Interpol lancar alat baharu jejak aset penjenayah sedunia
PARIS: Pertubuhan Polis Antarabangsa (Interpol) memperkenalkan alat baharu dikenali sebagai Notis Perak bagi mempertingkat usaha mengesan aset milik penjenayah, menurut agensi berita Jerman (dpa).
Buat julung kali, Interpol semalam mengeluarkan Notis Perak, susulan permintaan pihak polis kewangan di Palermo, Sicily, Itali, yang berharap mendapatkan maklumat daripada 195 negara anggota Interpol mengenai aset seorang ketua tertinggi Mafia.
Notis Perak boleh digunakan untuk meminta maklumat mengenai pendapatan hasil jenayah seperti penipuan, rasuah, pengedaran dadah, dan jenayah alam sekitar.
Setiausaha Agung Interpol, Valdecy Urquiza, berkata alat itu direka bagi memudahkan usaha mengesan aset yang telah dilibatkan dalam aktiviti pengubahan wang haram dan negara anggota kemudian boleh meminta negara lain untuk menyita aset terbabit.
"Merampas keuntungan haram penjenayah dan rangkaian mereka adalah satu daripada cara paling berkesan untuk membanteras jenayah terancang rentas sempadan," katanya.
Fasa ujian Notis Perak akan berlangsung sekurang-kurangnya hingga November. Pada peringkat awal, hanya 52 negara dan wilayah dibenarkan mengemukakan permohonan untuk penghantaran notis ini.
Interpol, yang berpusat di Lyon, Perancis, menyelaraskan kerjasama polis antarabangsa, termasuk memudahkan pertukaran maklumat mengenai individu yang dikehendaki dan hilang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan