Ahad, 21 Julai 2024

BANGLADESH BERKURUNG


Tentera Bangladesh kuatkuasa perintah berkurung

DHAKA: Tentera Bangladesh menguatkuasakan perintah berkurung dan mengawal jalan di ibu negara itu bagi 'melumpuhkan' protes berdarah yang sudah mengorbankan lebih 100 orang.

Perkhidmatan internet masih digantung di negeri itu ketika polis berusaha menangani protes yang berterusan, walaupun terdapat larangan perhimpunan awam.

Komunikasi melalui panggilan telefon ke luar negara juga gagal dilakukan manakala laman sesawang pertubuhan media yang berpangkalan di Bangladesh tidak dikemas kini selain pengendalian media sosial mereka juga tidak aktif.

Berdasarkan data dari hospital di seluruh Bangladesh, selain 105 kematian, protes yang didalangi golongan pelajar bagi menentang kuota pekerjaan sektor awam dilaksanakan kerajaan, mencederakan ribuan orang.

Hospital Kolej Perubatan Dhaka menerima 27 mayat antara jam 5 petang hingga 7 malam (1100-1200 GMT), semalam.

Sejak tercetusnya protes lima hari lalu, polis melepaskan gas pemedih mata, menembak peluru hidup dan melemparkan bom tangan untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang bertempur dengan anggota keselamatan dengan membaling batu.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina, kemudian terpaksa menguatkuasakan perintah berkurung kebangsaan dan mengerahkan tentera selepas jumlah kematian meningkat berikutan polis tidak dapat mengawal protes.

Perintah berkurung bagaimanapun dilonggarkan selama dua jam mulai tengah hari ini untuk membolehkan orang ramai membeli barangan keperluan dan menyelesaikan urusan lain.

Menurut laporan media, perintah berkurung berlangsung sehingga 10 pagi (0400 GMT) esok sebelum kerajaan menilai keadaan dan memutuskan tindakan seterusnya.

Sementara itu, rakaman televisyen menunjukkan anggota tentera memeriksa kan pengenalan orang ramai yang keluar di jalanan.

Pergolakan di seluruh negara tercetus akibat rasa tidak puas hati pelajar terhadap kuota membabitkan pekerjaan awam, termasuk 30 peratus bagi keluarga mereka yang berjuang untuk kemerdekaan daripada Pakistan.

Kerajaan Hasina membatalkan sistem kuota pada 2018, tetapi mahkamah mengembalikannya pada bulan lalu.

Kerajaan negeri merayu terhadap pelaksanaan semula kuota itu sebelum Mahkamah Agung menggantungnya selama sebulan, sementara menunggu perbicaraan pada 7 Ogos nanti.

Sementara itu, di daerah Narsingdi, penunjuk perasaan menyerbu sebuah penjara semalam dan membebaskan lebih 850 banduan sebelum membakar kemudahan itu.

Menurut laporan polis, beberapa kes pembakaran terhadap kemudahan lain juga dilaporkan hari ini.

Pemangku Pengerusi parti pembangkang utama, Parti Nasionalis Bangladesh, Tarique Rahman, berkata ramai pemimpin partinya, aktivis dan penunjuk perasaan pelajar ditahan.

Difahamkan polis turut menahan penyelaras utama pergolakan pelajar, Nahid Islam, hari ini. - REUTERS

LEBIH 100 MATI

RATUSAN CEDERA

AMIN

PELAJAR SISWA

BANGUN MELAWAN

KERAJAAN

AMIN

NEGARA MISKIN

MAKIN JADI

LEBIH MISKIN

AMIN

KHALAS

Tiada ulasan: