Jumaat, 28 April 2023

BERI MAKANAN TAK SELESAI MASALAH


Golongan miskin, Orang Asli perlukan lebih banyak bantuan makanan, kata kumpulan


KUMPULAN masyarakat sivil terus membantu golongan memerlukan dan terpinggir dengan menyediakan bantuan makanan yang amat diperlukan di tengah-tengah kos sara hidup yang tinggi dan ekonomi yang lembap.

Mereka berkata sama ada masyarakat Orang Asli, rumah anak yatim, orang kurang upaya, orang tua atau pelajar, mereka semua memerlukan makanan setiap hari.

Kumpulan itu berkata walaupun terdapat bank makanan, lebih banyak bantuan perlu disediakan.

Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (B) Peter Yeow, yang merupakan setiausaha Pertubuhan Komuniti Kasih Selangor, memberitahu The Malaysian Insight yang mereka kini sedang membantu masyarakat Orang Asli di Lipis dan Raub, Pahang.


Beliau berkata mereka menjaga lima kampung yang mempunyai sehingga 160 keluarga.

“Kami pergi ke Pahang setiap Sabtu dan berpecah kepada beberapa pasukan untuk pergi ke seluruh kampung. Apa sahaja yang ada, kami berikan kepada kira-kira 70 keluarga manakala selebihnya akan mendapat barangan semasa kedatangan kami seterusnya kelak,” katanya.

“Orang Asli di sini dilanda kemiskinan dan terpinggir. Sentiasa ada keperluan untuk makanan dan bantuan lain.”

Bagaimanapun, Yeow berkata apabila negara mula pulih tahun lepas, keadaan menjadi lebih buruk bagi Orang Asli.

“Kami difahamkan kerajaan dan Jakoa (Jabatan Kemajuan Orang Asli) sedang melakukan apa yang mereka mampu untuk membantu, tetapi keperluan (untuk lebih banyak makanan) masih ada,” katanya.

“Sejak tahun lepas, kami mempunyai tambahan 40 keluarga yang perlukan bantuan.

“Lebih banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaan dan Jakoa, terutama bagi yang tinggal jauh di dalam hutan.”

Beliau berkata sejak beberapa tahun lalu, The Lost Food Project (TLFP) membantu menyediakan sayur dan bahan makanan kering untuk Orang Asli.

“Kami biasanya mengambil barang pada Khamis dan menghantarnya pada Sabtu. Jadi kami lebih banyak mengambil sayur-sayuran yang tahan lama seperti lobak merah dan kobis,” katanya.

“Terdapat juga produk makanan kering seperti susu tepung untuk anak-anak.

“Kami menerima bantuan tunai daripada penderma dan menggunakan wang itu untuk produk makanan kering.”

TLFP ialah bank makanan bukan berasaskan keuntungan yang komited mengagihkan semula lebihan makanan dan keperluan bukan makanan kepada lebih 80 kumpulan masyarakat sivil dan ribuan keluarga B40.

Dalam temu bual sebelum ini, ketua pegawai eksekutifnya Ariffin Buranudeen memberitahu The Malaysian Insight bilangan orang yang memerlukan bantuan makanan meningkat sebanyak 30% dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

Beliau berkata tahun lepas, TLFP memperoleh 16,000 tan makanan dan ada 2021, sebanyak 12,000 tan. Ia kini membantu 20,000 penerima sebulan.

Ariffin berkata pada Mac – bulan kutipan tertinggi TLFP setakat ini – pasukan itu “menyelamatkan” 233,000kg buah-buahan dan sayur-sayuran dari pasar borong Kuala Lumpur, 8,400kg hasil segar, 8,100kg produk bakeri, 13,100kg barangan runcit kering dan 1,100kg daging dan makanan laut.

Beliau berkata kebanyakan makanan TLFP diperoleh daripada kira-kira 30 penderma korporat, yang memberi lebihan atau menaja barangan kering.

Ariffin berkata TLFP juga mempunyai pasukan yang “menyelamatkan” roti dari kedai roti. Makanan tersebut dikumpul pada waktu malam dan disalurkan kepada golongan B40, pelajar, penduduk rumah kos rendah dan gelandangan. – 28 April, 2023.

BERI MAKANAN

KERJA BAIK

AMIN

TAPI TAK SELESAI

MASALAH POKOK

AMIN

KENAPA MEREKA

MISKIN ?

AMIN

APA YANG BUAT

MEREKA MISKIN

AMIN

BERI MAKANAN

TAK BERKESUDAHAN

AMIN

BERI MAKAN INI

MACAM AMBIL

PANADOL BILA

KEPALA SAKIT

AMIN

CARI PUNCA

KEMISKINAN

KHALAS

Tiada ulasan: