Rabu, 18 September 2024

MADANI ANTI DEMOKRASI


MoU antara Kerajaan dengan Pembangkang di Parlimen Satu Pelanggaran Prinsip Pengasingan Kuasa


Hassan Abdul Karim 
Ahli Parlimen Pasir Gudang 

Kewujudan MoU antara Kerajaan Persekutuan dengan ahli-ahli parlimen pembangkang Pembangkang di satu pihak dan antara Kerajaan Persekutuan dengan gabungan Pembangkang di Parlimen adalah bercanggahan dengan amalan demokrasi berparlimen.


2.Di bawah Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan setiap anggota Parlimen tanpa kecuali dikehendaki mengangkat sumpah.
Kandungan sumpah itu antara lainnya ialah setiap anggota Parlimen itu bersumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

3.Satu ciri penting Perlembagaan Malaysia iaitu Perlembagaan Persekutuan ialah mengamalkan prinsip pengasingan kuasa.
Prinsip pengasingan kuasa itu bertujuan untuk memelihara 3 badan utama negara iaitu Parlimen ( Legislative), Kerajaan ( Executive) dan  Mahkamah ( Judiciary) masing-masing bebas menjalankan peranan dan tanggungjawab mereka seperti yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

4.Tetapi MoU tersebut telah mengikat peranan dan fungsi ahli-ahli parlimen pembangkan di Parlimen.

5.Ahli-ahli parlimen sama ada di pihak kerajaan atau di pihak pembangkang atau di pihak bebas apabila mereka telah menandatangani dokumen angkat sumpah mereka di hadapan Yang di Pertua atau Speaker maka mereka terikat dengan sumpah tersebut.Tidak perlu menandatangani satu lagi dokumen yang bernama MoU antara kerajaan dan pihak pembangkang.

6.Sifat mengikat MoU itu akan memandulkan dan membonsaikan peranan ahli-ahli parlimen pembangkang dan Gabungan parti pembangkang di Parlimen.

7.Mereka hilang kebebasan untuk berperanan sebagai satu kuasa efektif untuk melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan.

8.Ahli-ahli parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang yang merupakan kerajaan bayangan atau "Shadow government" terpaksa tutup mulut dalam perkara-perkara penting melibatkan hal rakyat dan negara.

Kenapa? Kerana mereka telah menandatangani MoU dengan kerajaan iaitu Badan Executive.

9.Jadi MoU yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan bersifat membelenggu kebebasan ahli-ahli parlimen pembangkang dan gabungan pembangkang. 

10. Cadangan memperkenalkan MoU tersebut pada asasnya adalah satu contoh pencerobohan kuasa Eksekutif iaitu kerajaan yang berkuasa terhadap kebebasan ahli-ahli parlimen pembangkang yang merupakan pihak yang penting di dalam Parlimen.

11.Cadangan mengenakan syarat menandatangani MoU tersebut  juga boleh dianggap pihak Executive  iaitu Kerajaan Persekutuan cuba melanggar prinsip pengasingan kuasa kerana dengan sengaja cuba melemahkan blok pembangkang di Dewan di Parlimen.

12.Reformasi yang dikehendaki di Parlimen ialah Kerajaan membawa satu Rang Undang-Undang Peruntukan kawasan parlimen, bahawa Setiap Kawasan Parlimen di seluruh negara diberi hak secara otomatik tanpa syarat, tanpa perlu menandatangani sebarang perjanjian atau MoU.Setiap ahli parlimen sama ada di blok kerajaan atau di blok pembangkang atau di blok bebas dijanjikan oleh undang-undang untuk mendapat peruntukan kawasan parlimen masing-masing sama banyak dan sama adil.

13.Undang-undang seperti inilah yang mesti diinstitusikan mulai sekarang bukannya MoU seperti yang dihebohkan kini.

Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang 
Rabu 18 September 2024

Tiada ulasan: