Isnin, 15 Julai 2024

TURUN KE JALAN RAYA


PN rancang himpunan besar-besaran isu BlackRock selepas kerajaan 'buat pekak badak' bantahan kumpulan pro-Palestin


Perikatan Nasional (PN) berikrar untuk meningkatkan kempen bantahan terhadap rancangan kerajaan untuk melibatkan sebuah syarikat milik pengurus dana kontroversi AS BlackRock ke dalam sebuah konsortium mengurus lapangan terbang di seluruh negara, di samping mengulangi solidaritinya kepada seorang aktivis yang memasuki hari keenam mogok lapar.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata gabungan itu akan menganjurkan perhimpunan jalanan bagi menyokong Mythreyar Mutturamalinggam, yang sejak minggu lalu mengadakan protes solo di luar bangunan Parlimen membantah rancangan kerajaan menjual saham Malaysia Airports Holdings (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP).

"Kalau kerajaan gagal mendengar apa yang kami mahu suarakan ini, Saudara Mike (Mythreyar) berkata dia tidak akan teragak-agak bersama-sama kita semua untuk turun ke jalanan protes berkenaan hal ini di jalan raya.

"Kita akan bawa ribuan rakyat Malaysia menyatakan bantahan kepada kerajaan Malaysia yang buat pekak badak," katanya pada sidang media di Parlimen.

Mythreyar, 46, memulakan mogok laparnya di luar bangunan Parlimen pada Rabu lalu, dan berpindah ke Dataran Merdeka pada hari Dewan Rakyat tidak bersidang.

Beliau berkata tujuannya mendidik orang ramai mengenai isu itu di samping menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim membatalkan perjanjian dengan GIP.

Sejak memulakan mogok laparnya, Mythreyar menerima sokongan pelbagai pihak termasuk kunjungan ahli Parlimen pembangkang.

Mogok lapar pada asalnya dirancang untuk tiga hari, tetapi Mythreyar memberitahu MalaysiaNow dia berhasrat untuk meneruskannya sehingga Khamis, dan akan menunggu nasihat doktor.

Fayhsal mempersoalkan ahli Parlimen kerajaan kerana tidak menunjukkan solidariti dengan Mythreyar, sambil menambah usaha aktivis itu turut mendapat perhatian rakyat Palestin di Gaza.

"Saya ingin berterima kasih kepada Mythreyar dari Malaysia. Terima kasih kerana berdiri bersama kami dan melakukan yang terbaik," menurut tulisan yang dipaparkan dalam kertas yang dipegang kanak-kanak Palestin dalam satu video TikTok.

Isu BlackRock dilihat antara cabaran utama Anwar sejak dilantik sebagai perdana menteri, di sebalik tuduhan beliau lebih mesra dengan Amerika Syarikat dan Israel berdasarkan kenyataan lampau, termasuk wawancaranya dengan Wall Street Journal pada 2012 yang memetiknya sebagai berkata akan "menyokong usaha mempertahankan keselamatan Israel".

Anwar setakat ini menolak bantahan pemimpin kumpulan sivil dan pro-Palestin terhadap rancangan itu di sebalik tuduhan BlackRock bersubahat dalam kempen pembunuhan beramai-ramai Israel di Gaza, yang setakat ini telah membunuh sekurang-kurangnya 35,000 orang.

Di bawah rancangan itu, GIP milik BlackRock akan membeli 30% kepentingan dalam sebuah konsortium mengurus MAHB bersama-sama Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan diterajui Anwar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata tuntutan Mythreyar itu selaras dengan pendirian oleh panel pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bulan lepas, yang menamakan BlackRock bersama-sama puluhan syarikat, pengeluar senjata dan institusi kewangan dalam amarannya supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menjual senjata kepada Israel.

“Syarikat-syarikat ini, dengan menghantar senjata, alat ganti, komponen dan peluru kepada tentera Israel, berisiko terlibat dalam pelanggaran serius hak asasi manusia antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” menurut kenyataan dikeluarkan lebih 30 pakar dan pegawai PBB diketuai Robert McCorquodale, ahli Kumpulan Kerja PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.



HANYA JALAN

RAYA PENENYU

DAYA

AMIN

TAK TURUN 

JALAN RAYA

TAK MENANG

PILIHAN RAYA

KHALAS

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

ini bukan pasal menang pilihan raya...

Tanpa Nama berkata...

Kesian untuk layan isu seekor saja sanggup berlapar kah kah kah majoriti makan makan durian jalan jalan senang lenang tapi nak untung kiri kanan kah kah kah

Tanpa Nama berkata...

Kih kih kih. Buat busuk kl. Auta tambi. Mat jargon konon simpati tapi tak nak join mogok. Auta jargon. Kah kah kah