Selasa, 7 Februari 2023

AL-FATIHAH


Korban gempa bumi Turkiye, Syria cecah lebih 4,300 orang

KORBAN gempa bumi besar di Turkiye dan Syria semalam mencecah lebih 4,300 orang dalam tempoh 24 jam selepas kejadian, lapor agensi berita Andalou.

Agensi pengurusan bencana di Turkiye melaporkan mereka yang disahkan terbunuh di wilayah selatan negara itu kini hampir 3,000 orang sementara mangsa yang meninggal dunia di Syria hampir 1,500 orang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan jumlah korban boleh mencecah sehingga 20,000 orang berdasarkan pengalaman bencana sama sebelum ini.

“Malangnya ini yang biasa kita lihat dalam gempa bumi iaitu angka korban awal sama ada yang meninggal dunia atau yang cedera akan meningkat agak banyak pada minggu berikutnya,” kata pegawai kanan kecemasan WHO di Eropah Catherine Smallwood.

Pasukan pencari dan penyelamat serta bantuan kemanusiaan dari serata dunia sudah digerakkan ke wilayah terjejas sejak semalam.

Malaysia malam tadi menghantar 70 anggota pasukan mencari dan menyelamat khas (SMART) ke Turkiye sebagai tanda solidariti kepada mangsa yang terjejas, lapor Bernama.

Mereka terdiri daripada pasukan perubatan Kor Kesihatan Diraja (KKD), Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat).

Mereka berlepas ke Istanbul menaiki penerbangan Turkish Airlines, malam tadi.

Gempa pertama semalam berlaku pada pukul 4.17 pagi waktu tempatan, berukuran 7.8 magnitud. Ia dilaporkan antara yang paling kuat di wilayah itu dalam masa sekurang-kurangnya 100 tahun.

Gegerannya dirasakan sampai ke Mesir dan Cyprus.

Gempa kedua yang juga besar berlaku hampir lapan jam kemudian berukuran 7.7 magnitud pada kedalaman 2km.

Pihak berkuasa seismologi merekodkan lebih 100 gegaran susulan dua gempa besar itu. 

Sementara itu, Menteri Luar Negeri Zambry Abdul Kadir berkata 12 rakyat Malaysia di wilayah terjejas iaitu Gaziantep, Şanliurfa dan Adana telah dihubungi Kedutaan Malaysia di Turkiye dan berada dalam keadaan selamat.

Semalam Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah bertitah menyeru semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat untuk keselamatan mangsa dan keluarga.

Baginda juga menyeru umat Islam di Malaysia mengadakan solat jenazah ghaib bagi mangsa yang meninggal dunia. – 7 Februari, 2023.

AL-FITIHAH

AMIN

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tuan TT tolong Tanya President Al Punat, Al Kawahli. Ini ujian atau satu bala sebab Turkiye tak ada parti Pas disana?