik Botol  bin Plastik Bakul. Nelayan hanya menunggu masa untuk mati. Nasib baik  ada bantuan ransangan ekonomi. Dapat  nelayan menyambung hidup untuk beberapa bulan.

Kebakaran hutan hujan tropika, pencairan glazier  , alam sekitar semakin  kotor , sampah sarap plastic menggunung, udara semakin tercemar – semua ini adalah wilayah subur untuk virus baru muncul.

Kita tidak tahu apa lagi virus yang tersimpan beku   berjuta juta tahun  dalam glazier. Kita tidak tahu busung apa yang tersimpan dalam perut bumi di hutan Kalimantan. Bila hutan di New South Wales terbakar kita tidak tahu campuran kimia apa yang akan memunculkan hama yang baru. 

Kita juga  tidak tahu berapa lama lagi PKP akan diteruskan.  Tapi saya tahu bahawa virus Korona dan Covid-19 adalah  hasil buah tangan manusia. Virus yang bernama manusia ini  dengan tamadun moden mereka  telah berjaya mengumpul ayam,  mengumpulkan lembu,  dan mengumpulkan kambing untuk dijadikan bahan makanan.

Dalam kawasan sempit,  dalam reban dan kandang yang berasak-asak ini – ayam, babi,  kambing, lembu  dipaksa memakan daging sesama sendiri.  Dari haiwan makan rumput kini menjadi hawan makan daging. Amin.

Tulang ayam dan bangkai ayam diproses untuk dijadikan makanan kepada  kambing , lembu dan babi.  Tulang dan bangkai babi dan kambing di proses untuk dijadikan makanan kepada  lembu.  Lembu makan kambing dan babi. Pelik tetapi benar. Ini bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais. 

Ini fakta  punca – mad cow disease  - berlaku di United Kingdom pada tahun  1986 yang mengakibat 177 kematian. Seramai 4.5 juta lembu telah dibakar hidup-hidup untuk memastikan penyakit ini tidak merebak.

Tidak cukup dengan ayam, lembu, kambing dan babi – manusia moden mahu  makan  kelawar dan tenggiling.  

Aduh ! Jika ini bukan bukti bahawa manusia moden ini adalah virus maka saya bukan  dari Orang Asli suku Biduanda.  Apa yang saya tulis ini hanya penglipur lara. Tetapi hakikatnya semua ini adalah  fakta. Bukan penglipur lara.

Jika ini bukan penglipur lara bagimana virus yang bernama manusia ini dapat kita musnahkan? Tunggu minggu hadapan. (TT)




TIADA ULASAN:

Tiada ulasan: