Hukuman penjara Najib tidak bersihkan Umno, kata Dr Mahathir
HUKUMAN penjara ke atas Najib Razak tidak membersihkan Umno kerana parti itu sudah rosak teruk, kata bekas presidennya Dr Mahathir Mohamad.
Umno sebaliknya perlu diganti dengan parti Melayu lain yang benar-benar memperjuangkan nasib orang Melayu, katanya.
“Pemenjaraan Najib tidak membersihkan Umno. Budaya Umno bukan budaya parti di waktu ia ditubuh. Ini bukan parti Umno lagi.
“Sebab itu Umno perlu dikalahkan dan diganti dengan parti Melayu yang memegang kuat kepada prinsip perjuangan orang Melayu untuk bangsa, negara dan agama,” katanya dalam satu tulisan terbaru yang terbit di blognya Serambi Che Det, hari ini.
Dr Mahathir yang kini mengetuai gerakan baharu politik Melayu atas nama Gerakan Tanah Air (GTA), yang hari ini memohon kepada pendaftar pertubuhan (RoS) untuk didaftarkan secara sah.
Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib terkait tujuh pertuduhan melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapati pembelaan Najib terhadap tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.
Najib kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk mula menjalani hukuman penjara 12 tahun selain dikenakan denda RM210 juta.
Najib masih ada empat perbicaraan lain melibatkan kesalahan rasuah, pecah amanah, pengubahan wang haram berhubung dana 1MDB, serta dakwaan meminda laporan akhir audit syarikat dana kedaulatan negara. – 6 September, 2022.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan