Jumaat, 18 November 2022

ANWAR IBRAHIM DAN PARTI KOMUNIS ITALI


ANWAR IBRAHIM 

DAN 

PARTI KOMUNIS ITALI


PRU15 selesai petang Sabtu 19 November 2022. Undi selesai dikira pada awal pagi  Ahad 20 November 2022. Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) wajib memenangi lebih dari 112 kerusi Parlimen.

Melintas angka 112 ini amat penting untuk Anwar menobatkan dirinya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke 10. Melintasi angka 112 ini menjamin kerajaan Pakatan Harapan kembali berkuasa.


Pada ketika tulisan ini digarap media dan portal berita melaporkan bagaimana  PH teratas dalam meraih sokongan pengundi. Di belakang PH  ialah Perikatan Nasional (PN). Barisan Nasional kelihatan jauh tertinggal. 

Dalam konteks menyeluruh  parti-parti baru dan kecil atau Barisan seperti Gerakan Tanah Air tidak akan jadi peneraju. Peranan Mahathir dan Bersatu dalam PRU14 tidak akan berulang.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berperanan penting. Dua barisan ini  sedia menunggu gabungan di Semenanjung untuk disokong. Ertinya sokongan dari GRS dan GPS adalah sokongan pelengkap dan bonus.

Justeru jika PH gagal  melintasi angka 112  besar  kemungkinan Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan  akan menerima nasib sama seperti Parti Komunis Itali (PCI).

Kenapa saya berkata sedemikian. Biar saya surahkan sejarahnya.

Di zaman Reformasi 98 saya banyak menulis tentang Anwar Ibrahim dan Mahathir. Ketika itu saya percaya bahawa  Anwar adalah mangsa konspirasi Mahathir Muhamad.

Di Zaman Reformasi  saya melihat Anwar Ibrahim sebagai sosok  yang  berupaya menggalang satu United Front yang ampuh. United  Front atau  Barisan Bersatu ini terdiri dari badan NGO, aktivis politik, seniman,  sasterawan, parti politik dan orang ramai.

Apa yang menyatukan dan menggalang barisan bersatu ini  ialah harapan. Anwar Ibrahim membawa harapan. Anwar menggalang united front of hope. 

Anwar  telah  ditendang oleh Mahathir. Penyingkiran Anwar dari kerusi kepimpinan parti berkuasa  ini telah  membocorkan harapan. rakyat. Pada ketika ini  rakyat Malaysia dahaga perubahan.

 Rakyat melihat Anwar akan membawa  satu perubahan. Inilah  harapan rakyat. Justeru gerakan jalan raya untuk menyokong Anwar Ibrahim mengampuh.

Saya menyamakan  apa yang  akan dihadapi oleh Anwar  Ibrahim dan Pakatan Harapan ini sama dengan pengalaman yang telah dilalui oleh Parti Komunis Itali.  

Jangan silap faham. Anwar bukan komunis dan jauh  sekali ahli Parti Komunis Itali.  Politik Pakatan Harapan  tidak ada sangkut paut dengan Parti Komunis Itali. 

Saya menggunakan Parti Komunis Itali kerana pada hemat saya ada persamaan dari apa yang telah dialami oleh Parti Komunis Itali dengan apa yang telah dan  juga akan dialami oleh Pakatan Harapan jika gagal melintasi angka 112. 

Parti Komunis Itali memiliki rekod yang cemerlang dalam melawan fasis Mussolini  ( 1883- 1945 ).  Selesai perang dunia Ke Dua PCI telah mendapat sokongan  rakyat. PCI banyak memenangi kerusi Parlimen Itali dan juga kerusi kerajaan tempatan. 

Ini sama seperti kejayaan Pakatan Harapan menawan Pulau Pinang dan Selangor selepas Reformasi dan ketika Anwar dalam penjara.

Tahun 70’an untuk terus mendapat sokongan rakyat PCI telah menjauhkan diri dari Soviet Rusia. Parti Komunis Itali mengambil garis Eurokomunis. PCI menjadi parti yang  menyesuaikan diri dengan gaya hidup Eropah yang demokratik.

Hasil garis Eurokomunis  telah mendatangkan lebih banyak kerusi parlimen kepada  PCI . Tapi PCI tidak pernah mendapat menubuhkan kerajaan. Ini kerana ada barisan parti-parti beraliran kanan yang menentang PCI dari mendapat kuasa.

Hakikatnya pilihan raya membuktikan  PCI adalah parti yang disokong rakyat untuk meneraju Itali. Tapi gagal menjadi kerajaan  kerana ada banyak parti kecil yang mendapat peratus undi yang lebih kecil telah mendirikan barisan bersatu  menghalang Parti Komunis Itali dari mendapat kuasa.

United Front menentang  Parti Komunis Itali  di wujudkan tanpa hitam putih.

Pada tahun 1974  Aldo Moro (1916-1978) dilantik sebagai  Perdana Menteri Itali. Sosok ini ialah Setia Usaha Agong  Parti Christian Democracy (CD) . Ketika ini Parti Komunis  Itali di pimpin oleh Enrico Berlinguer ( 1922-1984).

Dua sosok adalah pemimpin politik yang amat popular dalam sejarah dikalangan  rakyat Itali.

Pilihan raya tahun 1976 Parti Komunis Itali mendapat 34 % jumlah undi. Ini jumlah terbesar berbanding dengan semua parti politik yang lain.

Hasil pilihan raya 1976  dirasakan perlu  didirikan Kerajaan Perpaduan antara parti Christian Democracy  dengan Parti Komunis Itali. 

Babak sejarah ini dirakamkan sebagai  Historic Compromise -  Kompromi Bersejarah. Dua parti yang berbeza ideologi ingin  menggalang persatuan demi negara dan bangsa.

Suasana ini seakan akan  sama seperti wujudnya kerjasama antara Zahid Hamid Presiden United Malaya National  Organisation dengan Anwar Ibrahim pemimpin Pakatan. 

Historic Phone Call – Panggilan Telefon Bersejarah  antara Zahid dengan Anwar meyakinkan orang ramai  tentang wujudnya kerjasama dari dulu dan ke masa hadapan antara dua pemimpin ini.

Kerjasama CD dengan PCI ini mula  diganggu gugat oleh parti-parti puak kanan dan parti  kiri yang kecil yang  ada perwakilan dalam Parlimen Itali.

Kerja sama menentang  Kerajaan Perpaduan CD dan PCI ini berakhir dengan penculikan Aldo Moro oleh kumpulan ekstrem kiri – Red Brigades. Selama 55 hari Aldo Moro  hilang  sebelum mayat ditemui.

Kerjasama bersejarah  berasaskan Kompromi Bersejarah antara Christian Democracy dan Parti Komunis Itali gagal satelah Aldo Moro mati dibunuh.

Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan akan gagal  jika tidak dapat melintasi kemenangan yang lebih dari 112  kerusi.

Dari lojik politik  jika Pakatan gagal mendapatkan 112 kerusi maka Pakatan perlu mendirikan satu barisan baru untuk menambah kerusi dan menubuhkan  kerajaan.  Anwar Ibrahim dan Pakatan wajib mencari kawan dari  Perikatan Nasional atau dari Barisan Nasional. Atau dari parti kecil yang menang.

Ketika ini apa yang berlaku sesudah pilihan raya tahun 1976 kepada Parti Komunis Itali akan berlaku pada Anwar Ibrahim sesudah PRU 15  tahun 2022.

Akan di galang  satu Barisan Bersatu  dengan hanya satu agenda : Menafikan Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri. 

Akan diwujudkan barisan bersatu untuk menghalang Pakatan Harapan dari mendirikan kerajaan   baru.

Parti Komunis Itali memiliki banyak musuh politik dari garis ideologi kanan.  Anwar Ibrahim memiliki lebih ramai musuh dari garis politik kiri dan kanan. Malah Anwar menghadapi musuh dari dalam dan dari luar parti.

Parti berideologi  kanan seperti Parti Islam dan kaum kerabat penganut garis Islam konservatif  kanan melalui sosok seperti Haji Hadi walau pun pernah bersama dalam ABIM – Angkatan Belia Islam Malaysia - akan menentang Anwar.  

Parti  Islam pimpinan Hadi Awang akan menolak Anwar Ibrahim kerana Anwar dianggap sebagai pengamal homoseksual dan bersimpati dengan LGBT.

Parti Islam konservatif garis kanan ini juga akan menggunakan ‘ Cina dan Kapir ’ untuk memperkuat penolakan terhadap Anwar dan Pakatan Harapan. 

China dan Kapir ialah DAP yang menjadi rakan politik Anwar dalam Pakatan. PAS tidak akan mahu bekerjasama dengan DAP  yang ditakrif sebagai Parti  Kapir.

Bersatu pula akan menolak Anwar Ibrahim kerana Presiden Bersatu Muhyidin juga memasang niat untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi. 

Dalam Bersatu masih ramai bekas ahli PKR yang telah hilang cinta dengan Anwar. Mereka ini seperti Azmin, Dr Mansor, Saifuddin Abdullah akan menentang Anwar.

Malah Muhyidin telah membuat kenyataan  menolak Anwar untuk menjadi Perdana Menteri  kerana Anwar bekerjasama dengan  DAP yang ditakrif oleh Muhyidin sebagai Parti China.

Apabila dua pemimpin komponen PN menolak Anwar maka Anwar akan cuba melamar   United Malays National Organisation di bawah pimpinan Zahid.

Anwar sendiri  boleh berunding dan  membuat Historic Compromise  - Kompromi Bersejarah  dengan Zahid seperti yang di lakukan oleh Aldo Moro dengan Enrico Berlingeur.  

Anwar boleh  menjanjikan kes Najib, kes Zahid dan kes  kluster  mahkamah akan dinilai kembali. Anwar Ibrahim adalah pakar membuat janji.
Tapi hakikatnya kerjasama Pakatan dengan Barisan bukan semudah janji dilafaz. Zahid sendiri juga akan berhadapan dengan Ismail  Sabri, Khairy dan Tok Mat. 

Sosok-sosok ini tidak ada rasa kasih sayang terhadap Anwar. Mereka benci bukan sahaja dengan Anwar  malah akan memusuhi sesiapa saja yang cuba menobatkan  Anwar sebagai Perdana Menteri.

Sosok- sosok ini juga memasang niat untuk menjadi Perdana Menteri. Ismail Sabri  masih berhajat untuk  duduk kembali di kerusi PM. Mustahil akan mengalah kepada Anwar.

Sama seperti Parti Komunis Itali Si Anwar ini berselirat dengan musuh.  Ada musuh dari zaman ABIM seperti  Kamaruddin Mat Nor, Kamaruddin Jaafar, Nik Aziz  atau Ismail Mena . Mereka kenal baik perangai Anwar Ibrahim.

Jangan lupa bekas pegawai setia  Anwar seperti Ezam dan Azmin kini menjadi  musuh ketat Anwar.

Jangan lupa dengan  Zul Nordin yang telah memakai kut untuk angkat sumpah bila kali pertama Anwar klim akan jadi PM pad  16 September 2008. Zul Nordin merasa dirinya tertipu.

Termasuk dalam kes kecewa di tipu oleh  Anwar  ialah  sosok seperti Syed Hamid Ali, Sivarasa, Maria Chin,  Surendran dan Tian Chua. Sosok-sosok ini melihat bagaimana kerusi Parlimen mereka  telah di sailang  oleh Anwar.

Manakala Sivarasa  dan Surendran adalah dua peguam Anwar. Dua peguam inilah yang bekerja siang dan malam  pagi dan petang   mempertahankan Anwar dalam kes  Anwar meliwat Saiful. Susu dibalas tuba. 

Perangai Anwar membuat janji dan meninggalkan kawan  ini telah menjadi  rahsia umum. 

Semua musuh dan sosok-sosok yang mengenali perangi dan tingkah laku Anwar ini pasti akan senyum puas  apabila melihat satu gagasan pasca PRU15 yang khusus didirikan untuk  menentang Anwar. 

Sama seperti yang dilalui oleh Parti Komunis Itali gagasan ini tidak di hitam putihkan.

Di zaman Reformasi dulu saya  menulis United Front of Hope. Kali ini  saya perhatikan akan wujud  satu barisan bersatu United Front of Hate  - barisan benci yang   akan menentang   Anwar  menjadi PM.

Hubaya hubaya. Musuh yang paling bahaya untuk menggagalkan mimpi Anwar untuk menjadi PM ini  bukan datang dari luar. Bukan kawan lama dari ABIM. Bukan  dari mereka yang dinafikan kerusi. Bukan Bukan.

Musuh ini  wujud dalam pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat sendiri dalam bentuk sosok bernama Rafizi.

Rafizi – Timbalan Presiden PKR - lebih awal dari yang lain telah menyatakan secara terbuka bahawa dia akan menentang kerjasama dengan Zahid atau dengan United Malays National Organisation.

Percanggahan dan perbezaan garis politik antara Anwar dan Rafizi ini jelas dilihat umum. Umum melihat tidak ada kasih sayang antara mereka.
Rafizi menolak konsep khemah besar sebelum PRU dan mungkin akan menolak kerjasama khemah besar dengan PN dan BN.

Rafizi dilaporkan  mahu menggalang kerjasama dengan Parti dari Sabah atau Serawak. Sayangnya parti dari Sarawak dari awal telah berkata No Anwar No DAP.

Justeru Anwar dan Pakatan Harapan wajib melintasi angka  112. Dengan angka ini  Anwar dapat dinobatkan  untuk  menjadi Perdana Menteri dan Pakatan dapat menubuhkan kerajaan.

Awas ! Jangan lupa melintasi 112 ini juga penting untuk menafikan Daulah Terpendam – Deep State –  dari membuat onar.  Daulah Terpendam juga tidak pernah ada  kasih sayang terhadap Anwar Ibrahim.

Seyogia diingati dalam politik tidak ada musuh tetap. Yang sentiasa tetap hanya kepentingan untuk mendapat kuasa.  Politik juga adalah seni kemungkinan. Pelbagai kemungkinan boleh wujud dalam usaha  untuk mendapat kuasa.

Yang jelas Pakatan  Harapan wajib menang lebih dari 112 kerusi untuk  mendirikan kerajaan. Jika tidak pengalaman sejarah Parti Komunis Itali akan berulang di Malaysia. Pakatan Harapan akan mendapat kerusi banyak seperti Parti Komunis Itali tapi gagal jadi kerajaan. Amin. (TT)


TULISAN INI JUGA
DISIARKAN DALAM PORTAL
MALAYSIANINSIGHT
https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/412282



Tiada ulasan: