Rabu, 21 Ogos 2024

HORMATI HAK MUHYIDDIN



HORMATI HAK TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN BERUCAP DAN BERSUARA DI BAWAH PERKARA 10 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN 


Oleh Hassan Abdul Karim 
Ahli Parlimen Pasir Gudang 

Malaysia lazimnya disebut sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. 

Frasa demokrasi berparlimen didahulukan sebelum dituruti oleh frasa raja berperlembagaan.

Ini mempunyai pengertian tersirat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.Demokrasi rakyat itu ditegakkan melalui institusi parlimen yang membawa erti ada pilihanraya dan kerajaan dipilih oleh rakyat.

Dalam masa yang sama frasa raja berperlembagaan bermakna kuasa raja ditentukan oleh perlembagaan dan dalam masa yang sama sistem raja di Malaysia bukanlah sistem raja yang berkuasa mutlak atau "absolute monarchy." 

Pentingnya dalam urusan bernegara bahawa kuasa rakyat melalui konsep demokrasi berparlimen didahulukan berbanding konsep raja berperlembagaan dapat dilihat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang utama negara Malaysia.

Soal kebebasan asasi, contohnya Perkara 5 Kebebasan diri yang menjadi teras utama demokrasi diletakkan di bahagian awal Perlembagaan Persekutuan iaitu Bahagian II susunan perkara Perlembagaan Persekutuan.

Manakala peruntukan perlembagaan bagi Yang diPertuan Agong contohnya Perkara 32 bahawa Yang diPertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara diletakkan di Bahagian IV perlembagaan persekutuan.

Satu peruntukan yang jelas menunjukkan bahawa sistem raja mutlak tidak diamalkan di Malaysia ialah Perkara 40 perlembagaan persekutuan yang menyatakan Yang diPertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

Satu peruntukan yang penting menunjukkan pada asasnya menurut undang-undang bahawa negara Malaysia sebuah negara demokrasi yang menolak sistem raja feudal yang mutlak ialah peruntukan Perkara 8(1) perlembagaan persekutuan  yang menyatakan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. 

Perkara kesamarataan antara rakyat dengan raja pemerintah dinyatakan dengan jelas di dalam perlembagaan persekutuan.Jika ada mahkamah sivil dan jenayah bagi rakyat jelata maka bagi golongan raja pemerintah negeri dan Yang diPertuan Agong diwujudkan Mahkamah Khas di bawah Perkara 182 Perlembagaan Persekutuan berkenaan prosiding terhadap Yang diPertuan Agong dan Raja-Raja. 

Perkara ini perlu diperjelaskan kerana terdapat kecenderungan  sekarang yang cuba menyempitkan ruang kebebasan rakyat atau pemimpin rakyat berucap atau menyatakan fikiran dan pendapat dengan mengwujudkan momokan kesalahan di bawah 3R yang menyentuh isu kaum, agama dan raja (race, religion and royalty).

Kejadian yang terbaru ialah bilamana seorang bekas Perdana Menteri ke-8, Mahyuddin Yassin yang merupakan seorang ahli parlimen dan pemimpin gabungan Parti politik pembangkang yang mempunyai 74 ahli parlimen di Dewan Rakyat sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 atas ucapannya dalam sebuah ceramah umum Pilihanraya Kecil di DUN Nenggiri, Kelantan.

Amat membimbangkan jika momokan 3R ini digunakan oleh agensi berkuasa dan kerajaan yang memerintah sekarang untuk menggunakan undang-undang yang draconian seperti Akta Hasutan 1948 untuk menafikan kebebasan bercakap dan bersuara.

Hassan Abdul Karim 
Ahli Parlimen Pasir Gudang 

21 Ogos 2024

Tiada ulasan: